Sabtu, Disember 22, 2018

TUJUH PEMIMPIN PKR HALANG ANWAR JADI PM KE LAPAN?

oleh ABDULLAH KARIM

KUALA LUMPUR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sedang berdepan zon 'kritikal' untuk menjawat jawatan Perdana Menteri ke-8.

Ini adalah kerana beberapa pemimpin parti sama ada di dalam PKR mahupun BERSATU kedua mereka berusaha keras menghalang Anwar daripada menjadi Perdana Menteri.

Menurut sumber dalaman PKR, tidak kurang enam ataupun tujuh pemimpin parti berkenaan sedang berusaha dengan pelbagai cara menghalang Ahli Parlimen Port Dickson itu mengetuai kerajaan.

"Bukan sahaja orang PKR yang tidak mahukan DSAI jadi Perdana Menteri malahan orang (pemimpin) BERSATU juga sama," katanya.

Pemimpin yang enggan namanya disiarkan berkata beliau amat mengetahui perkara ini dan sedang memerhati pergerakan mereka sebelum buat keputusan untuk menasihati Anwar supaya lakukan sesuatu.

Oleh kerana itu beliau dan rakan-rakannya sedang berusaha sedaya mungkin supaya Tun Dr. Mahathir Mohamad dapat menunaikan janji untuk menyerahkan jawatan itu kepada Anwar sepertimana dijanjikan iaitu dua tahun sahaja jadi Perdana Menteri.

Beliau menegaskan sekiranya Mahathir memungkiri janjinya sepertimana selalu beliau lafazkan dalam setiap majlis, yang rugi nanti bukan Mahathir ataupun Anwar, sebaliknya orang-orang Melayulah yang akan kerugiaan.

"Sebab apa saya kata begitu sebab politik orang kita ini tidak pernah habis.

"Percakaran sesama anggota parti akan berterusan sebab masing-masing tak puas hati apabila calon mereka tak dapat jadi pemimpin.

"Akhirnya nanti pemimpin yang tak dapat jawatan ini akan terus berpolitik demi mencatur masa depan tanpa memperduli nasib masa depan rakyat," katanya.

Beliau bagaimanapun optimis bahawa Dr Mahathir akan mengotakan janji yang dibuatnya dulu apabila tiba masanya nanti.

"Di sini saya ingin merayu kepada semua pihak terutama sekali orang PKR supaya tidak membuat andaian yang bukan-bukan mengenai peralihan kuasa ini.

"Sebaliknya kita semua harus bersabar dan pada masa sama membuat pelbagai rancangan ataupun program yang boleh disertai oleh Mahathir dan Anwar," katanya.

Beliau yakin sekiranya program itu nanti boleh "menyedarkan" Tun M sehinggakan beliau terbuka hati menyerahkan jawatan kepada Anwar, itu lebih baik daripada berkata perkara yang belum tentu kebenarannya.

"Saya bagi contoh tayangan video yang memaparkan kisah anak-anak muda yang tidak dapat sesuatu akibat pergolakan dalam parti, antara cara yang boleh difikirkan sekiranya kita semua mahukan peralihan kuasa akan berjalan secara teratur," katanya.

Beliau percaya sedikit sebanyak Dr. Mahathir yang hadir dalam majlis itu nanti akan terfikir bahawa belia yang selama ini dipanggil pewaris negara akan ketinggalan dalam pelbagai perkara disebabkan perebutan kuasa.