KUALA LUMPUR: Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa (PERKASA) Datuk Ibrahim Ali mendesak Ibu Pejabat Polis Bukit Aman membersihkan nama mereka susulan dikaitkan dengan kes penculikan Paderi Raymond Koh.
Katanya Bukit Aman perlu menyoal siasat saksi ketujuh ASP Supari Muhammad dalam prosiding pendengaran sebuah panel siasatan awam Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) mengenai keluarga Koh yang mengaitkan PERKASA dengan kehilangan itu.
“Tujuan apa peguam keluarga Pastor Koh timbulkan hubung-kait PERKASA kepada ASP berkenaan dan cara ASP itu jawab timbul persepsi kepada PERKASA.
“Saya tuntut Bukit Aman bersihkan nama PERKASA dengan soal siasat ASP waktu pendengaran Suhakam itu,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat PERKASA, Kuala Lumpur, hari ini.
Selasa lalu, PERKASA berkata pihaknya akan mengkaji transkrip prosiding inkuiri Suhakam selepas dikaitkan dengan kes penculikan Koh.
Paderi itu dilaporkan diculik oleh sekumpulan individu bertopeng dan bersenjata di Petaling Jaya pada Februari lalu.
Mengulas lanjut mengenai perkara itu, Ibrahim berkata pihaknya tidak akan memfailkan saman sebaliknya akan menanganinya secara terbuka.
“Tak saman, kita cuba tangani secara terbuka, kalau perlu baru ambil tindakan undang-undang. Kita juga nak transkrip penuh, (mana tahu) kalau ada diubah suai ke,” katanya.
Bekas anggota parlimen Pasir Mas itu juga kesal kerana PERKASA dikaitkan dengan kehilangan Koh hanya kerana membela pendakwah kontroversi Zakir Naik.
“Sememangnya saya tak nampak kaitan isu kehilangan Pastor Koh dengan PERKASA. Saya dah keluarkan kenyataan suruh polis siasat angkara siapa dan ambil tindakan.
“PERKASA dikaitkan kononnya kerana bela Zakir Naik, tidak ada kena mengena dengan isu ini kerana kita (bela Zakir) ikut undang-undang dan sekadar atas sifat keadilan ke atas Zakir Naik,” katanya.
Katanya lagi sejak PERKASA ditubuhkan sembilan tahun lalu, pertubuhan itu tidak pernah membuat huru hara seperti demonstrasi sebaliknya sering menganjurkan wacana, resolusi meja bulat bagi mencapai segala kata sepakat.
“Tengok rekod sembilan tahun PERKASA kita tak pernah demonstarsi, tak pernah huru hara kecuali anjur resolusi, wacana, meja bulat. Kita juga tak langgar undang-undang, lebih dari itu kita tak buat.
“Tapi kenapa kita dituduh ekstremis, bila kita pertahankan negara kita dituduh macam-macam,” katanya dengan nada kesal.
Sementara itu, Ibrahim berkata PERKASA akan menganjurkan Persidangan Agung Tahunan ke-8 PERKASA 2017 pada 19 November ini di Stadium Titiwangsa, Taman Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur.
Beliau berkata persidangan yang bertemakan ‘Ummah Berintegriti, Negara Diberkati’ akan dirasmikan oleh Cendekiawan Islam, Tan Sri Mohd Yusof Noor.
Manakala, sehari sebelum persidangan itu, PERKASA akan menganjurkan persidangan tahunan tiga sayap kali ke-4 tahun 2017 di Hotel Regency, Jalan Raja Alang, Kuala Lumpur dan Forum Bajet 2018.