Isnin, Mac 02, 2009

KERAJAAN CAMPURAN IDEA YANG BAIK


Cadangan Pas untuk menubuhkan kerajaan campuran antara Barisan Nasional (BN) dan pakatan pembangkang memerlukan perbincangan dan kajian mendalam.

Naib Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, setakat ini, cadangan Pas itu adalah tidak jelas dan terlalu umum mengenai bentuk kerajaan campuran yang dimaksudkan.

"Saya tidak tahu apa yang dimaksudkan Pas dengan kerajaan campuran itu. Perkara ini memerlukan penjelasan yang lebih terperinci," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada majlis pertemuan dan ramah mesra calon-calon Wanita dan Majlis Tertinggi UMNO di Bangunan UMNO Sabah di Kota Kinabalu semalam.

Muhyiddin mengulas kenyataan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang baru-baru ini, yang mencadangkan supaya BN dan pakatan pembangkang membentuk satu kerajaan campuran.

Abdul Hadi berkata, kerajaan baru tersebut perlu dibarisi oleh pemimpin dan wakil dari semua parti sama ada BN atau pembangkang.

Cadangan itu turut mendapat sokongan Ketua UMNO Bahagian Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah yang mendakwa, kerajaan campuran itu akan membawa kestabilan kepada negara ini.

Muhyiddin yang juga Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata, perkara itu masih belum dimaklumkan sepenuhnya termasuk rangka kerja yang dimahukan.

Sementara itu, Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Tan Sri Rafidah Aziz, menyifatkan cadangan berkenaan tidak perlu kerana BN sememangnya sebuah kerajaan campuran yang mewakili semua kaum dan agama.

"Saya berpendapat, cadangan tersebut yang datang daripada pembangkang adalah satu helah politik mereka kerana mahukan simpati," katanya.

Menurutnya, pakatan pembangkang merupakan antara penyebab utama kepada suasana tidak harmoni kaum iaitu dengan memainkan sentimen serta isu-isu yang bersifat perkauman.

BN tidak mendapat sokongan majoriti dua pertiga di parlimen. Jika idea kerajaan campuran BN-Pakatan ini diterima, maka kerajaan campuran akan mendapat sokongan lebih dua pertiga. Mudah untuk pinda perlembagaan dan sebagainya.

Soalnya, adakah idea Haji Hadi ini sudah dibincang di peringkat kerajaan Pakatan (PKR-PAS-DAP)? Jika ia dilaksanakan, ia dapat mengurangkan politiking. Status quo boleh dikekalkan di empat negeri, PAS ketuai kerajaan di Kelantan dan Kedah, DAP di Pulau Pinang dan PKR di Selangor.Ini bermakna wakil BN termasuk UMNO, MCA, Gerakan dan MIC turut berada dalam barisan Exco bagi mereka yang menang.

Saya masih ingat selepas prestasi Perikatan teruk pada pilihan raya umum 1969, idea kerajaan campuran Perikatan-PAS mula dibentuk di Kelantan. Begitu juga kerajaan campuran Perikatan-Gerakan di Pulau Pinang. Bila kerajaan campuran dilaksanakan, rakyat tak perlu lagi bicara soal politik kerana politik negara sudah stabil. Sekarang ini bila BN gagal dapat dua pertiga majoriti di parlimen, pelabur bimbang kerana iklim politik negara yang tidak stabil.

Inilah masanya bagi BN berkorban dengan berkongsi kuasa dengan kerajaan Pakatan. Yang menjadi persoalan, apakah DAP dan PKR setuju dengan idea Presiden PAS ini?