Memaparkan catatan dengan label kepada. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label kepada. Papar semua catatan

Sabtu, Ogos 06, 2016

TAHNIAH KEPADA SABRI ALWI DAN WAN HAKIM

Dalam suasana tersepit macam ini, tidak ramai ketua bahagian Umno yang menyokong MB Terengganu, Ahmad Razif Abdul Rahman. Nampaknya Ketua Umno Bahagian Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Sabri Alwi yang berani bersuara menyokong Ahmad Razif.

Beliau tidak ada kepentingan kerana beliau bukan ADUN atau ahli parlimen. Jadi beliau bukan macam YB lain suka play safe. Jadi saya tabik kepada keberanian Adik Mat menyokong Razif di saat saat genting ini.

Begitu juga kepada ADUN Air Putih, Wan Hakim Wan Mokhtar yang menyelar Exco Kerajaan Negeri, Ghazali Taib yang mempertikaikan MB di dalam media. Wan Hakim yang juga Ketua Penerangan Umno Terengganu berkata Ghazali sepatutnya meletakkan jawatan sebagai Exco sekiranya beliau mahu menegur MB secara terbuka dalam media.

Kita bersetuju dengan pandangan beliau. Ghazali ada saluran untuk kritik MB. Kenapa beliau tidak gunakan mesyuarat Exco untuk kritik MB. Jadi saya tabik kepada Wan Hakim. Keberanian Wan Hakim membidas Ghazali bukanlah bermakna beliau mahu ambil tempat Ghazali tetapi untuk bercakap benda yang benar.Tahniah kepada Adik Mat dan Wan Hakim.

Khamis, Oktober 17, 2013

KENAPA HISHAMUDDIN TAKUT KEPADA ALI?

PETALING JAYA: Kenyataan terbaru Naib Presiden Umno, Datuk Seri Hishammuddin Hussein supaya mana-mana pemimpin yang ingin bertanding dalam pemilihan parti kali ini supaya tidak terlalu ghairah mengejar jawatan dan mengukur kemampuan mereka mengundang kontroversi. Katanya, mana-mana pemimpin yang menawarkan diri bertanding dalam pemilihan Umno amat dialu-alukan tetapi tidak perlu terlalu ghairah untuk bertanding sehingga tidak melihat kemampuan diri sendiri. “Jangan kerana ghairah sempena musim pemilihan, bila dipilih nanti, kita lupa tentang tanggungjawab dan amanah yang cukup berat,” katanya menjawab soalan pemberita mengenai kemungkinan ahli majlis tertinggi Umno, Datuk Seri Mohd Ali Rustam turut bertanding jawatan Naib Presiden Umno. Saya terkejut mendengar kenyataan Hishammuddin yang seolah-olah takut dengan Ali yang mungkin bertanding jawatan Naib Presiden Umno bersama Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Shafie Apdal dan Tan Sri Isa Samad. Adakah Ali tidak layak bertanding jawatan Naib Presiden Umno kerana dia bukan lagi Ketua Menteri Melaka? Adakah beliau tidak layak dipilih ke jawatan tersebut kerana beliau sudah kalah pilihanraya?Adakah Ali tidak mengukur kemampuannya? Seolah-olah pada pandangan Hishammuddin, Ali tidak layak bertanding kerana beliau bukan menteri. Apakah maksud Hishammuddin bila beliau berkata bila dipilih nanti, kita lupa tentang tanggungjawab dan amanah yang cukup berat? Adakah beliau menujukan kenyataan itu kepada Ali seolah-olah Ali lupa tanggungjawab sewaktu menjadi Naib Presiden Umno(2004-2009). Ali menang bertanding kerusi itu pada tahun 2004 dengan Isa Samad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin. Pada tahun 2009, beliau bertanding jawatan Timbalan Presiden Umno menentang Muhyiddin dan Tan Sri Muhammad Muhd. Taib, tetapi Ali tidak dibenarkan bertanding kerana kononnya terlibat dengan politik wang. Maka kali ini beliau kembali bertanding kerusi Naib Presiden Umno walaupun beliau belum buat pengumuman rasmi. Tanpa jawatan dalam kerajaan beliau bebas bergerak ke seluruh negara dan ini yang menimbulkan ketakutan kepada Hishammuddin. Malah baru-baru ini beliau turut berada di majlis hari raya anjuran Umno Bahagian Kota Belud di Sabah. Pemerhati politik percaya perwakilan Umno akan memilih Ali sebagai Naib Presiden kerana biasanya dalam tiga orang, seorang yang tiada jawatan dalam kerajaan akan diberi tempat juga sebagai Naib Presiden. Pada tahun 1978, 1981 dan 1984, Tun Ghafar Baba yang tiada jawatan dalam kerajaan sering kali menang salah satu kerusi Naib Presiden Umno. Maka perwakilan Umno tidak ada masalah untuk memberi kemenangan kepada Ali yang bukan berada dalam kerajaan. (Beliau baru sahaja dilantik Pengerusi PUNB). Ini yang menimbulkan ketakutan kepada Menteri Pertahanan yang gagal menawan perwakilan Umno sewaktu beliau menjadi Menteri Dalam Negeri. Beliau lebih dikenali sebagai menteri amaran ketika berada di KDN berbanding dengan Zahid yang lebih berani dan tegas sehingga dibenci oleh pemimpin parti pembangkang. Jika Ali menang, satu kerusi perwakilan diberi kepada orang Sabah (Shafie Apdal), maka satu lagi kerusi Naib Presiden Umno yang kosong akan jadi rebutan antara Hishamuddin dengan Zahid. Ini yang membimbangkan Hishammuddin. Ali sebagai bekas Presiden 4B dan Pengerusi Majlis Belia Malaysia (MBM) mempunyai akar umbi yang kuat. Datuk Idris Harun tidak dapat menandingi kehebatan Ali sebagai Ketua Menteri Melaka. Kediaman rasmi Ketua Menteri Melaka pada jam 2 pagi masih terbuka kepada orang ramai ketika Ali menjadi Ketua Menteri yang tidak akan dialami lagi rakyat Melaka di zaman Idris sekarang. Ali seorang pemimpin yang rajin menerima undangan majlis kahwin orang ramai di Melaka dari pagi hingga ke malam semata-mata tidak mahu menghampakan tuan rumah. Itulah kelebihan Ali yang mempunyai PR yang cemerlang yang tidak ada pada Hishammuddin. Inilah yang menjadi dilemma kepada Hishammuddin jika Ali bertanding.

Rabu, Oktober 16, 2013

RUJUK KEPADA PERLEMBAGAAN JIKA ADA PERTIKAIAN

KUALA LUMPUR: Menteri Belia dan Sukan Sabah, Datuk Tawfiq Abu Bakar berkata sebarang perbezaan pandangan mengenai kedudukan Sabah dan Sarawak harus mengambil Perlembagaan Persekutuan sebagai rujukan. Katanya, isu status Sabah maupun Sarawak dalam Persekutuan Malaysia harus dilihat dari sudut perundangan, yakni Perlembagaan Persekutuan yang telah dipersetujui oleh tokoh-tokoh pembentukan Malaysia. “Sabah adalah partner dalam pembentukan Malaysia bersama Persekutuan Tanah Melayu, Sarawak dan Singapura pada tahun 1963. Itu hakikat sejarah yang tidak boleh dinafikan,” kata beliau kepada FMT dalam satu wawancara khas dengan beliau di sini semalam. Beliau mengulas kenyataan ahli parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li) yang mengatakan Sabah dan Sarawak harus dilayan sebagai “equal partner” dengan Semenanjung Malaysia dan bukannya sebagai salah sebuah negeri dalam Malaysia. Ku Li berucap demikian di majlis anjuran Malaysian Branch of the Royal Asiatic Society di Kelab Diraja Selangor, Kuala Lumpur semalam. Tawfiq yang juga calon ahli majlis tertinggi (MKT) Umno berkata ,”kita bersyukur Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memahami perkara ini dan sedang melaksanakan pelbagai inisiatif untuk mewujudkan Malaysia yang kesejahteraan serta kemakmurannya merata dan seimbang.” Impikan Katanya lagi, kita impikan sebuah negara Malaysia yang pembangunan dan kemajuannya merata dan seimbang dari Perlis hingga ke Sabah tanpa ada wilayah yang tertinggal atau mundur dibanding yang lain. Bercakap tentang hasratnya bertanding kerusi MKT, Tawfiq yang juga Ketua Umno Bahagian Tawau berkata beliau hanya mengambil keputusan untuk menawarkan diri bertanding sebagai sebagai calon MKT di saat akhir setelah mengunjungi Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman yang mengesahkan tidak bertanding sebarang jawatan dalam pemilihan MKT kali ini. Katanya, memang benar ada juga calon Sabah yang turut bertanding MKT kali ini, tetapi beliau adalah suara yang benar-benar datang dari DUN Sabah, Kabinet Sabah dan masyarakat akar-umbi Sabah. “Saya bersedia untuk memberi sumbangan kepada Umno di peringkat yang lebih tinggi dan pada masa yang sama tidak akan melupakan tanggung-jawab kepada akar-umbi yang memberi amanah dan kepercayaan kepada saya,” katanya. Mengenai peluangnya untuk menang, beliau berkata sebagai menteri kabinet Sabah, sudah pasti beliau tidak berapa dikenali oleh akar-umbi Umno di Semenanjung Malaysia. Jaringan “ Namun dengan jaringan rakan-rakan termasuk mantan-mantan Pemuda seangkatan saya di bawah Datuk Seri Hishamuddin Hussein dahulu serta rakan-rakan Ketua-Ketua UMNO Bahagian yang mengenali saya, saya menaruh keyakinan untuk berjaya sebagai ahli MKT,” katanya yang juga bekas Ketua Pemuda Umno Sabah. Lima orang calon dari Sabah yang akan bertanding MKT iaitu Datuk Bung Mokhtar, Datuk Rahman Dahlan, Datuk Rosnah Rashid Shirlin, Datuk Sairin Karno dan Tawfiq senditi. Ditanya adakah 150,000 orang perwakilan perlu memilih ramai calon dari Sabah sebagai ahli MKT sebagai tanda terima kasih perwakilan kepada BN Sabah dan Umno Sabah yang menjadi “fixed deposit” kepada BN Malaysia, Tawfiq berkata beliau yakin rakan Umno di negeri lain akan memberi pertimbangan sewajarnya terhadap calon-calon MKT dari Sabah. Beliau mendakwa faktor yang menyebabkan BN mengalami kemerosotan sokongan generasi muda adalah persepsi yang Umno itu “menutup pintu” kepada generasi muda yang berkelayakan serta berpotensi mendapat tempat sewajarnya dalam Umno Katanya, sebenarnya ini hanya merupakan satu persepsi yang kalau pun mungkin berlaku , ianya berlaku secara isolasi dan tidak wajar dijadikan satu generalisasi. Sanggup “Sebagai contoh, saya sendiri mula menjadi Ketua UMNO Bahagian Tawau semasa saya berusia 42 tahun. Saya yakin ramai lagi anak muda berpendidikan di masa ini yang berjaya menjawat jawatan sebagai Ketua Bahagian di Malaysia selain jawatan utama di Pergerakan Pemuda mahupun Puteri pelbagai peringkat,” katanya. Jelasnya lagi, yang penting generasi muda yang berhasrat menjawat jawatan utama dalam Umno mesti sanggup bermula dari bawah dan berusaha memahami matlamat serta falsafah parti secara “hands-on” . “Mereka juga perlu memiliki keikhlasan berkhidmat kepada masyarakat dan bukan masuk Umno semata-mata mengejar sesuatu sehingga membelakangkan agenda perjuangan parti keramat ini,” ujarnya. Beliau berkata soal umur bukan penentu dalam perkiraan “bersara” dari jawatan utama parti, tetapi kesedaran serta keinsafan sama ada kita masih berupaya serta masih bersungguh-sungguh mampu berkhidmat atau tidak. “Kalau seorang pemimpin muda merasakan dia tidak mampu lagi memimpin maka dia juga perlu berundur dan memberi laluan kepada pihak lain yang lebih komited dalam melaksanakan amanah serta tanggung-jawab kepada parti,” sambungnya lagi. Beliau menambah begitu juga seorang penjawat veteran , kalau dia sudah tidak mampu samada dari segi fizikal maupun keupayaan komitmen untuk memimpin parti, maka dia juga sewajarnya memberi laluan kepada orang lain yang lebih baik darinya. “Untuk ini, saya memuji keputusan beberapa pemimpin utama bahagian khususnya di negeri Johor yang mengambil keputusan memberi laluan kepada pemimpin pelapis bagi menjawat jawatan Ketua Bahagian,” katanya. Katanya, ini jelas menunjukkan bahwa UMNO masih lagi memiliki pemimpin yang meletakkan kepentingan parti melebihi kepentingan diri dan peribadi.

Ahad, September 27, 2009

BERILAH TAN SRI KEPADA RAHIM BAKAR


Sudah menjadi adat orang Melayu, orang yang banyak berjasa kepada masyarakat dan negara biasanya akan dikenang dan dihormati sehingga ke akhir hayat.

Bagi bekas Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Adam Kadir, penghormatan diberi bagaimanapun tidak seharusnya terhenti setakat individu itu masih bernyawa, sebaliknya perlu diteruskan sehingga ke akhir upacara pengurusan jenazahnya.

Beliau tidak menafikan Islam menuntut kesederhanaan, namun katanya, kesederhanaan itu sewajarnya bersesuaian dengan jasa serta pengorbanan yang dilakukan seseorang pemimpin atau penjawat jawatan tertinggi kerajaan.

"Ada upacara pengkebumian pemimpin atau penjawat tinggi kerajaan, saya mendapati berlangsung dalam keadaan yang 'terlalu sederhana' seperti yang berlaku terhadap jenazah bekas Menteri Besar Pahang, Datuk Abdul Rahim Abu Bakar.

"Tidak dinafikan, kesederhanaan memang dituntut Islam, tetapi biarlah kesederhanaan itu berpada, sesuai dengan jasa serta pengorbanan pemimpin dan penjawat jawatan tinggi kerajaan itu," katanya kepada Mingguan Malaysia di Kuala Lumpur semalam.

Mengulas lanjut, beliau percaya upacara pengkebumian Abdul Rahim akan menjadi lebih baik sekiranya ia dilakukan di kampung halamannya di Beserah, Pahang.

Menurutnya, ada kemungkinan ahli keluarga gagal memikirkan jalan terbaik untuk menguruskan jenazah disebabkan baru kehilangan orang tersayang, justeru kerajaan perlu memainkan peranan dengan memberi layanan terbaik kepada jenazah.

"Contohnya, di tanah perkuburan kalau boleh siapkan lah khemah, tidaklah cuma direntang kain untuk dibuat alas. Agensi-agensi tertentu mungkin boleh berusaha menyediakannya kerana keluarga si mati pastinya sukar berfikir dengan baik akibat kehilangan orang tersayang.

"Jenazah Ishak Haji Muhammad atau Pak Sako, seorang yang banyak berjasa kepada negara sebelum ini diterbangkan dengan helikopter ke kampung halaman. Itulah penghormatan terbaik untuk individu berjasa," ujarnya.


Komen saya senang saja bila pemimpin sudah tidak ada kuasa, maka penghormatan tidak diberi lagi seperti kata Adam Kadir. Orang yang berjasa seperti Rahim Bakar sepatutnya sudah lama jadi Tan Sri tapi apa yang kerajaan buat kepada beliau. Beliau dilupakan begitu sahaja seperti kata bekas ADUN Beserah, Datuk Fauzi Abdul Rahman bahawa politik tidak berlaku adil kepada Rahim Bakar.

Soal beliau mahu dikebumikan di Beserah atau Kuala Lumpur, terpulang kepada keluarga mereka. Seperti kata Adam, jika beliau dikebumikan di Beserah, sudah tentu beliau lebih dihargai kerana para pengundinya dapat datang menghantar jenazahnya ke kubur.

Oleh itu Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) wajarlah menamakan mana-mana dewan yang ada di DBP sebagai Dewan Rahim Bakar sempena namanya atau mana-mana sekolah di DUN Beserah ditukar kepada Sekolah Menengah Datuk Rahim Bakar sebagai menghargai jasanya kepada negara. Malah DBP juga patut menerbitkan biografi beliau mengisahkan keberaniannya sepanjang menceburi bidang politik.