Selasa, Mac 15, 2016

MENUNGGU PAS MENYAMBUT TALI SILARATULRAHIM

(telah disiarkan oleh Berita Minggu, 13 Mac lalu)

OLEH SHAHBUDIN EMBUN (Lawyer pokok cherry)

Sejak kebelakangan ini bukannya sesuatu yang memeranjatkan jika kita terdengar berita yang menyatakan kesudian PAS untuk bekerjasama dengan UMNO. Bahkan tidak berapa lama dahulu, ramai pemerhati politik sudah  meramalkan gabungan ini akan berlaku juga akhirnya.Pelbagai andaian telah dibuat, apatah lagi apabila adanya gambar yang memaparkan Presiden UMNO datuk Seri Najib Tun Razak dengan Presiden  PAS, Datuk Seri Tuan Guru Haji Hadi Awang.

Hari berganti hari, minggu berganti minggu, dan para pemerhati politik menantikan satu pengumuman rasmi tentang kerjasama antara dua parti ini. Tetapi akhirnya PAS membuat kejutan dengan bakal mewujudkan pakatan politik “Kuasa Ketiga” yang akan diumumkan pada 16 Mac 2016.

Gabungan ini dikatakan merupakan strategi PAS untuk menarik para pengundi yang marah dan tidak puas hati dengan UMNO dan berasa sangsi dengan keupayaan Pakatan Harapan, yang dilihat tidak mempunyai harapan untuk membentuk satu pakatan yang mantap.

Namun persoalannya ialah adakah kuasa ketiga ini mampu menawarkan alternatif kepada para pengundi khasnya yang duduk di atas pagar.Penulis merasakan gabungan yang bakal wujud ini tidak mampu untuk melakukan perubahan politik yang drastik di negara kita.Apatah lagi parti-parti yang dikatakan akan menyertai gabungan ini bukanlah kuasa besar yang boleh mengubah suasana politik di Malaysia.

Bahkan ada rakan penulis yang merasakan penubuhan Kuasa Ketiga ini hanya sekadar untuk mengurangkan pengaruh dan menewaskan Parti Amanah Negara dalam Pilihanraya Umum akan datang. Apa yang dimaksudkan ialah, jika adanya pertarungan satu lawan satu dengan PAN, maka Kuasa Ketiga yang akan jadi faktor penentu kepada kemenangan PAS. Kemungkinan itu ada, tetapi penulis menganggap pastinya ada agenda lain apabila Kuasa Ketiga ini dibentuk.

Ada pihak yang menyatakan PAS sebenarnya mempunyai kekuatan sendiri dan tidak perlu membuat sebarang pakatan.Apatah lagi ada pihak yang sudah menganggap PAS adalah alternatif yang perlu diberikan perhatian yang serius. Realitinya, PAS harus berpijak di bumi nyata. Kekuatan yang menjadi kebanggaan parti ini mungkin hanya wujud di atas kertas sahaja.




Perlu diingatkan juga bahawa PAS juga sudah mula tergugat apabila bekas para pemimpin utama parti itu  menubuhkan Parti Amanah Negara.PAS juga pastinya tidak akan menyertai Pakatan Harapan selagi adanya DAP dalam gabungan tersebut.Dan melihatkan kepada perhubungan antara PAS dan DAP, rasanya agak mustahil untuk PAS dan DAP tiba-tiba menghulur semula tangan persahabatan.

Namun masih ramai juga pemerhati politik yang menganggap PAS sepatutnya menguatkan lagi hubungannya dengan UMNO.Alasan yang mereka berikan adalah mudah. Gabungan PAS dan UMNO bukan sahaja akan menghentikan persengketaan yang lama wujud antara dua parti ini, tetapi juga akan mengukuhkan lagi perpaduan Melayu dan Islam di negara kita.

UMNO dan PAS  adalah dua parti yang terbesar dan yang paling berpengaruh di negara kita. Walaupun sejak kebelakangan ini,kedua-dua parti ini dihimpit dengan pelbagai dugaan dan cabaran, namun UMNO dan PAS masih dilihat sebagai parti tunjang yang mampu mencorakkan scenario politik di negara kita.

Dan walaupun penulis telah menyatakan yang kekuatan PAS boleh diragui, tetapi dalam istilah permainan bolasepak, PAS boleh memainkan peranan sebagai “spoiler” ataupun penentu kejayaan sesuatu parti itu.

Dalam pengertian gabungan UMNO dan PAS,maka perlulah diambil istilah yang lebih meluas.Kerjasama di sini bukan bermaksud duduk di meja bulat , bersidang di hotel 5 bintang dan kemudiannya menandatangani perjanjian di atas sehelai kertas. Tidak semestinya sesuatu perikatan itu dibentuk secara formal.

Mungkin ada yang lupa bahawa pada bulan Disember 2015, ketika berlangsungnya Perhimpunan Agung UMNO, Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak, secara rasminya  telah menghulur ‘tali silaturrahim kepada PAS bagi membina dan membangunkan Malaysia mengikut syariat Islam selepas parti Islam itu tidak lagi bersama pembangkang, khususnya DAP.Inilah kerjasama yang boleh memberikan impak yang positif kepada pembangunan agama, bangsa dan negara.

Tangan persahabatan sudah dihulur dan kini terpulang kepada PAS untuk menyambutnya.