Rabu, Oktober 16, 2013

TIADA ISTILAH BERTANDING DALAM PERLEMBAGAAN UMNO

KUALA LUMPUR: Calon Ahli Majlis Tertinggi Umno, Zaharin Mohd Yasin berkata dalam perlembagaan Umno, tiada istilah bertanding. Katanya, beliau bukannya bertanding merebut kerusi ahli majlis tertinggi Umno sebaliknya “minta dipilih” seperti mana tercatat dalam perlembagaan Umno. “Oleh itu saya “minta dipilih” sebagai ahli majlis tertinggi Umno dan bukannya saya bertanding merebut kerusi itu,” kata beliau dalam wawancara khas dengan FMT di PWTC semalam sambil memperbetulkan istilah sebenar yang tercatat dalam perlembagaan Umno. Beliau yang juga Setiausaha Kerja BN Bandar Tun Razak berkata sesiapa yang menawarkan diri untuk “minta dipilih” sebagai ahli majlis tertinggi Umno tidak perlu mempunyai vsi dan misi sendiri. Katanya, ahli majlis tertinggi adalah penasihat kepada Presiden Umno. “Oleh itu mereka tidak boleh mempunyai visi dan misi yang berlainan dari visi dan misi presiden parti,” katanya lagi. Sebagai ahli majlis tertinggi, jika beliau menang, beliau adalah penyokong Presiden yang menjalankan dasar yang menguntungkan orang Melayu dan ahli Umno. Sehubungan dengan itu beliau berkata Umno perlu kembali ke asal iaitu dasar parti menguasai kerajaan. “Umno sudah menyimpang jauh kerana Tun Dr Mahathir Mohamad yang tidak mempraktikkan dasar parti menguasai kerajaan sedangkan Presiden Umno sebelum itu mengamalkan dasar ini,” katanya. Dipecat Zaharin turut “minta dipilih” sebagai Naib Ketua Umno Bahagian Bandar Tun Razak kerana untuk berada dalam BN Bandar Tun Razak,pemimpin utama BN mestilah daripada Ketua, Timbalan Ketua dan Naib Ketua Bahagian. Beliau yang pernah dipecat dari Umno di zaman Dr Mahathir dan Tun Abdullah Ahmad Badawi menjadi Presiden Umno merupakan seorang bloggger yang menggunakan nama Sang Kelembai. Mengulas kenyataan Menteri Perdagangan Antarbangsa dan Industri, Datuk Mustapha Mohamad bahawa masih berlaku politik wang, Zaharin menjelaskan politik wang tidak ada dalam Umno. “Yang ada wang diberikan untuk politik. Wang itu yang berpolitik. Oleh itu tidak betul istilah politik wang,” katanya. Katanya, untuk menggelakkan wang berpolitik, setiap calon hendaklah melaporkan kepada ketua cawangan jika ada perwakilan meminta wang dari calon. “Calon jangan tunduk kepada ugutan perwakilan kononnya tak hulur wang akan kalah kerana jika semua calon tak beri wang, dengan sendirinya terhapus wang berpolitik,” kata beliau yang pernah memenangi perwakilan G7 ke perhimpunan agung Umno Malaysia tanpa menggunakan wang untuk membeli undi para perwakilan. Beliau berkata beliau ada harapan untuk menang kerana setiap calon yang “minta dipilih” seperti menteri, menteri besar, timbalan menteri akan mengundi 24 orang calon lain yang tidak ada jawatan dalam kerajaan sepertinya supaya pesaing yang ada jawatan dalam kerajaan tidak akan mendapat undi yang lebih dari mereka. “Ada petanda saya akan menang,” katanya.