Khamis, Oktober 17, 2013

MUKHRIZ NAFI MAHU JATUHKAN NAJIB

PETALING JAYA: Calon Naib Presiden Umno, Datuk Mukhriz Mahathir berkata beliau tidak pernah langsung terlintas dalam fikiran hendak menjatuhkan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak jika beliau menang pada 19 Oktober ini. Katanya, sewaktu Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin datang ke Sungai Limau baru-baru ini beliau bertanya Muhyiddin mengenai laporan media asing kononnya beliau dengan Muhyiddin mahu menjatuhkan Perdana Menteri, beliau hanya gelak. “Selepas PRU ke 13, Umno makin kuat dapat 88 kerusi di parlimen dan dapat tawan semula Kedah, maka sebab itu mereka ada agenda dengan membuat laporan yang bukan-bukan seperti itu untuk melaga-lagakan kita,” katanya dalam wawancara khas dengan sebuah akhbar harian baru-baru ini. Menurut Menteri Besar Kedah itu, usaha itu tidak akan berjaya kerana kita tahu apa sebenarnya isi hati kita dan perkara seperti itu memang tidak wujud. Mukhriz bertanding jawatan Naib Presiden Umno Sabtu ini bersama lima calon lain iaitu Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Hishamuddin Hussein, Datuk Seri Shafie Apdal, Tan Sri Isa Samad dan Datuk Seri Ali Rustam. Beliau berkata beliau bertanding jawatan Naib Presiden Umno kerana mahu membuat transformasi dalam Umno berdasarkan keputusan pilihan raya umum 2008 dan 2013. “Sekiranya tidak ada suatu transformasi yang berlaku pada parti seperti mana yang disebut Presiden Umno dan timbalannya, maka mungkin kita akan terima padahnya.,” katanya. Katanya lagi, kita tahu transformasi ini bukan mudah untuk dilakukan. “Lebih-lebih lagi kalau tidak sedar bahawa kita tidak sepatutnya ada zon selesa. Maka, kita bimbang masa depan kita dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14),” katanya. Peluang terakhir Beliau menambah berdasarkan kepada pengalaman menawan semula Kedah dalam PRU-13, ada sesuatu yang beliau boleh sumbangkan bagi meningkatkan keupayaan parti menghadapi cabaran getir itu. Mukhriz berharap ada gabungan pemimpin pusat dan negeri dalam barisan Naib Presiden Umno. “Saya berpendapat gandingan pengalaman di Kerajaan Pusat dan kerajaan negeri itu sangat berharga dan bernilai untuk saya kongsikan. Kita sudah ada Menteri bukan hanya di peringkat Naib Presiden tetapi juga di peringkat Majlis Tertinggi (MT). Saya ingat agak bernilai juga sumbangan idea dan pandangan oleh seorang Menteri Besar yang lebih memahami dan terdedah kepada isu-isu setempat,” ujarnya. Beliau menolak dakwaan bahawa terlalu awal baginya bertanding kerusi Naib Presiden Umno sedangkan beliau tidak pernah menjadi ahli majlis tertinggi Umno. “Saya bimbang dalam tempoh lima tahun ini kalau sokongan kepada BN itu terus menurun, mungkin tidak ada lagi kali yang selepas ini,” katanya. Katanya, itu yang menimbulkan rasa cemas bagi diri beliau bahawa sesuatu perlu dilakukan dengan lebih cepat. Kita mesti memberi respons lebih awal kepada kehendak pengundi. “Saya menganggap diri saya ini seperti Johnny come lately. Kalau saya tidak menawarkan diri bertanding peringkat Naib Presiden sekarang, saya fikir lebih ramai lagi tokoh-tokoh atau pemimpin muda yang lebih layak daripada saya selepas ini,” katanya lagi. Ditanya apa kelebihan beliau berbanding lima calon lain, Mukhriz berkata beliau mempunyai idea-idea yang bersifat di luar kotak. “Cara saya mengendalikan jentera pada PRU-13 tidak diduga pihak lawan. Kita sangat low profile, tidak terlalu ke depan. Kita bergerak banyak di bawah,” dakwanya. Pendekatan luar kotak Sebagai contoh, sambungnya lagi, di Kedah kita memberi penekanan kepada soal agama khususnya kita masuk secara senyap-senyap berjumpa dengan warga pondok agama, maahad tahfiz, sekolah agama rakyat di mana sepatutnya menjadi kekuatan kepada Umno yang memperjuangkan agama, bangsa dan negara. “Selalu disebut agama yang pertama tetapi entah mengapa Umno tidak dilihat sebagai pejuang agama,”katanya. Katanya, pendekatan ini sangat sesuai untuk seluruh negara bukan hanya untuk Kedah sahaja. “Saya fikir semua orang boleh buat tetapi pendekatan luar kotak ini yang sangat diperlukan oleh parti kerana pihak lawan cukup mengenali kita kerana ramai dalam kalangan pemimpin mereka berasal dari Umno,” katanya.