Rabu, Oktober 16, 2013

SABAH BUKAN DIJAJAH, KATA MAHDZIR KHALID

PUTRAJAYA: Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Mahdzir Khalid menolak dakwaan bahawa Malaysia sedang menjajah Sabah. Katanya, dakwaan itu tidak tepat kerana kalau sesebuah negara menjajah sesebuah negeri, ia tidak akan memajukan negeri tersebut. “Kerajaan persekutuan membangunkan Sabah dalam semua bidang seperti ekonomi, pendidikan, infrastruktur. kesihatan dan keselamatan. Oleh itu tidak timbul Malaya menggantikan British menjajah Sabah,” kata beliau mengulas kenyataan ADUN Bingkor, Datuk Dr Jeffrey Kitingan yang mengatakan Hari Malaysia, 16 September sebagai Hari Penjajahan dalam FMT semalam. Beliau berkata demikian ketika diwawancara khas FMT di pejabatnya di sini hari ini. Mahdzir yang juga Timbalan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air menyifatkan kenyataan Dr Jeffrey itu amat bahaya kerana ia seolah-olah menghasut rakyat Sabah untuk keluar dari Malaysia. Beliau mengakui masih banyak kekurangan di Sabah dan Sarawak. “Tetapi kita akan terus memperbaiki kekurangan itu dari masa ke semasa untuk meningkatkan lagi infrastuktur di kedua-dua buah negeri itu,” jelasnya. Katanya lagi, sebab itulah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melantik hampir separuh ahli parlimen dari Sabah dan Sarawak dalam kabinet sebagai bukti kesungguhan kerajaan pusat untuk membangunkan Sabah dan Sarawak. Mengulas tindakannya mempertahankan jawatan ahli majlis tertinggi Umno pada 19 Oktober depan, Mahdzir yang juga ahli parlimen Padang Terap menyerahkan nasibnya kepada 150,000 orang perwakilan. Katanya, pada tahun 2009, beliau tidak ada jawatan dalam kerajaan tetapi menang. “Oleh itu saya berharap mereka tetap memilih saya untuk mengekalkan jawatan,” katanya yang berharap jawatannya sebagai timbalan menteri memberi kelebihan kepadanya untuk meraih undi berbanding pada tahun 2009 yang tidak ada jawatan. Mengulas tentang Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir, beliau yang juga bekas Menteri Besar Kedah berkata Mukhriz ada dua pilihan. “Pilihan pertama, beliau bertanding jawatan ahli majlis tertinggi Umno atau pilihan kedua, beliau tidak bertanding (menunggu perlantikan). Terserah kepada beliau untuk buat keputusan,” katanya. Sehubungan dengan itu beliau menjelaskan pada tahun 2004, selepas beliau dilantik Menteri Besar Kedah dan sebagai orang baru beliau tidak bertanding jawatan ahli majlis tertinggi Umno sebaliknya menumpukan perhatian memajukan negeri. Walau bagaimanapun beliau dilantik Tun Abdullah Ahmad Badawi sebagai ahli majlis tertinggi Umno. FMT difahamkan Datuk Seri Syed Razak yang menjadi Menteri Besar Kedah pada tahun 1999-2004 juga tidak bertanding kerusi ahli majlis tertinggi Umno pada tahun 2000 kerana memberi tumpuan dalam memajukan negeri Kedah. “Terpulang kepada Mukhriz. Sebagai Pengerusi Perhubungan Umno Kedah dan Menteri Besar, kita menyokong penuh dengan keputusannya,” katanya lagi.