Selasa, Julai 17, 2018

TIGA SEBAB KENAPA UMNO PERLU AMBIL TINDAKAN KEPADA KHAIRY


KUALA LUMPUR: Semalam kecoh semua ahli parlimen pembangkang keluar dari Dewan Rakyat membantah perlantikan Speaker Dewan Rakyat yang baharu, Datuk Mohamad Ariff Mohd Yusof kecuali tiga orang ahli parlimen BN iaitu Khairy Jamaluddin (Rembau), Datuk Seri Anipah Aman (Kimanis) dan Rozman Isli (Labuan).

 Khairy Jamaluddin berkata tindakannya tidak keluar daripada dewan rakyat bersama dengan pemimpin BN dan PAS kerana beliau menghormati majlis.

Katanya, meskipun ada pertikaian berkenan pelantikan speaker namun katanya keluar Dewan bukan cara kita menyatakan bantahan.

"Hari ini merupakan hari kita mengangkat sumpah jadi kita perlu hormati Dewan dan juga menghormati majlis angkat sumpah.

"Cara mana kita nak bantah itu kita boleh buat sewaktu perbahasan nanti atau selepas upacara perasmian pembukaan pada hari esok dalam perbahasan atau melalui 'standing order' pada hari Rabu," katanya.

Nampaknya Umno ada alasan untuk mengambil tindakan disiplin kepada Khairy kerana sudah ada tiga bukti yang kuat untuk mengambil tindakan kepada bekas Ketua Pemuda Umno Malaysia itu.

Pada 13 Julai lalu, Khairy Jamaluddin yang tewas dalam pemilihan merebut kerusi presiden Umno bulan lalu menyatakan keresahannya terhadap hala tuju yang diambil parti itu kini.

Beliau melihat Umno kini semakin ke arah perkauman selepas tewas pada PRU ke-14 dan baginya itu hanyalah jalan menuju 'kehancuran'.

"Sejak selesai pemilihan Umno, apa yang parti saya buat? Main sentimen kaum dan kutip tabung untuk bekas presiden (Datuk Seri Najib Razak)...Takkan itu saja 'Umno baru'?

"Sudah kena pukulan maut semasa PRU ke-14 (tetapi) masih pekak terhadap suara rakyat.

"Jika modal untuk PRU ke-15 hanyalah momokkan orang Melayu dengan isu seperti pelantikan bukan Melayu sebagai peguam negara dan ketua hakim, lupakan saja impian menawan semula Putrajaya," katanya di Twitter.

Pada 14 Julai, Khairy Jamaluddin  menyifatkan perlantikan Tan Sri Mohamed Apandi sebagai ahli majlis tertinggi Umno sebagai sesuatu yang memalukan.

"Pelantikan awal mengecewakan. Yang ini (penolakan pelantikan Mohamed Apandi) memalukan.

"Kita perlu menjadi pembangkang yang mempunyai kredibiliti," katanya melalui kenyataan di Twitter.

Semalam, beliau tidak keluar dari Dewan Rakyat mematuhi arahan Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang membantah perlantikan Speaker yang tidak ikut prosedur.

Maka sewajarlah Umno memberi surat tunjuk sebab kepada Khairy kenapa beliau tidak boleh diambil tindakan disiplin terhadap tiga insiden tersebut.