Memaparkan catatan dengan label ku li. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label ku li. Papar semua catatan

Selasa, Julai 24, 2018

ZAHID TEMUI KU LI RUNDING MASA DEPAN UMNO





KUALA LUMPUR: Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengunjungi Tengku Razaleigh Hamzah, pesaing beliau dalam pemilihan parti itu bulan lalu, bagi membincangkan masa depan Umno.

"Alhamdulillah, saya baru saja menziarahi Tengku Razaleigh Hamzah. Bertanya khabar dan membincangkan hala tuju Umno demi ke arah yang lebih baik. Kami bersifat semangat setiakawan," ciap Zahid di Twitter.

Beliau berkongsi gambar pertemuannya dengan Anggota Parlimen Gua Musang itu di kediaman Razaleigh yang dikenali sebagai replika Rumah Putih.

Zahid menewaskan Razaleigh dalam pertarungan tiga penjuru merebut jawatan presiden Umno bulan lalu yang turut menampilkan Anggota Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin. Razaleigh mendapat undi paling sedikit dalam pertandingan itu.

Perjumpaan dengan Razaleigh selepas Khairy menjarakkan dirinya daripada kepimpinan Umno di bawah Zahid.

Khairy enggan menerima sebarang jawatan dalam Umno supaya beliau dapat terus bersikap kritikal.

Menurut pemerhati politik, tindakan Zahid merendah diri mengunjungi Ku Li di pejabatnya menunjukkan Zahid berjiwa besar kerana selaku Presiden Umno beliau tidak perlu tunduk kepada Ku Li.

Tetapi Zahid menghormati Ku Li sebagai bekas Menteri Kewangan di zaman Tun Hussein Onn dan pemerhati politik berharap pertemuan mereka berdua dapat menguatkan lagi Umno.




Ahad, Julai 01, 2018

POLITIK WANG MASIH BERLAKU DALAM PEMILIHAN UMNO?



KUALA LUMPUR: Ahli parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah yang gagal merebut presiden Umno mendakwa mendengar khabar angin berlakunya politik wang dalam pemilihan parti itu.

“Saya dengar berita yang tak berapa baik. Saya harap ini khabar angin dan tidak betul. Tapi saya dengar bahawa dalam pemilihan ini, banyak duit digunakan.

“Sepatutnya, kita sudah berhenti menggunakan wang dalam pemilihan parti. Ini adalah sogokan atau rasuah, membeli undi dan sebagainya.

“Kalau benar berlaku, dukacitalah kerana masa depan pimpinan parti ini akan bergantung pada duit juga (kerana amalan politik wang),” katanya.

Tengku Razaleigh menambah, pengaruh duit yang seharusnya dihapuskan sudah bermaharajalela semula dalam politik tanah air, terutama politik Umno.

“Ini tidak akan berfaedah kepada sesiapa,” katanya lagi.

Terdahulu, Tengku Razaleigh, atau Ku Li tewas kepada Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam pemilihan presiden Umno.

Seorang lagi pencabar utama bagi jawatan itu yang turut tewas, Khairy Jamaludddin, turut berkongsi laporan Berita Harian yang memetik dakwaan Ku Li itu di akaun Twitternya.

Khamis, Jun 28, 2018

UNDILAH KU LI YANG TIDAK AKAN DISIASAT SPRM

JOHOR BAHRU, 28 Jun (Bernama) -- Naib Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah membekukan akaun UMNO pusat dan UMNO negeri Selangor.

Ahmad Zahid yang menjalankan tugas-tugas presiden berkata perkara itu diketahuinya sebentar tadi dan beliau berkeyakinan hampir pasti akaun UMNO negeri Johor turut dibekukan SPRM.

Beliau mendakwa Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin akan meminta Pendaftar Pertubuhan (ROS) untuk membatalkan pertubuhan parti itu.

"Tidak ada jaminan sesiapa yang menang jawatan Presiden UMNO, anggota-anggota Majlis Tertinggi dan rakan-rakan Naib Presiden dan Timbalan Presiden yang menang tidak akan disiasat SPRM.

"...tiada jaminan mantan Menteri Besar Johor tidak disiasat SPRM, kerana kita bukan lagi kerajaan," katanya ketika berucap pada majlis Hari Raya Aidilfitri UMNO Johor bersama Naib Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, di sini, hari ini.

Ulasan saya, kenyataan Zahid jelas menunjukkan bahawa perwakilan pada hari Sabtu ini kena undi Ku Li sebagai Presiden Umno yang baharu kerana beliau tidak terlibat dalam kerajaan Datuk Seri Najib Tun Razak sebelum ini. Sudah tentu beliau tidak akan disiasat oleh SPRM.

Jika Zahid menang SPRM akan siasat Zahid/ Begitu juga kalau Khairy menang. Maka perwakilan Umno kena pilih calon yang bersih seperti Ku Li yang sudah tentu tidak ada asas untuk disiasat SPRM.

Rabu, Jun 27, 2018

PEMIMPIN YANG BERMASALAH DAN BUKANNYA UMNO



KOTA KINABALU, 26 Jun (Bernama) --Tengku Razaleigh Hamzah berkata kehadiran UMNO di Sabah diterima baik oleh rakyat negeri itu serta berjaya memainkan peranannya dengan efektif.

Malah katanya UMNO bukan parti yang bermasalah, sebaliknya yang menjadi isu adalah kepimpinan parti itu yang tidak diterima rakyat.

“Rakyat sangat gembira dengan matlamat UMNO dan tujuan parti itu ditubuhkan serta perjuangannya namun rakyat tidak gembira dengan karakter dan tabiat sesetengah pemimpin parti itu,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra Bersama Pemimpin UMNO Sabah, di sini hari ini.

Menurut wakil rakyat Parlimen Gua Musang itu isu integriti dan kredibiliti pemimpin UMNO membimbangkan rakyat, justeru sudah tiba masanya anggota parti mengubah keadaan berkenaan.

“Inilah (integriti dan kredibiliti kepimpinan UMNO) yang menjadi kebimbangan rakyat dan inilah yang perlu diperbetulkan. Kita amat serius dalam menjaga kebajikan rakyat dan kebajikan rakyat inilah yang perlu diambil berat,” katanya.

Jumaat, Jun 22, 2018

UMNO PERLU PEMBERSIHAN KATA KU LI



SHAH ALAM, 22 Jun (Bernama) -- UMNO perlu melakukan 'pembersihan' dan 'pembaikan' seperti dituntut masyarakat bagi menebus semula integriti parti yang dilihat semakin pudar dalam perjuangannya, kata Tengku Razaleigh Hamzah.

Veteran UMNO berusia 81 tahun itu berkata antara 'pembersihan' yang mesti diutamakan adalah dari aspek lagak kepimpinannya berikutan sebelum ini masyarakat melabel pemimpin parti berkenaan sebagai sombong, melampau elitis malah ada yang sukar dibuat janji temu.

Menyatakan perkara berkenaan antara pendekatan yang akan diketengahkannya jika dipilih sebagai presiden UMNO pada pemilihan parti 30 Jun ini, beliau berkata langkah tersebut juga boleh menjadi 'penawar' kepada persepsi masyarakat terhadap parti itu.

"Kita mahu pastikan polisi parti dapat menyembuhkan semula UMNO khususnya dari aspek integriti yang sebelum ini dilihat kurang disukai masyarakat.

"(Anggota dan pemimpin UMNO) cuba jaga diri, jangan terlibat dalam perkara-perkara yang tidak disukai rakyat seperti rasuah dan sebagainya," katanya kepada pemberita selepas majlis ramah mesra beliau bersama-sama pemimpin dan wakil UMNO Selangor, di sini, malam tadi.

Sementara itu, ahli jawatankuasa komunikasi PH, Khairuddin Abu Hassan mencabar calon Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bersumpah laknat di mana mana masjid kerana Zahid kata beliau tidak melutut menemui Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad

" Dia sanggup menipu dan berbohong semata-mata untuk memenangi jawatan presiden umno yang sudah tidak relevan itu," katanya dalam posting Facebook.

Beliau mendakwa Zahid Hamidi yang memohon untuk berjumpa dengan Dr Mahathir Mohamad

"Atas dasar ini saya pun bertindak menemukan Zahid dengan Perdana Menteri," katanya.

Dr Mahathir memang berat hati untuk berjumpa dengan Zahid Hamidi ini kerana beliau berpotensi untuk putar-belitkan fakta sebenar

"Perdana Menteri sama sekali tidak menjemput Zahid Hamidi tetapi mantan Timbalan Perdana Menteri ini yang merayu untuk berjumpa dengan Dr Mahathir," katanya lagi.

Katanya, kenyataan Zahid Hamidi yang menyatakan Tun Dr Mahathir menyuruh ahli-ahli parlimen Umno melompat masuk PPBM amat tidak berasas sama sekali

Katanya lagi, dalam keadaan 'desperado' Zahid sanggup berbohong demi untuk nak selamatkan peluang beliau bagi.memenangi kerusi Presiden Umno

Ahad, Jun 17, 2018

ANTARA ZAHID, KU LI DAN KHAIRY SIAPA CALON PRESIDEN UMNO YANG PALING BERSIH?

KUALA LUMPUR: Hari ini Ketua Pergerakan Pemuda Umno Malaysia, Khairy Jamaluddin mengumumkan bertanding jawatan Presiden Umno pula. Beliau tidak jadi bertanding jawatan naib presiden kerana yakin ahli Umno di seluruh negara mahu orang muda mengetuai Umno.

Nampaknya Khairy sudah masuk perangkap Tun Dr Mahathir Mohamad yang mahu beliau menjadi Presiden Umno. Semalam bekas naib presiden Umno, Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li) bersetuju menawarkan diri sebagai calon Presiden Umno.

Beliau bukannya menentang pemangku Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kerana jawatan itu kosong selepas Datuk Seri Najib Tun Razak meletakkan jawatan selepas PRU bulan lepas. Maka sama ada Ku Li atau Khairy bukannya menentang Zahid sebaliknya mereka merebut jawatan yang kosong bersama Zahid.

Para perwakilan perlu bijak memilih Presiden Umno yang baharu selepas BN gagal mempertahankan kerajaan pusat. Memilih Zahid bermakna mengekalkan pemimpin lama yang bersekongkol dengan Najib. Jika Zahid menang kerajaan Pakatan harapan (PH) mungkin mengorek mana mana salah laku Zahid. Apatah lagi heboh adiknya dapat kontrak membekalkan buruh Bangladesh. Jika kes ini dibawa oleh PH, maka tercemarlah nama Presiden Umno.

Begitu juga jika Khairy jadi Presiden Umno yang baharu, maka banyak kes di tingkat empat dahulu akan dikorek oleh PH. Maka Umno memerlukan Presiden Umno yang bersih tiada ada skandal rasuah dan sebagainya. Sudah tentu Ku Li yang paling bersih di antarab tiga calon ini.

Untuk berdepan dengan Tun Dr Mahathir Mohamad, perwakilan Umno perlu pilih Ku Li sebagai presiden yang baharu. Hanya Ku Li yang setaraf dengan Dr Mahathir. Beliau nyaris menang pada pemilihan 1987 cuma kalah 43 undi. Beliau dikatakan menubuhkan Semangat 46. Sebaliknya Dr Mahathir selepas menubuhkan Umno (baru) pada tahun 1988 enggan menerima Ku Li dan Tun Musa Hitam sebagai ahli Umno (baru). Maka Ku Li tiada pilihan terpaksa mengetuai Parti Semangat 46.

Beliau kembali kepada rakyat untuk menghidupkan Umno lalu. Dua kali rakyat tolak Semangat 46 dalam PRU 1990 dan 1995, maka beliau bubarkan Semangat 46 dan kembali kepada Umno kerana rakyat sudah beri jawapan melalui PRU bahawa mereka tidak berminat untuk memulihkan semula Umno asal yang ditubuhkan pada tahun 1946.

Para perwakilan hendaklah berfikir secara waras. Untuk memulihkan semula Umno perlu seorang pemimpin yang ada track record bukan sahaja di Asia Tenggara malah di dunia. Kalau dibandingkan di antara Zahid dengan Ku Li, siapalah Zahid. Maka pilihlah Presiden yang boleh mengangkat semula martabat Umno ke persada dunia. Jangan pilih kerana wang atau terhutang budi kepada Zahid yang pernah beri projek kepada kita. Saya bukannya tidak sayang kepada Zahid tetapi saya lebih sayang kepada masa depan Umno. Masakan perwakilan lupa bagaimana ucapan Zahid dalam Bahasa Inggeris di Bangsa Bangsa Bersatu diperlekehkan rakyat. Maka perwakilan Umno perlu berani membuat perubahan. Jangan undi kerana kawan tetapi undi kerana mahu lihat Umno dihormati semula di seluruh dunia.

Isnin, Mei 01, 2017

BN PUNYA PELUANG CERAH TAWAN KELANTAN

GUA MUSANG, 30 April (Bernama) -- Anggota Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah berkata Barisan Nasional (BN) perlu segera mengatur strategi bagi memenangi lebih banyak kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kelantan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Bekas Menteri Kewangan itu berpendapat BN mempunyai peluang paling cerah untuk menamatkan penguasaan 27 tahun kerajaan PAS Kelantan pada PRU-14 akan datang.

"BN mampu kembali mentadbir kerajaan negeri ini, tetapi perlu mengatur strategi mulai sekarang. Strategi yang diatur akan membolehkan BN merampas semula pemerintahan kerajaan daripada PAS yang dipegang sejak 1990, katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Pada PRU13, PAS memenangi 32 kerusi DUN, BN 12 manakala Parti Keadilan Rakyat (PKR) menang satu kerusi DUN.

Veteran UMNO itu berkata keyakinan BN menawan semula negeri itu berdasarkan keinginan rakyat Kelantan yang mahukan pembaharuan selepas melihat kelemahan PAS mentadbir negeri ini dan gagal membawa sebarang perubahan sepanjang memerintah.

Dalam pada itu, beliau turut menyokong tindakan masyarakat Orang Asli di jajahan Gua Musang mempertahankan tanah yang mereka usahakan daripada diceroboh pihak luar.

"Kita faham kerajaan negeri bergantung kepada hasil balak tetapi perlu menjaga hak kaum berkenaan ke atas tanah mereka, " katanya.

Dilaporkan, terdapat kemelut di Gua Musang yang melibatkan masyarakat Orang Asli yang mendakwa mereka semakin terancam akibat aktiviti pembalakan sehingga mendirikan halangan di laluan masuk ke kawasan Hutan Simpan Kekal Balah, sejak September tahun lepas.

-- BERNAMA

Rabu, Oktober 27, 2010

KU LI NAFI TIDAK SOKONG AZIZ



Ahli parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah menafikan beliau tidak merestui calon BN, Abdul Aziz Yusof yang juga setiausaha UMNO Bahagian bertanding dalam pilihanraya kecil Galas.

Beliau membuktikan bahawa calon yang dipilih BN bagi pilihan raya kecil Galas menerima sokongan daripada beliau sendiri.


Lewat malam tadi, beliau hadir menemui sekumpulan penduduk di Kampung Baru, salah sebuah daripada dua daerah mengundi dengan majoriti pengundi Cina dalam DUN Galas.

Tindakannya juga memadamkan desas-desus bahawa beliau berkecil hati dengan tindakan BN mencalonkan Abdul Aziz Yusof.

Dalam pada itu, Tengku Razaleigh yang juga pengarah pilihan raya kecil BN di Galas, turut mengambil peluang untuk menjelaskan ketidakhadiran beliau ke pusat penamaan calon hari ini, selepas berbual-bual selama kira-kira 40 minit dengan penduduk setempat di sebuah restoran.

“Sebenarnya saya tak biasa ke pejabat DO tempat menyerah kertas penamaan calon. Ramai kawan-kawan saya yang akan bersama-sama calon untuk menyerahkan kertas penamaan calon.


“Jadi saya kata elok saya berada di luar untuk bersama-sama penyokong untuk kerja kita di merata tempat ke seluruh negara berhimpun di situ. Jadi tak semestinya semua orang ke sana. Tak jadi masalah. Itu saja," jelasnya.

Beliau hanya ketawa kecil apabila diajukan pertanyaan oleh wartawan sama ada beliau berkecil hati sehingga tidak memasuki pusat penamaan calon semalam.

Turut hadir di pusat penamaan calon semalam ialah mursyidul am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang serta pemimpin lain yang pernah bersamanya ketika dalam Angkatan Perpaduan Ummah.

“Itu perkara biasalah nak cari sebab supaya nak laga-lagakan kita tapi takkan berhasil kerana calon ini calon yang saya sokong seratus peratus.


“Dia telah dipilih oleh jawatankuasa Umno bahagian semasa kita mengadakan rundingan dengan undi yang banyak sekali. Dan itulah nama yang saya kemukakan kepada Datuk Seri Najib supaya dia menentukan pilihan yang sebenar.

“Jadi dia membuat pilihan daripada apa yang diputuskan semua orang. Orang lain semua tak dapat undi seperti dia. Dia dapat undi terbanyak," kata Tengku Razaleigh yang juga ketua Umno bahagian Gua Musang.

“Kita rasa kempen kali ini seolah-olah satu pertandingan 'friendly contest' (pertandingan persahabatan). Iyalah apabila berlaku pertandingan tidak berlaku 'friendly contest' lagi barangkali tetapi bagaimanapun saya ingin anjurkan 'friendly contest' sesama kita,” katanya.

“Satu hari anda bersahabat, satu hari anda jadi seteru, tapi tidak ada rugipun (kepada saya),” katanya lagi yang mesra dengan panggilan Ku Li.


Mengulas mengenai sokongannya kepada tuntutan royalti minyak oleh Kelantan, Tengku Razaleigh berkata beliau akan tetap dengan pendirian yang dinyatakan sebelum ini dalam isu tersebut.

“Penjelasan saya sudah cakap, saya rasa apa yang terpakai dalam undang-undang yang terpakai kita akan teruskan. Itulah pendapat saya,” katanya lagi.

Jumaat, Oktober 01, 2010

KALAU ISA SAMAD BOLEH JADI CALON, MASAKAN KU LI TIDAK?


Kalau bekas Menteri Wilayah Persekutuan,Tan Sri Isa Samad boleh dijadikan calon BN bagi pilihanraya kecil Bagan Pinang pada tahun lepas, apa salahnya BN kali ini mencalonkan ahli parlimen Gua Musang, Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah sebagai calon bagi pilihanraya kecil DUN Galas.

BN lebih mudah bekerja kalau Ku Li dijadikan calon kerana semua orang sudah kenal Ku Li. Kalau letak orang baru, menjadi masalah bagi Bn untuk memperkenalkan calon baru dalam tempoh sebulan dari sekarang.

Justru itu cadangan Ketua Pemuda UMNO Kelantan, Anuar Safian wajar diambil kira oleh pucuk pimpinan parti. Ku Li bukannya mahu jadi Menteri Besar Kelantan pada pilihanraya umum akan datang tetapi beliau diperlukan di saat-saat ini untuk merampas kembali kerusi DUN Galas.

Pemuda UMNO Kelantan mencadangkan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas.

Ketuanya, Anuar Safian berkata, pihaknya yakin kewibawaan dan kepemimpinan Tengku Razaleigh di Gua Musang satu kelebihan bagi BN untuk merampas kembali kerusi berkenaan daripada PAS.

Saya percaya dengan berkat kepimpinan beliau sebagai Ahli Parlimen selama lebih 30 tahun serta sudah memimpin UMNO Gua Musang selama lebih 20 tahun akan memberikan kekuatan baru kepada UMNO Kelantan di bawah kepemimpinan Datuk Seri Mustapa Mohamed.
Sudah tiba masanya Ku Li diberi peranan yang lebih termasuk sebagai Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dengan keupayaan beliau sebagai orang lama parti selain boleh memainkan peranan yang lebih di DUN Kelantan, katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Kerusi DUN Galas kosong selepas kematian penyandangnya, Chek Hashim Sulaima yang merampas kerusi itu daripada BN pada pilihan raya umum lalu apabila menewaskan calon BN, Mohamad Saufi Deraman dengan majoriti 646 undi.

Pada pilihan raya umum 2004 Mohamad Saufi memenangi kerusi itu dengan majoriti 1,729 undi. Kerusi itu sebelum ini adalah kubu kuat BN dan peranan Tengku Razaleigh diperlukan bagi merampasnya kembali.

Kelmarin Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pelantikan Ketua UMNO bahagian Gua Musang itu sebagai Pengarah Pilihan Raya UMNO dan BN bagi pilihan raya kecil itu.
Anuar berkata, pucuk pimpinan parti perlu memikirkan perkara itu dengan serius kerana khidmat bakti Tengku Razaleigh diperlukan bagi membantu masyarakat Kelantan terutama di Gua Musang.

Rakyat Kelantan, sedikit sebanyak memerlukan orang seperti Ku Li untuk membantu negeri ini keluar dari kepompong kedaifan dan fahaman songsang PAS yang menular dikalangan masyarakat luar bandar dengan perpecahan yang boleh menyebabkan masa depan orang Melayu hancur, katanya.

Bagaimanapun, katanya, Pemuda Kelantan menyerahkan kepada kebijaksanaan pucuk pimpinan parti untuk menentukan calon yang akan bertanding dan pihaknya akan memberi sepenuh sokongan bagi memastikan kemenangan BN.

Jumaat, Mac 19, 2010

KU LI NAFI SERTAI PEMBANGKANG


Anggota Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah menafikan beliau antara lapan pemimpin Barisan Nasional (BN) yang akan menyertai pakatan pembangkang untuk menubuhkan kerajaan pintu belakang pada 16 September 2008.

"Saya tak mahu komen pasal ini, 48 tahun saya bersama Umno. Apa yang didakwa itu sebagai satu cerita dongeng," katanya kepada pemberita di sini Jumaat.

Anggota Parlimen Bebas bagi Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim telah menamakan lapan Anggota Parlimen BN di Dewan Rakyat semalam, dengan mendakwa mereka bersedia menyertai pakatan.

Tengku Razaleigh berkata, jika dakwaan itu benar, beliau kini pasti sudah memegang satu jawatan besar dalam Parti Pakatan Rakyat (PKR) yang dipimpin Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam dakwaan itu, Zahrain telah menamakan Datuk Seri Abdul Ghapur Salleh (BN-Kalabakan), Datuk Seri Anifah Aman (BN-Kimanis), Datuk Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan), Datuk Chua Soon Bui (Bebas-Tawau), Datuk Enchin Majimbun (Bebas-Sepanggar), Dr Mohd Puad Zarkashi (BN-Batu Pahat), Datuk Seri Tengku Azlan Sultan Abu Bakar (BN-Jerantut) dan salah seorang daripada Timbalan Speaker juga tersenarai dikatakan akan melompat menyertai pembangkang.

Beliau berkata disebabkan dakwaan itu ibarat satu cerita dongeng, iaitu sebuah cerita yang direka mengikut fantasi pembangkang, beliau tidak mahu membuat sebarang komen terhadap dakwaan yang tidak betul itu.

Tengku Razaleigh juga menafikan beliau ada didatangi pihak berkenaan agar keluar BN untuk menyertai PKR bagi membolehkan pembangkang membentuk kerajaan persekutuan kira-kira tujuh bulan selepas pilihan raya umum ke-12.

Rabu, Oktober 08, 2008

PILIHLAH PEMIMPIN YANG BERSIH


Akhirnya Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi telah mengumumkan tidak akan mempertahankan jawatan Presiden UMNO dalam pemilihan Mac ini pada 8 Oktober lalu. Walaupun pada malam sebelumnya seramai 20 orang Ketua Bahagian datang ke rumahnya memujuknya supaya tidak menarik diri, tetapi Pak Lah tetap dengan keputusannya itu.

Pak Lah akan mencatat sejarah sebagai Presiden UMNO sepenggal setelah menang tanpa bertanding pada pemilihan 2004. Sebelum itu Pak Lah memangku jawatan Presiden UMNO setelah Tun Dr. Mahathir melepaskan jawatannya pada 31 Oktober 2003.

Dalam tempoh lima tahun Pak Lah menjadi Perdana Menteri, tidak banyak kejayaaan yang boleh dibanggakan Pak Lah. Selepas ini tak tahu apa akan jadi kepada Islam Hadharinya dan pembangunan koridornya seperti NCER, ECER dan Wilayah Iskandar. Adakah Datuk Seri Najib akan meneruskan apa yang dilaksanakan Pak Lah sebelum ini?

Laluan untuk Najib ke kerusi Presiden UMNO bukannya mudah kerana ahli parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah tetap dengan pendiriannya mahu bertanding kerusi tersebut. Ku Li telah menggariskan pelbagai pakej pembaharuan yang bakal dilakukannya jika beliau menang Presiden UMNO pada bulan Mac depan. Najib mungkin akan mengeluarkan manifestonya juga dan beliau tidak ada halangan untuk mendapat cukup pencalonan sedangkan Ku Li belum tentu dapat cukup pencalonan. Tambahan pula mentality ahli UMNO melihat Najib adalah Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan sedangkan Ku Li tidak ada apa yang boleh diberikan kepada Ketua-Ketua UMNO Bahagian.

Soalnya dapatkah Najib menyelamatkan UMNO dari dirempuh ombak 2012. Baru-baru ini BN kehilangan lima negeri dalam tsunami 8 Mac 2008. Dapatkah Najib merampas kembali lima negeri ini atau terus tenggelam dilanggar Pakatan Rakyat pada pilihan raya umum 2012?

Seperti kata Ku Li, UMNO bukan boleh diwariskan. Biarlah ahli-ahli UMNO yang menentukan siapa yang layak menerajui parti itu sama ada Ku Li atau Najib? Para perwakilan di 191 Bahagian seharusnya memikirkan masa depan UMNO dan masa depan Melayu. Seperti kata Naib Presiden PAS, Haji Mat Sabu, PAS lebih suka UMNO dipimpin oleh Najib kerana dengan kisah peribadinya yang tidak bersih sudah tentu memudahkan PAS menyerang UMNO sedangkan Ku Li tidak ada skandal menyukarkan PAS untuk menyerang peribdai Ku Li.

Terpulanglah kepada ahli-ahli UMNO. Jika mereka rasakan UMNO mahu hidup lama,. pilihlah pemimpin yang tidak ada skandal. Jika mahu Pakatan Rakyat berkubur dalam pilihan raya akan datang, pilihlah pemimpin yang ada integriti. Kita tidak mahu maruah UMNO diperlekehkan oleh parti pembangkang. Justru itu pilihlah pemimpin yang bersih.

Selasa, Oktober 07, 2008

JIKA KU LI MENANG


Bukannya mudah mahu menjadi Presiden UMNO. Apatah lagi jawatan itu automatik menjadi Perdana Menteri Malaysia. Oleh itu untuk bertanding kerusi itu, seseorang calon itu mestilah mempunyai perancangan tertentu untuk negara.

Calon Presiden UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah tidak terkecuali. Beliau ada agenda tertentu jika beliau menang dalam pertandingan tersebut Mac depan. Menurut sumber yang rapat dengan beliau, beliau akan membawa pelbagai perubahan jika beliau menang nanti.

Antaranya beliau mahu kuasa dikembalikan kepada ahli UMNO. Ahli UMNO di semua cawangan diberi peluang untuk memilih pucuk pimpinan parti dan bukan lagi 2,400 perwakilan yang menentukan pucuk pimpinan negara. Sebaliknya semua ahli UMNO seramai 3 juta orang lebih layak memilih barisan kepimpinan parti d isemua peringkat dari jawatan Ketua Cawangan hinggalah Presiden.

Semua ahli UMNO layak bertanding apa jua jawatan di apa peringkat sekalipun. Jika seseorang itu mahu bertanding, beliau hanya perlu mendaftarkan dirinya sebagai calon dan beliau bolehlah berkempen untuk memperkenalkan wawasannya kepada semua ahli.

Malah ahli juga yang diberikan hak untuk memilih calon dalam pilihan raya nanti. Dengan ini soal calon payung terjun tidak timbul lagi. Masalah yang terjadi calon yang datang dari luar bukan sahaja tidak kenal kawasan yang ditandinginya malah sesat dalam kawasan tersebut. Perdana Menteri pula dipilih di kalangan ahli parlimen supaya calon yang layak dan diterima oleh majoriti ahli parlimen.

Dengan adanya proses pemilihan calon ditentukan oleh ahli UMNO sendiri, peluang untuk sabotaj calon di kalangan ahli UMNO semakin tipis. Malah dengan cara ini calon yang berintegriti, tidak rasuah dan tidak ada rekod jenayah lebih mudah dikenalpasti kerana selama ini calon dipilih oleh Presiden parti dan bukannya oleh ahli parti.

Pembaharuan lain yang bakal dilakukan oleh bekas Menteri Kewangan itu ialah seseorang Presiden akan ditetapkan tiga penggal seorang. Ini bermakna sembilan tahun sahaja kerana satu penggal sama dengan tempoh tiga tahun. Semua jawatan termasuk Perdana Menteri, Menteri Besar dan menteri kabinet mempunyai hayat yang sama. Ini bermakna seseorang itu tidak akan memegang jawatan sampai mati.

Selain dari itu semua Ketua Bahagian dan ahli jawatankuasa bahagian diberi hak untuk memilih Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri. Tidak semestinya Menteri Besar yang layak jadi Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri. Menteri Besar dilantik oleh Perdana Menteri tetapi Pengerusi Perhubungan dipilih oleh semua Ketua UMNO Bahagian.

Bukannya mudah bagi Ku Li untuk mendapatkan pencalonan dari 191 Bahagian di seluruh negara. Apatah lagi Ketua Bahagian diberi projek, tender supaya menyokong calon penyandang. Malah ada Ketua Bahagian yang ditawarkan projek RM200 juta untuk mendapatkan pencalonan bagi jawatan tertinggi itu. Bukannya senang mahu ubah minda ahli-ahli UMNO kerana mereka sudah biasa disuap. Bukan sahaja rasuah jadi amalan malah ugutan turut dikenakan kepada mereka supaya menyokong calon-calon tertentu.

Sekarang ini amalan politik wang amat canggih. Tidak perlu lagi dihulur wang melalui perseorangan sebaliknya nombor akaun perwakilan sahaja yang diperlukan. Transaksi dibuat melalui mesin ATM yang mana bukti sukar diperolehi kecuali Badan Pencegah Rasuah (BPR) diminta memantau akaun semua perwakilan sebelum dan selepas Perhimpunan Agung UMNO Mac depan.

Ku Li pernah membayangkan kepada pembantu rapatnya jika beliau menang beliau akan memansuhkan kuota pencalonan. Malah dengan adanya kuota ini rasuah politik semakin bermaharajalela kerana untuk cukupkan kuota sejumlah wang terpaksa dikeluarkan. Pemansuhan kuota ini akan mengambil masa sekurang-kurangnya setahun untuk dilaksanakan kerana Pendaftar Pertubuhan mengambil masa untuk melaksanakan sebarang pindaan kepada perlembagaan parti.

Dasar ekonomi tidak dilupakan oleh Ku Li. Selain berjanji membawa pelabur asing terutamanya dari Barat, beliau juga mahu meningkatkan pendapatan per kapita rakyat dari USD4,000 kepada USD10,000 setahun dalam tempoh empat hingga lima tahun untuk semua golongan rakyat walaupun berada di kampong.. Perkara ini tidak mustahil dicapai jika produktiviti rakyat dapat ditingkatkan. Sehubungan dengan itu beliau akan berdailog dengan NGO dan kesatuan sekerja agar gaji minima dapat dilaksanakan di negara ini. Malah peluang-peluang pekerjaan akan dibuka seluas-luasnya kepada rakyat menganggur terutamanya kepada siswazah menganggur. Dasar employment akan digubal supaya kadar pengangguran dapat dikurangkan.

Dengan pendapatan yang meningkat ini, sebarang kenaikan harga samaada harga minyak atau apapun, akan dapat diatasi bebannya.

Bagi merakyatkan UMNO, Ku Li berikrar akan memudahkan proses kemasukan ahli UMNO kepada semua gokongan supaya golongan professional tidak lari kepada pihak pembangkang. Amat rugi UMNO kerana menyekat orang yang cerdik pandai menyertai parti itu kerana masing-masing takut kepada bayang-bayang.

Dari segi tender, pembahagian tender akan dibuat secara adil supaya semua pihak mendapat peluang dan bukannya orang yang sama yang dapat tender berulangkali. Malah pemberian tender akan dibuat lebih telus supaya orang yang berkebolehan mendapat peluang. Oleh itu tidak timbul lagi soal jual projek atau mengalibabakan projek.

Dari segi tender, keutamaan akan diberi kepada kontraktor tempatan. Ini bermakna jika projek itu dibuat di Perlis, kontraktor Perlis yang patut mendapat projek dan bukannya kontraktor dari Johor. Sehubungan dengan itu orang tempatan yang akan mendapat faedah dari projek di kawasan masing-masing.

Undang-undang draconian serperti ISA, OSA, Akta Universiti akan dikaji semula. Akta mesin cetak pula akan dihapuskan. Biar rakyat betul-betul bebas tetapi bebas yang bertanggungjawab. Undang-undang akan diliberalisasikan .Malah semua undang-undang baru akan dibentang kepada rakyat terlebih dahulu sebelum dibawa ke parlimen. Rakyat yang berhak menentukan sama ada sesuatu rang undang-undang itu wajar digubal atau tidak.

Beliau juga berhasrat untuk mengliberalkan undang-undang siber di negara kita. Rakyat Malaysia yang baru pulang dari luar negara terkejut kerana undang-undang siber kita masih banyak sekatan dan tidak liberal. Ia akan diliberalisasikan tetapi ia tidaklah sampai menggugat keselamatan negara. Jalur lebar akan dipertingkatkan supaya kemudahan ini dapat dinikmati oleh rakyat di semua kawasan dan biar rakyat celik komputer seramai mungkin dengan 40 megabite per second dalam tempoh masa yang berpringkat-peringkat.

Kerajaan baru juga berjanji supaya red tape birokrasi dalam jabatan kerajaan dikurangkan. Sistem baru akan diperkenalkan supaya rakyat tidak perlu lagi mencari menteri sebaliknya rakyat diberi peluang yang sama dalam apa bentuk permohonan. Ini bermakna rakyat tidak perlu lagi membawa surat sokongan wakil rakyat mereka atau surat sokongan menteri.

Semua dasar akan dikaji semula seperti dasar pelajaran dan dasar kesihatan supaya semua rakyat mendapat kemudahan kesihatan di semua hospital kerajaan. Ada kes rakyat takut ke hospital kerana terpaksa membayar pendahuluan masuk hospital. Dasar pelajaran akan ditingkatkan supaya rakyat bukan sahaja berilmu di dalam negara dalam keadaan perpaduan, malah di peringkat global supaya mereka menjadi pelajar yang terbaik di dunia yang dapat bersaing dengan pelajar di universiti antarabangsa.

Barisan Nasional (BN) akan diperkasakan supaya semua ahli dari semua parti komponen menjadi ahli BN secara langsung. Dengan ini polarisasi kaum dapat dikurangkan kerana selama ini parti komponen BN lebih terarah kepada memperjuangkan kepentingan suku kaum masing-masing. Cara ini juga menyebabkan BN akan menjadi parti berbilang kaum yang sebenar.

Mengenai tol, Ku Li pernah berkata bahawa beliau tidak tahu isi kandungan perjanjian tol tetapi ia dapat mengurangkan beban rakyat jika kerajaan menghapuskan cukai jalan kenderaan. Semua tol yang membebankan rakyat akan dikaji semula, supaya semua pihak tidak rugi, secara seimbang.

Malah Ku Li bercadang memperkenalkan sistem baru iaitu mengisi surat pengisytiharan rakyat yang mana rakyat mempercayai kerajaan dan kerajaan mempercayai rakyat. Maknanya mereka hanya dikehendaki mengisi “borang pengisytiharan” dan atas dasar percaya, kerajaan tidak perlu lagi meneliti latar belakang seseorang. Mereka saling percaya mempercayai antara satu sama lain. Tetapi jika mereka menipu mereka akan dikenakan hukuman yang setimpal dengan kesalahan mereka. Ini bermakna “your word is your honour/bond”. Ku Li percaya majoriti rakyat Malaysia ikhlas dan jujur tetapi yang “menghitamkan” imej Negara adalah segelintir sahaja.

Dengan pelbagai pembaharuan yang bakal dibuat oleh Ku Li, saya percaya jika beliau menang masa depan ahli UMNO lebih terjamin. Malah UMNO akan menjadi lebih relevan tertutamanya kepada golongan muda.

Cara mana nak menarik golongan muda menyertai UMNO? UMNO perlu buka pintu seluas-luasnya kepada mereka supaya setiap ruang yang ada mereka dapat menghirup udara di dalam UMNO. Apa yang sering terjadi berlakunya sekatan di kalangan ahli UMNO kerana bimbang kedudukan ketua cawangan dan orang atasan yang pentingkan peribadi dari parti, tergugat. Kerana kepentingan seorang ketua cawangan , majoriti rakyat yang disekat menyertai UMNO akhirnya berjaya menumbangkan UMNO. Oleh itu golongan muda perlu diberi peluang untuk aktif dalam parti. Malah kalau perlu Perintah Am yang menyekat pegawai kumpulan A aktif dalam politik perlu dipinda supaya lebih ramai pegawai kumpulan A aktif di peringkat cawangan dan bahagian.

Sering berlaku konflik kepentingan kerana tukang kebun jadi ketua cawangan tetapi ketua jabatan tidak dapat bergerak cergas atau disekat untuk menyertai dan melibatkan diri dalam politik yang menyebabkan ketua jabatan terpaksa menghormati tukang kebun dalam majlis rasmi parti. Janggal!

Sehubungan dengan itu, jika refomasi yang dibuat oleh calon Presiden UMNO ini dapat diterima oleh akar-umbi, saya percaya UMNO akan lebih kuat dan lebih gemilang walaupun ada yang berpendapat UMNO semakin tidak relevan lagi.

Isnin, September 29, 2008

JIKA PAK LAH BERUNDUR, KU LI SUKAR DAPAT PENCALONAN?


Tengahari Sabtu lalu pula saya ikuti sidang akhbar di rumah Tengku Razaleigh Hamzah. Ku Li tetap menolak pelan peralihan kuasa yang ditetapkan oleh Pak Lah dan beliau menolak penangguhan Perhimpunan Agung UMNO ke bulan Mac 2009.


Ku Li yakin dapat 140 pencalonan walau pun saya sendiri sangsi. Saya sempat bertanya Ku Li, "Tengku, jika Pak Lah berundur, mungkin Datuk Seri Najib dapat banyak pencalonan untuk jawatan Presiden UMNO".

Ku Li menjawab ringkas, "Kalau itu kehendak akar umbi, saya terimalah"

Datuk Kadar Shah yang turut hadiri majlis sidang akhbar itu menegur saya selepas majlis itu.
“Sedap I baca tulisan u, Melawat semula Muar dalam WATAN” katanya.
“Datuk dah baca ke?’ tanya saya.
“Dah. Malam ini jangan lupa jumpa di Don di Sri Hartamas,” kata lagi anak bekas Pengerusi Tetap UMNO Malaysia, Tun Sulaiman Ninam Shah.