Rabu, Oktober 08, 2008

PILIHLAH PEMIMPIN YANG BERSIH


Akhirnya Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi telah mengumumkan tidak akan mempertahankan jawatan Presiden UMNO dalam pemilihan Mac ini pada 8 Oktober lalu. Walaupun pada malam sebelumnya seramai 20 orang Ketua Bahagian datang ke rumahnya memujuknya supaya tidak menarik diri, tetapi Pak Lah tetap dengan keputusannya itu.

Pak Lah akan mencatat sejarah sebagai Presiden UMNO sepenggal setelah menang tanpa bertanding pada pemilihan 2004. Sebelum itu Pak Lah memangku jawatan Presiden UMNO setelah Tun Dr. Mahathir melepaskan jawatannya pada 31 Oktober 2003.

Dalam tempoh lima tahun Pak Lah menjadi Perdana Menteri, tidak banyak kejayaaan yang boleh dibanggakan Pak Lah. Selepas ini tak tahu apa akan jadi kepada Islam Hadharinya dan pembangunan koridornya seperti NCER, ECER dan Wilayah Iskandar. Adakah Datuk Seri Najib akan meneruskan apa yang dilaksanakan Pak Lah sebelum ini?

Laluan untuk Najib ke kerusi Presiden UMNO bukannya mudah kerana ahli parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah tetap dengan pendiriannya mahu bertanding kerusi tersebut. Ku Li telah menggariskan pelbagai pakej pembaharuan yang bakal dilakukannya jika beliau menang Presiden UMNO pada bulan Mac depan. Najib mungkin akan mengeluarkan manifestonya juga dan beliau tidak ada halangan untuk mendapat cukup pencalonan sedangkan Ku Li belum tentu dapat cukup pencalonan. Tambahan pula mentality ahli UMNO melihat Najib adalah Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan sedangkan Ku Li tidak ada apa yang boleh diberikan kepada Ketua-Ketua UMNO Bahagian.

Soalnya dapatkah Najib menyelamatkan UMNO dari dirempuh ombak 2012. Baru-baru ini BN kehilangan lima negeri dalam tsunami 8 Mac 2008. Dapatkah Najib merampas kembali lima negeri ini atau terus tenggelam dilanggar Pakatan Rakyat pada pilihan raya umum 2012?

Seperti kata Ku Li, UMNO bukan boleh diwariskan. Biarlah ahli-ahli UMNO yang menentukan siapa yang layak menerajui parti itu sama ada Ku Li atau Najib? Para perwakilan di 191 Bahagian seharusnya memikirkan masa depan UMNO dan masa depan Melayu. Seperti kata Naib Presiden PAS, Haji Mat Sabu, PAS lebih suka UMNO dipimpin oleh Najib kerana dengan kisah peribadinya yang tidak bersih sudah tentu memudahkan PAS menyerang UMNO sedangkan Ku Li tidak ada skandal menyukarkan PAS untuk menyerang peribdai Ku Li.

Terpulanglah kepada ahli-ahli UMNO. Jika mereka rasakan UMNO mahu hidup lama,. pilihlah pemimpin yang tidak ada skandal. Jika mahu Pakatan Rakyat berkubur dalam pilihan raya akan datang, pilihlah pemimpin yang ada integriti. Kita tidak mahu maruah UMNO diperlekehkan oleh parti pembangkang. Justru itu pilihlah pemimpin yang bersih.