Memaparkan catatan dengan label pergi. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label pergi. Papar semua catatan

Jumaat, September 25, 2009

PERGINYA SEORANG IDOLA


Bekas Menteri Besar Pahang, Datuk Abdul Rahim Abu Bakar meninggal dunia di kediamannya di Jalan U-Thant di Kuala Lumpur pukul 7.10 petang semalam dipercayai akibat serangan jantung. Allahyarham berusia 66 tahun.


Beliau merupakan seorang tokoh politik yang berprinsip yang mempertahankan wang rakyat ketika berkrisis dengan Sultan Pahang. Di atas ketegasannya itu maka Perdana Menteri, Tun Hussein Onn terpaksa tunduk kepada desakan Sultan Pahang yang mahu Rahim digantikan dengan Datuk Abdul Rashid Abdul Rahman sebagai Menteri Besar Pahang sebelum menghantar Datuk Seri Najib ke Pahang sebagai Menteri Besar baru pada pilihanraya umum 1982.


Ketegasannya itu menyebabkan beliau sering kali menang jawatan ahli majlis tertinggi UMNO. Sebelum UMNO terlibat dengan krisis istana di zaman Dr. Mahathir (1981-2003) menjadi Perdana Menteri, Rahim telah mencipta sejarah sebagai Menteri Besar yang enggan tunduk kepada kehendak istana.


Anak keduanya, Rosnita, 35, ketika ditemui Bernama di kediamannya berkata, bapanya sedang menunggu azan untuk berbuka puasa di meja makan apabila tiba-tiba didapati tidak lagi bernafas oleh ibunya, Datin Rosnah Kamaruddin.


Katanya, mereka segera menghubungi paramedik dari Pusat Perubatan Gleneagles Intan dan Abdul Rahim disahkan sudah meninggal dunia.


“Ayah tidak menunjukkan tanda-tanda pelik sebelum meninggal, bahkan setahu saya Allahyarham tidak menghidap sebarang penyakit tetapi berkemungkinan kematiannya akibat serangan jantung,” katanya.


Rosnita berkata, semua adik-beradiknya sempat menemui Allahyarham sebelum beliau menghembuskan nafas terakhir kerana masih berada di rumah itu sempena Aidilfitri.


Jenazah Allahyarham akan disembahyangkan di Masjid Kampung Pandan sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Kosas selepas solat Jumaat hari ini.


Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Noh Omar ketika ditemui menyifatkan pemergian Abdul Rahim sebagai kehilangan besar dalam arena politik negara khususnya kepada UMNO. Allahyarham selaku Yang Dipertua Angkasa.


Allahyarham meninggalkan seorang balu dan empat orang anak iaitu Roslina, 37, Rosnita, Mohd. Rizal, 32, dan Rosazreen, 25, serta empat cucu.


Abdul Rahim yang dilahirkan pada 7 Februari 1943 di Beserah, Kuantan memulakan karier politiknya sebagai Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beserah setelah memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) itu pada pilihan raya umum 1978.


Allahyarham, yang berkelulusan Sarjana Muda Ekonomi (Kepujian) dari Universiti Malaya, menjadi Menteri Besar Pahang selama kira-kira tiga tahun bermula 19 Julai 1978 hingga 7 November 1981.


Beliau masih bergiat aktif dalam politik terutamanya UMNO walaupun selepas meletakkan jawatannya sebagai menteri besar, antaranya menjadi Anggota Parlimen Kuantan setelah memenangi kerusi Parlimen kawasan itu pada pilihan raya umum 1982.


Abdul Rahim pernah dipilih beberapa kali sebagai Anggota Majlis Tertinggi (MT) UMNO mulai tahun 1980 tetapi gagal mempertahankan kedudukannya sebagai anggota MT pada pemilihan 1996.


Allahyarham pernah dilantik Timbalan Menteri Tenaga, Pos dan Telekomunikasi pada 1984 selama dua tahun selain menjadi Yang Dipertua Angkasa sejak Januari lepas.


Beliau juga pernah menjadi Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara) pada 1982 dan Pengerusi Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada 1986, selain memegang jawatan dalam sektor swasta termasuk Pengerusi Shamelin Holding Sdn. Bhd. dan Koperasi Shamelin Berhad sejak 1991 sehingga kini.

Rabu, Julai 29, 2009

PERGI JAHANAMLAH PAS


Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, sebagai seorang ulama, Nik Abdul Aziz Nik Mat tidak seharusnya mengeluarkan kata-kata kesat atau memaki hamun pihak lain.


Katanya, Menteri Besar Kelantan itu seharusnya memberi contoh terbaik kepada ummah dan bukannya memaki hamun dan mengeluarkan kenyataan yang kurang sopan kepada pihak lain.


"Nik Aziz juga tidak sepatutnya melabelkan mana-mana pihak yang tidak sehaluan dengannya sebagai menyimpang dari perjuangan Islam sebenar.


"Ini kerana, Nik Aziz sendiri bukan seorang pejuang Islam sebenar dan tidak bersifat sempurna atau maksum seperti Nabi. Justeru, beliau tidak berhak mengeluarkan kenyataan yang bersifat seolah- olah tidak bertamadun," katanya dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur semalam.


Ahmad Zahid mengulas kenyataan Nik Aziz yang menyebut ungkapan kurang sopan 'pergi jahanamlah UMNO' ketika diminta mengulas 'salam' kerjasama di antara UMNO dan Pas.


Semalam, Mursyidul Am Pas itu menjelaskan, 'salam' kerjasama yang dihulurkan sebelum ini adalah atas hubungan antara kerajaan Pusat dan negeri yang tiada kaitan sama sekali dengan kesediaan membentuk kerjasama antara Pas dan UMNO.


Menurut Nik Aziz, beliau tetap dengan pendirian menolak sebarang perbincangan atau kerjasama dengan UMNO kerana menganggap parti itu telah menyimpang daripada perjuangan Islam.


Ahmad Zahid menambah, jika Nik Aziz atau kerajaan negeri Kelantan mahu berbaik-baik dengan kerajaan Pusat hanya kerana ada udang di sebalik batu, lebih baik lupakan sahaja hasrat tersebut.


Ini kerana, jelasnya, Nik Aziz sendiri tidak pernah ikhlas untuk menjalin hubungan dengan mana-mana pihak sama ada kerajaan Pusat atau UMNO sendiri.


"Lupakan saja hasrat tersebut," ujarnya.


Ulasan saya terhadap isu ini sepatutnya pemimpin UMNO kata pergi jahanamlah PAS. PAS bukannya agama. Ia adalah parti ciptaan manusia. Kalau Nik Aziz boleh kata pergi jahanamlah UMNO, jadi apa salahnya kita kata pergi jahanamlah PAS.


Macam ini ke pemimpin Islam? Saya teringat kepada kisah kawan saya dari Besut, Asri yang dikenali sebagai Mat Sabu. Dia pernah pergi ke rumah Nik Aziz di Pulau Melaka. Masa itu Nik Azir tidur sebelah tengah hari. Nik Aziz marahi Mat Sabu kerana datang ke rumahnya nak minta tolong urusan kawannya. Dia marah kerana tak cukup tidur kot. Beginikah pemimpin Islam?

Rabu, Februari 18, 2009

PERGINYA SEORANG KAWAN

Malam tadi seorang sahabat, Marzuki Muda telah sms saya beritahu berita kematian Ketua UMNO Cawangan Losong, Halim Omar akibat angin ahmar. Beliau dikatakan datang ke Kuala Lumpur minggu lepas dan terjatuh di bilik air di sebuah hotel. Sejak itu beliau koma di Hospital Kuala Lumpur sehingga menghembuskan nafas terakhir malam tadi.
Saya kenali Halim melalui Marzuki. Kebetulan Halim adalah boss Marzuki. Setiap kali berkunjung ke Kuala Terengganu, bila ke pejabat Marzuki di Kampung Tiong, selalu saya bersembang dengan Halim yang merupakan seorang aktivis parti.
Kali terakhir saya berjumpa dengannya pada hari raya lalu. Saya mahu jumpaMarzuki tetapi dia suruh saya jumpanya di rumah Halim di Bukit Depu. Kebetulan pada waktu itu ada saudaranya di rumah Halim iaitu Othman Awang bekas calon BN Wakaf Mempelam yang tewas dalam pilihan raya umum lalu. Saya pun tiga pupu Othman juga. Saya kena dengan Othman melalui sebelah emaknya manakala Halim kena dengan Othman melalui sebelah ayahnya.
Menjelang pilihan raya kecil Kuala Terengganu, Halim call saya minta saya ceramah setiap malam di markasnya di Losong. Kesibukan tugas di Kuala Lumpur menyebabkan saya tidak dapat balik membantu Halim. Ketika saya sampai di Kuala Terengganu sehari sebelum mengundi, ceramah sudah tidak diadakan lagi di malam akhir. Saya tidak sempat menunaikan permintaan Halim yang banyak kali call saya tanya bila nak turun berceramah.
Semakin ramai kawan saya meninggal dunia seperti Man Toba, Halim, semakin insaf saya bahawa dunia ini tidak kekal. Giliran kita entah bila tapi persiapan kita menghadapi Allah belum siap lagi.
Saya ingin akhiri tulisan ini dengan memetik sms Aziz Zariza Ahmad yang hantar sms kepada saya pada jam 4.38 pagi tadi, "Maka apakah kamu menyangka bahawa Kami menciptakan kamu hanya untuk suka-suka; bahawa kamu tidak akan dikembalikan kepada Kami? (surah Al Mukminum, ayat 115). " Al Fatihah buat Halim Omar. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya.