Rabu, Julai 28, 2010

KSN DINASIHATI LETAK JAWATAN


Arahan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan supaya setiap pegawai kerajaan membuat laporan bertulis sekiranya didatangi ahli politik atau mereka yang berpengaruh untuk mendapatkan kontrak kerajaan, wajar dipersoalkan.

Bekas Naib Ketua Pemuda Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohd. Zahid Md. Arip berkata, kenyataan itu secara tidak langsung akan mengeruhkan hubungan baik yang terjalin di antara pemimpin dan pegawai kerajaan di negara ini.

Menurutnya, kenyataan itu juga boleh mengundang kemarahan pelbagai pihak termasuk orang ramai.

"Sebagai orang penting dalam kerajaan, beliau sepatutnya lebih sensitif dan perlu mengambil kira pandangan semua pihak sebelum mengeluarkan kenyataan demikian," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Dalam laporan akhbar The Star semalam, Mohd. Sidek memberitahu, setiap pegawai kerajaan perlu membuat laporan bertulis kepada ketua jabatan masing-masing sekiranya menerima 'permintaan istimewa' daripada ahli politik atau mereka yang berpengaruh untuk mendapatkan kontrak kerajaan.

Jelas Mohd. Sidek, arahan yang disertai dengan cadangan seperti 'sila timbangkan', 'disokong dengan' dan 'saya tiada halangan' boleh dibuat melalui pelbagai medium termasuk penulisan, percakapan, emel, panggilan telefon serta khidmat pesanan ringkas (SMS) untuk mendapatkan kontrak, permit, lesen, kerakyatan dan biasiswa.

Selain itu kata Ketua Setiausaha Negara, semua keputusan dalam kerajaan juga perlu dibuat berdasarkan merit.

Dalam hal ini, Mohd. Zahid mengingatkan Mohd. Sidek supaya lebih bertanggungjawab mengeluarkan sebarang kenyataan selepas ini.

"Beliau seharusnya memahami bidang tugas masing-masing dan menghormati tugas wakil rakyat serta ahli politik.

"Sekiranya tidak bersedia dan kurang bijaksana untuk menjalankan tanggungjawab sebagai seorang Ketua Setiausaha Negara, saya menasihatkan beliau supaya meletak jawatan," katanya.