Selasa, Oktober 07, 2008

MB TIDAK RESTUI SENARAI CALON AJK KEMAMAN

Menjelang pemilihan UMNO Bahagian Kemaman pada 18 Oktober ini, senarai 20 orang calon Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian yang kononnya direstui oleh Menteri Besar, Datuk Ahmad Said yang juga Ketua UMNO Bahagian Kemaman telah diedar kepada 500 orang perwakilan.

Senarai itu memuatkan 20 nama yang mana lima nama diambil dari setiap Dewan Undangan Negeri (DUN)- DUN Kijal, DUN Kemasik, DUN Chukai dan DUN Air Putih.Senarai itu juga kononnya mendapat restu daripada ADUN masing-masing.

Mengulas isu ini, Ahmad Said ketika ditanya dalam mesyuarat ahli jawatankuasa UMNO bahagian baru-baru ini menegaskan bahawa beliau tidak pernah merestui mana-mana pihak yang mengeluarkan senarai seumpama itu.

“Saya mahu semua bertanding atas kapasiti masing-masing dan bukannya kerana menjual nama saya kononnya saya yang merestui calon itu atau calon ini,”kata beliau sebagai menjawab pertanyaan calon Ketua Pemuda, Kamaruddin Ali. Beliau dicabar oleh ahli jawatankuasa bahagian, Hisham Zubir bagi jawatan tersebut.

Sementara itu ramai ahli UMNO mahu 20 AJK Bahagian kali ini diisi oleh bukan yes men sebaliknya biar ada check and balance. Menurut mereka, Ahmad Said sebagai MB tidak ada masa untuk memikirkan soal Kemaman lagi kerana beliau harus memikirkan soal negeri. Oleh itu AJK yang ada perlu memikirkan soal Kemaman. Jika semua AJK yang dipilih adalah pengampu MB, sudah tentu UMNO Kemaman akan rosak kerana MB hanya mendapat laporan yang elok sahaja.

Banyak kali MB menegaskan bahawa beliau tidak mahu pengampu berada di sekelilingnya. Oleh itu para perwakilan perlu berani meletakkan AJK yang berani bersuara dan berani menegur MB dalam mesyuarat AJK bahagian. UMNO Kemaman akan mempunyai nasib yang sama seperti yang dihadapi dalam pilihan raya 1999 kerana masa itu Ketua Bahagiannya, Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad yang juga Menteri Besar tidak mendapat laporan yang sebenar dari akar umbi. Beliau hanya menerima laporan yang elok-elok sahaja daripada orang kelilingnya.

Oleh itu para perwakilan perlu berani meletakkan orang yang boleh bersuara. Saya teringat kata-kata seorang AJK dilantik, Rajik Sidek kepada Yusof Jaafar bekas Bendahari Pemuda UMNO Bahagian.Katanya, dalam mesyuarat semua tidak berani bercakap kerana masing-masing ada kepentingan. Lepas mesyuarat masing-masing hulur dokumen kepada MB kerana mahu tender atau projek tertentu. Jadi UMNO Kemaman lemah kerana tidak ada check and balance dalam mesyuarat AJK bahagian.

Saya masih teringat sewaktu menjadi AJK pemuda dari tahun 1995-1998, hanya Yusof Jaafar yang berani argue dalam mesyuarat di hadapan Ahmad Said yang merupakan Ketua Pemuda Bahagian ketika itu. Yusof Jaafar yang dikenali sebagai Panglima Perang tidak bertanding kali ini setelah tewas pada tahun 2004 dengan 87 undi ditangga ke 41.
Ketika itu Ahmad Said mahu Omar Aziz dikekalkan sebagai Naib Ketua Pemuda tetapi Yusof mahu Haji Mustafa Abdul Rahman sebagai Naib Ketua pemuda yang baru. Akhirnya Yusof berjaya dengan misinya itu kerana tidak semestinya apa yang mahu oleh ketua dipatuhi secara membabi-buta. Beliau ada alasan sendiri tidak mahu Omar Aziz memegang jawatan itu.

Khabarnya 80 orang telah menawarkan diri untuk merebut20 kerusi ahli jawatankuasa Bahagian pada 18 Oktober ini. Siapakah di antara AJK yang ada yang akan tumbang? Terpulanglah kepada para perwakilan untuk menentukan nasib 80 orang calon ini.

Barisan AJK yang ada sekarang ialah Datuk Mohamad Awang Tera (395 undi), Tuan Kechil Tuan Tengah (337 undi), Haji Shahabuddin Maideen (338 undi), Zahari Haji Said (314 undi), Haji Harun Hassan (310 undi), Ghani Zahari (273 undi), Che Ku Maznah Engku Awang (264 undi), Yahya Abdul Rahman (251 undi),Yahaya Mamat (240 undi), Wan Mohamad Hisham Wan Abdul Hamid (239 undi), Mohamad Shahul Hameed(231 undi), Kamaruddin Ali (223 undi), Ahmad Tarmizi Haji Johar (221 undi), Nazri Salleh (220 undi), Mohd. Hisham Zubir (216 undi), Mohd. Suhaimi Hassan (213 undi), Ahmad Mizani Mohamad (206 undi), Bahari Abdullah (192 undi), Dr. Idrus Osman (172 undi) dan Tuan Chik Tuan Muda (170 undi).