Selasa, Julai 24, 2018

ZAHID TEMUI KU LI RUNDING MASA DEPAN UMNO





KUALA LUMPUR: Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengunjungi Tengku Razaleigh Hamzah, pesaing beliau dalam pemilihan parti itu bulan lalu, bagi membincangkan masa depan Umno.

"Alhamdulillah, saya baru saja menziarahi Tengku Razaleigh Hamzah. Bertanya khabar dan membincangkan hala tuju Umno demi ke arah yang lebih baik. Kami bersifat semangat setiakawan," ciap Zahid di Twitter.

Beliau berkongsi gambar pertemuannya dengan Anggota Parlimen Gua Musang itu di kediaman Razaleigh yang dikenali sebagai replika Rumah Putih.

Zahid menewaskan Razaleigh dalam pertarungan tiga penjuru merebut jawatan presiden Umno bulan lalu yang turut menampilkan Anggota Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin. Razaleigh mendapat undi paling sedikit dalam pertandingan itu.

Perjumpaan dengan Razaleigh selepas Khairy menjarakkan dirinya daripada kepimpinan Umno di bawah Zahid.

Khairy enggan menerima sebarang jawatan dalam Umno supaya beliau dapat terus bersikap kritikal.

Menurut pemerhati politik, tindakan Zahid merendah diri mengunjungi Ku Li di pejabatnya menunjukkan Zahid berjiwa besar kerana selaku Presiden Umno beliau tidak perlu tunduk kepada Ku Li.

Tetapi Zahid menghormati Ku Li sebagai bekas Menteri Kewangan di zaman Tun Hussein Onn dan pemerhati politik berharap pertemuan mereka berdua dapat menguatkan lagi Umno.