Rabu, Oktober 16, 2013

MB DISARAN TIDAK TANDING MAJLIS TERTINGGI UMNO

PETALING JAYA: Bekas Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah berkata semua Menteri Besar tidak perlu bertanding jawatan ahli majlis tertinggi Umno pada 5 Oktober ini. Katanya, mereka selaku Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri secara automatik akan dilantik sebagai ahli majlis tertinggi. “Oleh itu saya rasa mereka tak perlu bertanding,” katanya dalam satu wawancara khas dengan FMT di pejabat FMT di sini Jumaat lalu. Menurut ahli majlis tertinggi Umno itu, perwakilan biasanya akan memilih menteri terlebih dahulu di peringkat pertama, di peringkat kedua mereka mengundi timbalan menteri dan menteri besar dan di peringkat ketiga baru orang yang tidak ada jawatan. “Kali ini saya masuk bertanding di peringkat ketiga, tak ada jawatan dalam kerajaan,” katanya yang berharap perwakilan dapat mengundinya untuk terus bersuara dalam majlis tertinggi. Saifuddin mengakui bahawa tanpa jawatan dalam kerajaan, ia akan menjejaskan undi beliau tetapi dengan pertolongan kawan-kawan dalam Majlis Belia Malaysia (MBM) dahulu, beliau berharap mereka dapat berkempen untuknya. Beliau yakin cara baru pemilihan Umno dapat menghapuskan politik wang. “Perwakilan seramai 146,000 orang. Mana mampu calon tabur duit kepada semua,” katanya lagi. Mengulas kekalahannya dalam pilihanraya umum lalu di Temerloh, beliau tidak nampak sebarang konspirasi di kalangan pemimpin Umno Bahagian Temerloh untuk mengalahkannya. “Di mana-mana pun ada orang tak keluar mengundi. Maka ia adalah fenomena biasa,” katanya yang akan mempertahankan jawatan Timbalan Ketua Umno Bahagian Temerloh. Bahagian itu diketuai Datuk Sharkar Shamsudin yang juga Exco Kerajaan Negeri Pahang. Beliau kalah kepada calon PAS, Nasrudin Hassan dengan majoriti 1,070 undi. Nasrudin mendapat 28,267 undi manakala Saifudin mendapat 27,197 undi.