Ahad, Julai 01, 2018

POLITIK WANG MASIH BERLAKU DALAM PEMILIHAN UMNO?



KUALA LUMPUR: Ahli parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah yang gagal merebut presiden Umno mendakwa mendengar khabar angin berlakunya politik wang dalam pemilihan parti itu.

“Saya dengar berita yang tak berapa baik. Saya harap ini khabar angin dan tidak betul. Tapi saya dengar bahawa dalam pemilihan ini, banyak duit digunakan.

“Sepatutnya, kita sudah berhenti menggunakan wang dalam pemilihan parti. Ini adalah sogokan atau rasuah, membeli undi dan sebagainya.

“Kalau benar berlaku, dukacitalah kerana masa depan pimpinan parti ini akan bergantung pada duit juga (kerana amalan politik wang),” katanya.

Tengku Razaleigh menambah, pengaruh duit yang seharusnya dihapuskan sudah bermaharajalela semula dalam politik tanah air, terutama politik Umno.

“Ini tidak akan berfaedah kepada sesiapa,” katanya lagi.

Terdahulu, Tengku Razaleigh, atau Ku Li tewas kepada Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam pemilihan presiden Umno.

Seorang lagi pencabar utama bagi jawatan itu yang turut tewas, Khairy Jamaludddin, turut berkongsi laporan Berita Harian yang memetik dakwaan Ku Li itu di akaun Twitternya.