Rabu, Oktober 16, 2013
RUJUK KEPADA PERLEMBAGAAN JIKA ADA PERTIKAIAN
KUALA LUMPUR: Menteri Belia dan Sukan Sabah, Datuk Tawfiq Abu Bakar berkata sebarang perbezaan pandangan mengenai kedudukan Sabah dan Sarawak harus mengambil Perlembagaan Persekutuan sebagai rujukan.
Katanya, isu status Sabah maupun Sarawak dalam Persekutuan Malaysia harus dilihat dari sudut perundangan, yakni Perlembagaan Persekutuan yang telah dipersetujui oleh tokoh-tokoh pembentukan Malaysia.
“Sabah adalah partner dalam pembentukan Malaysia bersama Persekutuan Tanah Melayu, Sarawak dan Singapura pada tahun 1963. Itu hakikat sejarah yang tidak boleh dinafikan,” kata beliau kepada FMT dalam satu wawancara khas dengan beliau di sini semalam.
Beliau mengulas kenyataan ahli parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li) yang mengatakan Sabah dan Sarawak harus dilayan sebagai “equal partner” dengan Semenanjung Malaysia dan bukannya sebagai salah sebuah negeri dalam Malaysia.
Ku Li berucap demikian di majlis anjuran Malaysian Branch of the Royal Asiatic Society di Kelab Diraja Selangor, Kuala Lumpur semalam.
Tawfiq yang juga calon ahli majlis tertinggi (MKT) Umno berkata ,”kita bersyukur Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memahami perkara ini dan sedang melaksanakan pelbagai inisiatif untuk mewujudkan Malaysia yang kesejahteraan serta kemakmurannya merata dan seimbang.”
Impikan
Katanya lagi, kita impikan sebuah negara Malaysia yang pembangunan dan kemajuannya merata dan seimbang dari Perlis hingga ke Sabah tanpa ada wilayah yang tertinggal atau mundur dibanding yang lain.
Bercakap tentang hasratnya bertanding kerusi MKT, Tawfiq yang juga Ketua Umno Bahagian Tawau berkata beliau hanya mengambil keputusan untuk menawarkan diri bertanding sebagai sebagai calon MKT di saat akhir setelah mengunjungi Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman yang mengesahkan tidak bertanding sebarang jawatan dalam pemilihan MKT kali ini.
Katanya, memang benar ada juga calon Sabah yang turut bertanding MKT kali ini, tetapi beliau adalah suara yang benar-benar datang dari DUN Sabah, Kabinet Sabah dan masyarakat akar-umbi Sabah.
“Saya bersedia untuk memberi sumbangan kepada Umno di peringkat yang lebih tinggi dan pada masa yang sama tidak akan melupakan tanggung-jawab kepada akar-umbi yang memberi amanah dan kepercayaan kepada saya,” katanya.
Mengenai peluangnya untuk menang, beliau berkata sebagai menteri kabinet Sabah, sudah pasti beliau tidak berapa dikenali oleh akar-umbi Umno di Semenanjung Malaysia.
Jaringan
“ Namun dengan jaringan rakan-rakan termasuk mantan-mantan Pemuda seangkatan saya di bawah Datuk Seri Hishamuddin Hussein dahulu serta rakan-rakan Ketua-Ketua UMNO Bahagian yang mengenali saya, saya menaruh keyakinan untuk berjaya sebagai ahli MKT,” katanya yang juga bekas Ketua Pemuda Umno Sabah.
Lima orang calon dari Sabah yang akan bertanding MKT iaitu Datuk Bung Mokhtar, Datuk Rahman Dahlan, Datuk Rosnah Rashid Shirlin, Datuk Sairin Karno dan Tawfiq senditi.
Ditanya adakah 150,000 orang perwakilan perlu memilih ramai calon dari Sabah sebagai ahli MKT sebagai tanda terima kasih perwakilan kepada BN Sabah dan Umno Sabah yang menjadi “fixed deposit” kepada BN Malaysia, Tawfiq berkata beliau yakin rakan Umno di negeri lain akan memberi pertimbangan sewajarnya terhadap calon-calon MKT dari Sabah.
Beliau mendakwa faktor yang menyebabkan BN mengalami kemerosotan sokongan generasi muda adalah persepsi yang Umno itu “menutup pintu” kepada generasi muda yang berkelayakan serta berpotensi mendapat tempat sewajarnya dalam Umno
Katanya, sebenarnya ini hanya merupakan satu persepsi yang kalau pun mungkin berlaku , ianya berlaku secara isolasi dan tidak wajar dijadikan satu generalisasi.
Sanggup
“Sebagai contoh, saya sendiri mula menjadi Ketua UMNO Bahagian Tawau semasa saya berusia 42 tahun. Saya yakin ramai lagi anak muda berpendidikan di masa ini yang berjaya menjawat jawatan sebagai Ketua Bahagian di Malaysia selain jawatan utama di Pergerakan Pemuda mahupun Puteri pelbagai peringkat,” katanya.
Jelasnya lagi, yang penting generasi muda yang berhasrat menjawat jawatan utama dalam Umno mesti sanggup bermula dari bawah dan berusaha memahami matlamat serta falsafah parti secara “hands-on” .
“Mereka juga perlu memiliki keikhlasan berkhidmat kepada masyarakat dan bukan masuk Umno semata-mata mengejar sesuatu sehingga membelakangkan agenda perjuangan parti keramat ini,” ujarnya.
Beliau berkata soal umur bukan penentu dalam perkiraan “bersara” dari jawatan utama parti, tetapi kesedaran serta keinsafan sama ada kita masih berupaya serta masih bersungguh-sungguh mampu berkhidmat atau tidak.
“Kalau seorang pemimpin muda merasakan dia tidak mampu lagi memimpin maka dia juga perlu berundur dan memberi laluan kepada pihak lain yang lebih komited dalam melaksanakan amanah serta tanggung-jawab kepada parti,” sambungnya lagi.
Beliau menambah begitu juga seorang penjawat veteran , kalau dia sudah tidak mampu samada dari segi fizikal maupun keupayaan komitmen untuk memimpin parti, maka dia juga sewajarnya memberi laluan kepada orang lain yang lebih baik darinya.
“Untuk ini, saya memuji keputusan beberapa pemimpin utama bahagian khususnya di negeri Johor yang mengambil keputusan memberi laluan kepada pemimpin pelapis bagi menjawat jawatan Ketua Bahagian,” katanya.
Katanya, ini jelas menunjukkan bahwa UMNO masih lagi memiliki pemimpin yang meletakkan kepentingan parti melebihi kepentingan diri dan peribadi.