Ahad, Jun 19, 2011

MAMPUKAH BARISAN BARU PAS KALAHKAN BN TERENGGANU?


Di sana sini orang memperkatakan tentang pilihanraya umum walaupun tempoh parlimen sekarang akan berakhir pada tahun 2013.PAS Terengganu yang diketuai oleh MP Kuala Terengganu dan ADUN Wakaf Mempelam,Mohd Abdul Wahid Enduttelah mengumumkan barisan kepimpinan barunya untuk menentang BN Terengganu yang diketuai oleh Datuk Seri Ahmad Said.

Mampukah Wahid Endut menawan Terengganu? Ramai orang melihat krisis antara Datuk Seri Idris Jusoh-Datuk Seri Ahmad Said akan memberi peluang kepada PAS untuk menawan kembali negeri Terengganu. Dahulu krisis antara Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad-Tan Sri Dr. Yusof Noor menyebabkan BN tewas pada pilihanraya umum 1999. Ia ditambah pula dengan pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim dari UMNO menyebabkan BN kehilangan Terengganu selain kelantan.

Pada tahun 1999, BN kalah di terengganu kerana orang UMNO sendiri mengundi PAS. Bukan saja penyokong UMNO sahaja mengundi PAS, malah calon BN di Air Putih, Dr Ramli taib mengundi PAS kerana bimbang calon BN Kijal, Ahmad Said akan menang dan dilantik Exco. Pada perkiraaan Dr Ramli, biar Ahmad Said kalah supaya bila dia menang di Air Putih, dia dapat jadi Exco. Akhirnya satu negeri BN kalah kerana sikap orang UMNO sendiri yang mengundi PAS.

Adakah pada pilihanraya umum akan datang ini sikap orang UMNO Terengganu masih seperti tahun 1999? kenapa ramai sangat orang UMNO marahkan Ahmad Said sedangkan Ahmad Said selaku MB rajin turun padang. Slogan Ahmad Said merakyatkan pentadbiran sudah berkesan di hati rakyat.

Jika BN kalah di terengganu pada pilihanraya umum akan datang bukan kerana barisan baru PAS terengganu diterima rakyat tetapi kerana sikap orang UMNO sendiri yang marah kepada nyamuk sanggup membakar kelambu. Akhirnya orang Terengganu sendiri yang rugi bila PAS memerintah Terengganu dari tahun 1999-2004.

Mesyuarat pertama Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu hari ini menyaksikan pelantikan ramai muka baru dengan sebilangan besar daripadanya terdiri daripada golongan muda.

Pesuruhjaya PAS baru Terengganu, Mohd Abdul Wahid Endut, berkata pelantikan tersebut adalah antara sebahagian daripada persiapan parti itu bagi menghadapi pilihan raya umum ke 13 nanti.

"Bagaimanapun, orang lama yang banyak berpengalaman juga diperlukan dan berada di belakang kami," katanya pada sidang akhbar selepas mesyuarat itu di sini.

Mohd Abdul Wahid berkata mesyuarat itu juga mengambil keputusan melantik presiden parti Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai penasihat kepada Badan Perhubungan PAS Terengganu.

Katanya pelantikan Abdul Hadi memandangkan beliau adalah orang Terengganu dan juga merupakan Anggota Parlimen Marang serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rhu Rendang.

Beliau berkata, selain beliau serta tiga Timbalan Pesuruhjaya Saiful Bahri Mamat, Muhyidin Abdul Rashid dan Dr Alias Razak (ADUN Bukit Tunggal), seramai 22 ahli jawatankuasa baru juga telah dilantik.

Mohd Abdul Wahid berkata Yahaya Ali dikekalkan sebagai setiausaha manakala tiga penolong setiausaha ialah Kamarudin Yunus, Hanafiah Mat dan Zakaria Dagang.

Katanya, M Shukrimun Shamsudin pula dilantik sebagai bendahari, ketua penerangan Nik Muhammad Zawawi Salleh manakala Ariffin Deraman dilantik sebagai Pengarah Pilihan Raya negeri.

Di samping itu, 10 ahli jawatankuasa yang dilantik antaranya Datuk Abu Bakar Chik, Dr Mohd Khazani Abdullah, Dr Azman Ibrahim, Zarani Binti Othman, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi (ex officio) dan dua pemeriksa kira-kira.

Mohd Abdul Wahid berkata, beliau mendapat kerjasama yang cukup baik dengan barisan kepimpinan baru yang dilantik itu dan menyifatkannya lebih mantap.