Selasa, Oktober 07, 2008

JIKA KU LI MENANG


Bukannya mudah mahu menjadi Presiden UMNO. Apatah lagi jawatan itu automatik menjadi Perdana Menteri Malaysia. Oleh itu untuk bertanding kerusi itu, seseorang calon itu mestilah mempunyai perancangan tertentu untuk negara.

Calon Presiden UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah tidak terkecuali. Beliau ada agenda tertentu jika beliau menang dalam pertandingan tersebut Mac depan. Menurut sumber yang rapat dengan beliau, beliau akan membawa pelbagai perubahan jika beliau menang nanti.

Antaranya beliau mahu kuasa dikembalikan kepada ahli UMNO. Ahli UMNO di semua cawangan diberi peluang untuk memilih pucuk pimpinan parti dan bukan lagi 2,400 perwakilan yang menentukan pucuk pimpinan negara. Sebaliknya semua ahli UMNO seramai 3 juta orang lebih layak memilih barisan kepimpinan parti d isemua peringkat dari jawatan Ketua Cawangan hinggalah Presiden.

Semua ahli UMNO layak bertanding apa jua jawatan di apa peringkat sekalipun. Jika seseorang itu mahu bertanding, beliau hanya perlu mendaftarkan dirinya sebagai calon dan beliau bolehlah berkempen untuk memperkenalkan wawasannya kepada semua ahli.

Malah ahli juga yang diberikan hak untuk memilih calon dalam pilihan raya nanti. Dengan ini soal calon payung terjun tidak timbul lagi. Masalah yang terjadi calon yang datang dari luar bukan sahaja tidak kenal kawasan yang ditandinginya malah sesat dalam kawasan tersebut. Perdana Menteri pula dipilih di kalangan ahli parlimen supaya calon yang layak dan diterima oleh majoriti ahli parlimen.

Dengan adanya proses pemilihan calon ditentukan oleh ahli UMNO sendiri, peluang untuk sabotaj calon di kalangan ahli UMNO semakin tipis. Malah dengan cara ini calon yang berintegriti, tidak rasuah dan tidak ada rekod jenayah lebih mudah dikenalpasti kerana selama ini calon dipilih oleh Presiden parti dan bukannya oleh ahli parti.

Pembaharuan lain yang bakal dilakukan oleh bekas Menteri Kewangan itu ialah seseorang Presiden akan ditetapkan tiga penggal seorang. Ini bermakna sembilan tahun sahaja kerana satu penggal sama dengan tempoh tiga tahun. Semua jawatan termasuk Perdana Menteri, Menteri Besar dan menteri kabinet mempunyai hayat yang sama. Ini bermakna seseorang itu tidak akan memegang jawatan sampai mati.

Selain dari itu semua Ketua Bahagian dan ahli jawatankuasa bahagian diberi hak untuk memilih Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri. Tidak semestinya Menteri Besar yang layak jadi Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri. Menteri Besar dilantik oleh Perdana Menteri tetapi Pengerusi Perhubungan dipilih oleh semua Ketua UMNO Bahagian.

Bukannya mudah bagi Ku Li untuk mendapatkan pencalonan dari 191 Bahagian di seluruh negara. Apatah lagi Ketua Bahagian diberi projek, tender supaya menyokong calon penyandang. Malah ada Ketua Bahagian yang ditawarkan projek RM200 juta untuk mendapatkan pencalonan bagi jawatan tertinggi itu. Bukannya senang mahu ubah minda ahli-ahli UMNO kerana mereka sudah biasa disuap. Bukan sahaja rasuah jadi amalan malah ugutan turut dikenakan kepada mereka supaya menyokong calon-calon tertentu.

Sekarang ini amalan politik wang amat canggih. Tidak perlu lagi dihulur wang melalui perseorangan sebaliknya nombor akaun perwakilan sahaja yang diperlukan. Transaksi dibuat melalui mesin ATM yang mana bukti sukar diperolehi kecuali Badan Pencegah Rasuah (BPR) diminta memantau akaun semua perwakilan sebelum dan selepas Perhimpunan Agung UMNO Mac depan.

Ku Li pernah membayangkan kepada pembantu rapatnya jika beliau menang beliau akan memansuhkan kuota pencalonan. Malah dengan adanya kuota ini rasuah politik semakin bermaharajalela kerana untuk cukupkan kuota sejumlah wang terpaksa dikeluarkan. Pemansuhan kuota ini akan mengambil masa sekurang-kurangnya setahun untuk dilaksanakan kerana Pendaftar Pertubuhan mengambil masa untuk melaksanakan sebarang pindaan kepada perlembagaan parti.

Dasar ekonomi tidak dilupakan oleh Ku Li. Selain berjanji membawa pelabur asing terutamanya dari Barat, beliau juga mahu meningkatkan pendapatan per kapita rakyat dari USD4,000 kepada USD10,000 setahun dalam tempoh empat hingga lima tahun untuk semua golongan rakyat walaupun berada di kampong.. Perkara ini tidak mustahil dicapai jika produktiviti rakyat dapat ditingkatkan. Sehubungan dengan itu beliau akan berdailog dengan NGO dan kesatuan sekerja agar gaji minima dapat dilaksanakan di negara ini. Malah peluang-peluang pekerjaan akan dibuka seluas-luasnya kepada rakyat menganggur terutamanya kepada siswazah menganggur. Dasar employment akan digubal supaya kadar pengangguran dapat dikurangkan.

Dengan pendapatan yang meningkat ini, sebarang kenaikan harga samaada harga minyak atau apapun, akan dapat diatasi bebannya.

Bagi merakyatkan UMNO, Ku Li berikrar akan memudahkan proses kemasukan ahli UMNO kepada semua gokongan supaya golongan professional tidak lari kepada pihak pembangkang. Amat rugi UMNO kerana menyekat orang yang cerdik pandai menyertai parti itu kerana masing-masing takut kepada bayang-bayang.

Dari segi tender, pembahagian tender akan dibuat secara adil supaya semua pihak mendapat peluang dan bukannya orang yang sama yang dapat tender berulangkali. Malah pemberian tender akan dibuat lebih telus supaya orang yang berkebolehan mendapat peluang. Oleh itu tidak timbul lagi soal jual projek atau mengalibabakan projek.

Dari segi tender, keutamaan akan diberi kepada kontraktor tempatan. Ini bermakna jika projek itu dibuat di Perlis, kontraktor Perlis yang patut mendapat projek dan bukannya kontraktor dari Johor. Sehubungan dengan itu orang tempatan yang akan mendapat faedah dari projek di kawasan masing-masing.

Undang-undang draconian serperti ISA, OSA, Akta Universiti akan dikaji semula. Akta mesin cetak pula akan dihapuskan. Biar rakyat betul-betul bebas tetapi bebas yang bertanggungjawab. Undang-undang akan diliberalisasikan .Malah semua undang-undang baru akan dibentang kepada rakyat terlebih dahulu sebelum dibawa ke parlimen. Rakyat yang berhak menentukan sama ada sesuatu rang undang-undang itu wajar digubal atau tidak.

Beliau juga berhasrat untuk mengliberalkan undang-undang siber di negara kita. Rakyat Malaysia yang baru pulang dari luar negara terkejut kerana undang-undang siber kita masih banyak sekatan dan tidak liberal. Ia akan diliberalisasikan tetapi ia tidaklah sampai menggugat keselamatan negara. Jalur lebar akan dipertingkatkan supaya kemudahan ini dapat dinikmati oleh rakyat di semua kawasan dan biar rakyat celik komputer seramai mungkin dengan 40 megabite per second dalam tempoh masa yang berpringkat-peringkat.

Kerajaan baru juga berjanji supaya red tape birokrasi dalam jabatan kerajaan dikurangkan. Sistem baru akan diperkenalkan supaya rakyat tidak perlu lagi mencari menteri sebaliknya rakyat diberi peluang yang sama dalam apa bentuk permohonan. Ini bermakna rakyat tidak perlu lagi membawa surat sokongan wakil rakyat mereka atau surat sokongan menteri.

Semua dasar akan dikaji semula seperti dasar pelajaran dan dasar kesihatan supaya semua rakyat mendapat kemudahan kesihatan di semua hospital kerajaan. Ada kes rakyat takut ke hospital kerana terpaksa membayar pendahuluan masuk hospital. Dasar pelajaran akan ditingkatkan supaya rakyat bukan sahaja berilmu di dalam negara dalam keadaan perpaduan, malah di peringkat global supaya mereka menjadi pelajar yang terbaik di dunia yang dapat bersaing dengan pelajar di universiti antarabangsa.

Barisan Nasional (BN) akan diperkasakan supaya semua ahli dari semua parti komponen menjadi ahli BN secara langsung. Dengan ini polarisasi kaum dapat dikurangkan kerana selama ini parti komponen BN lebih terarah kepada memperjuangkan kepentingan suku kaum masing-masing. Cara ini juga menyebabkan BN akan menjadi parti berbilang kaum yang sebenar.

Mengenai tol, Ku Li pernah berkata bahawa beliau tidak tahu isi kandungan perjanjian tol tetapi ia dapat mengurangkan beban rakyat jika kerajaan menghapuskan cukai jalan kenderaan. Semua tol yang membebankan rakyat akan dikaji semula, supaya semua pihak tidak rugi, secara seimbang.

Malah Ku Li bercadang memperkenalkan sistem baru iaitu mengisi surat pengisytiharan rakyat yang mana rakyat mempercayai kerajaan dan kerajaan mempercayai rakyat. Maknanya mereka hanya dikehendaki mengisi “borang pengisytiharan” dan atas dasar percaya, kerajaan tidak perlu lagi meneliti latar belakang seseorang. Mereka saling percaya mempercayai antara satu sama lain. Tetapi jika mereka menipu mereka akan dikenakan hukuman yang setimpal dengan kesalahan mereka. Ini bermakna “your word is your honour/bond”. Ku Li percaya majoriti rakyat Malaysia ikhlas dan jujur tetapi yang “menghitamkan” imej Negara adalah segelintir sahaja.

Dengan pelbagai pembaharuan yang bakal dibuat oleh Ku Li, saya percaya jika beliau menang masa depan ahli UMNO lebih terjamin. Malah UMNO akan menjadi lebih relevan tertutamanya kepada golongan muda.

Cara mana nak menarik golongan muda menyertai UMNO? UMNO perlu buka pintu seluas-luasnya kepada mereka supaya setiap ruang yang ada mereka dapat menghirup udara di dalam UMNO. Apa yang sering terjadi berlakunya sekatan di kalangan ahli UMNO kerana bimbang kedudukan ketua cawangan dan orang atasan yang pentingkan peribadi dari parti, tergugat. Kerana kepentingan seorang ketua cawangan , majoriti rakyat yang disekat menyertai UMNO akhirnya berjaya menumbangkan UMNO. Oleh itu golongan muda perlu diberi peluang untuk aktif dalam parti. Malah kalau perlu Perintah Am yang menyekat pegawai kumpulan A aktif dalam politik perlu dipinda supaya lebih ramai pegawai kumpulan A aktif di peringkat cawangan dan bahagian.

Sering berlaku konflik kepentingan kerana tukang kebun jadi ketua cawangan tetapi ketua jabatan tidak dapat bergerak cergas atau disekat untuk menyertai dan melibatkan diri dalam politik yang menyebabkan ketua jabatan terpaksa menghormati tukang kebun dalam majlis rasmi parti. Janggal!

Sehubungan dengan itu, jika refomasi yang dibuat oleh calon Presiden UMNO ini dapat diterima oleh akar-umbi, saya percaya UMNO akan lebih kuat dan lebih gemilang walaupun ada yang berpendapat UMNO semakin tidak relevan lagi.