Rabu, Oktober 16, 2013

IDRIS BERI LALUAN UNTUK MEREMAJAKAN PARTI

BESUT: Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh mengejutkan ahli-ahli Umno Bahagian Besut apabila beliau tidak mempertahankan jawatan Ketua Umno Bahagian tersebut. Sebaliknya beliau berundur ke belakang bertanding jawatan Naib Ketua Bahagian. Jawatan Ketua Bahagian yang dikosongkan Idris jadi rebutan antara ADUN Jerteh, Muhammad Pehimi Yusof dengan ADUN Hulu Besut, Nawi Mohamad. Manakala jawatan Timbalan Ketua Bahagian menjadi rebutan ADUN Kota Putera, Mohd Mahdi Musa dengan Pengarah Unit Komunikasi (UKOM), Haji Shamsuddin Sulong. Idris menang tanpa bertanding bagi jawatan Naib Ketua Bahagian. Menurut sumber yang rapat dengan beliau, tindakan Idris itu sebagai menyahut seruan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mahu meremajakan Umno. “Oleh kerana beliau sibuk sebagai menteri dan ahli majlis tertinggi Umno maka sudah sampai masanya bagi orang muda mengambilalih pimpinan Bahagian Besut,” kata sumber itu lagi. Katanya lagi, tindakan Idris wajar dipuji kerana ramai pemimpin yang menjadi Ketua Bahagian enggan berundur. “Sebab itulah beliau sanggup berundur ke bawah supaya Umno Besut diketuai oleh orang muda,” ujarnya. Bagaimanapun,Idris tetap mempertahankan jawatan ahli majlis tertinggi pada 19 Oktober depan.