Rabu, Julai 28, 2010

KSN DINASIHATI LETAK JAWATAN


Arahan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan supaya setiap pegawai kerajaan membuat laporan bertulis sekiranya didatangi ahli politik atau mereka yang berpengaruh untuk mendapatkan kontrak kerajaan, wajar dipersoalkan.

Bekas Naib Ketua Pemuda Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohd. Zahid Md. Arip berkata, kenyataan itu secara tidak langsung akan mengeruhkan hubungan baik yang terjalin di antara pemimpin dan pegawai kerajaan di negara ini.

Menurutnya, kenyataan itu juga boleh mengundang kemarahan pelbagai pihak termasuk orang ramai.

"Sebagai orang penting dalam kerajaan, beliau sepatutnya lebih sensitif dan perlu mengambil kira pandangan semua pihak sebelum mengeluarkan kenyataan demikian," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Dalam laporan akhbar The Star semalam, Mohd. Sidek memberitahu, setiap pegawai kerajaan perlu membuat laporan bertulis kepada ketua jabatan masing-masing sekiranya menerima 'permintaan istimewa' daripada ahli politik atau mereka yang berpengaruh untuk mendapatkan kontrak kerajaan.

Jelas Mohd. Sidek, arahan yang disertai dengan cadangan seperti 'sila timbangkan', 'disokong dengan' dan 'saya tiada halangan' boleh dibuat melalui pelbagai medium termasuk penulisan, percakapan, emel, panggilan telefon serta khidmat pesanan ringkas (SMS) untuk mendapatkan kontrak, permit, lesen, kerakyatan dan biasiswa.

Selain itu kata Ketua Setiausaha Negara, semua keputusan dalam kerajaan juga perlu dibuat berdasarkan merit.

Dalam hal ini, Mohd. Zahid mengingatkan Mohd. Sidek supaya lebih bertanggungjawab mengeluarkan sebarang kenyataan selepas ini.

"Beliau seharusnya memahami bidang tugas masing-masing dan menghormati tugas wakil rakyat serta ahli politik.

"Sekiranya tidak bersedia dan kurang bijaksana untuk menjalankan tanggungjawab sebagai seorang Ketua Setiausaha Negara, saya menasihatkan beliau supaya meletak jawatan," katanya.

SIAPA UNTUNG BILA GURU BERPOLITIK?


Apabila guru gred 41 hingga 48 dibenar berpolitik, apakah ia akan menguntungkan kerajaan Barisan Nasional (BN) atau merugikan?

Memang benar tidak semua 400,000 guru diseluruh negara akan terbabit namun, tidakkah ini akan memberikan peluang lebih terbuka untuk guru memegang jawatan penting parti?

Yang pastinya, akan lebih ramai kalangan guru akan memegang jawatan politik sama ada di bahagian atau juga cawangan.

Dan jangan lupa, ramai juga guru yang terpengaruh dengan cakap-cakap pembangkang yang mahu mewujudkan peluang sama rata dan pendemokrasian dalam pelbagai bidang.

Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan berkata bermula 1 Ogos 2010 ini, pegawai pendidikan perkhidmatan siswazah Gred DG41 hingga DG48 akan dibenarkan melibatkan diri dalam politik.

Mohd Sidek yang membuat pengumuman itu berkata, langkah itu berlandaskan hakikat bahawa guru suatu masa dahulu memain peranan penting dalam memimpin masyarakat dalam senario politik negara.

"Masanya sudah tiba mereka dibenar aktif semula dalam politik," katanya dalam satu kenyataan hari ini seperti disiarkan oleh Bernama.

Bagi tujuan itu, beliau berkata pindaan Peraturan 21 Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 telah diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin.

Tindakan sedang diambil untuk mewartakawan pindaan peraturan tersebut, tambahnya.

Sebelum ini, Peraturan 21(2) peraturan tersebut menetapkan hanya pegawai dalam Kumpulan Sokongan boleh bertanding atau memegang jawatan atau dilantik ke dalam apa-apa jawatan dalam suatu parti politik dengan syarat terlebih dahulu mendapat kelulusan bertulis Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam atau Ketua Setiausaha kementerian berkenaan.

Di bawah peraturan baru ini, pegawai pendidikan, selain pengetua atau guru besar di institusi pendidikan dan pegawai yang memegang apa-apa jawatan pentadbiran dalam mana-mana agensi kerajaan, perlu mendapat kebenaran bertulis daripada Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran terlebih dahulu.

"Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran tidak boleh mewakilkan kuasanya untuk memberikan kelulusan bertulis itu kepada mana-mana orang lain dan apa-apa keputusan Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran adalah muktamad," kata Mohd Sidek.

Beliau berkata syarat-syarat ketat akan dikenakan agar tugas dan fokus utama golongan itu iaitu mendidik tidak terjejas dengan penglibatan mereka dalam politik.

Katanya mereka yang dibenarkan terlibat dalam politik kelak hendaklah mematuhi sepenuhnya Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993, termasuk batasan tugas mereka sebagai pegawai perkhidmatan pendidikan dengan aktiviti dalam politik.

Keputusan ini walaupun dilihat akan memberikan kelebihan kepada Barisan Nasional (BN) namun ada pihak mengatakan ia akan memperkuatkan lagi ‘bantahan kepada kerajaan’.

Ini kerana ramai guru yang nampaknya seakan-akan ada perkara yang mereka tidak puas hati dengan kerajaan.

Bukan soal gaji tetapi tidaklah diketahui sama ada berkaitan perkhidmatan atau memang mereka melihat janji pembangkang lebih ‘menarik’.

Ada sesetengahnya mengatakan mereka meluat melihat sesetengah ahli politik. Namun sebahagian lagi mengatakan dengan adanya orang politik mudah bagi mereka buat program.

Cuma kerajaan jangan tersilap perkiraan. Menaikkan pangkat dan gaji tidak bermakna mereka akan menyokong kerajaan.

Lihat sahaja apabila gaji dinaikan sebelum pilihan rya 2008 lalu.
Apakah kebanyakan guru yang mendapat ‘durian runtuh’itu memilih BN?

(dipetik dari hambali1.blogspot.com)