Jumaat, September 25, 2009

PERGINYA SEORANG IDOLA


Bekas Menteri Besar Pahang, Datuk Abdul Rahim Abu Bakar meninggal dunia di kediamannya di Jalan U-Thant di Kuala Lumpur pukul 7.10 petang semalam dipercayai akibat serangan jantung. Allahyarham berusia 66 tahun.


Beliau merupakan seorang tokoh politik yang berprinsip yang mempertahankan wang rakyat ketika berkrisis dengan Sultan Pahang. Di atas ketegasannya itu maka Perdana Menteri, Tun Hussein Onn terpaksa tunduk kepada desakan Sultan Pahang yang mahu Rahim digantikan dengan Datuk Abdul Rashid Abdul Rahman sebagai Menteri Besar Pahang sebelum menghantar Datuk Seri Najib ke Pahang sebagai Menteri Besar baru pada pilihanraya umum 1982.


Ketegasannya itu menyebabkan beliau sering kali menang jawatan ahli majlis tertinggi UMNO. Sebelum UMNO terlibat dengan krisis istana di zaman Dr. Mahathir (1981-2003) menjadi Perdana Menteri, Rahim telah mencipta sejarah sebagai Menteri Besar yang enggan tunduk kepada kehendak istana.


Anak keduanya, Rosnita, 35, ketika ditemui Bernama di kediamannya berkata, bapanya sedang menunggu azan untuk berbuka puasa di meja makan apabila tiba-tiba didapati tidak lagi bernafas oleh ibunya, Datin Rosnah Kamaruddin.


Katanya, mereka segera menghubungi paramedik dari Pusat Perubatan Gleneagles Intan dan Abdul Rahim disahkan sudah meninggal dunia.


“Ayah tidak menunjukkan tanda-tanda pelik sebelum meninggal, bahkan setahu saya Allahyarham tidak menghidap sebarang penyakit tetapi berkemungkinan kematiannya akibat serangan jantung,” katanya.


Rosnita berkata, semua adik-beradiknya sempat menemui Allahyarham sebelum beliau menghembuskan nafas terakhir kerana masih berada di rumah itu sempena Aidilfitri.


Jenazah Allahyarham akan disembahyangkan di Masjid Kampung Pandan sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Kosas selepas solat Jumaat hari ini.


Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Noh Omar ketika ditemui menyifatkan pemergian Abdul Rahim sebagai kehilangan besar dalam arena politik negara khususnya kepada UMNO. Allahyarham selaku Yang Dipertua Angkasa.


Allahyarham meninggalkan seorang balu dan empat orang anak iaitu Roslina, 37, Rosnita, Mohd. Rizal, 32, dan Rosazreen, 25, serta empat cucu.


Abdul Rahim yang dilahirkan pada 7 Februari 1943 di Beserah, Kuantan memulakan karier politiknya sebagai Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beserah setelah memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) itu pada pilihan raya umum 1978.


Allahyarham, yang berkelulusan Sarjana Muda Ekonomi (Kepujian) dari Universiti Malaya, menjadi Menteri Besar Pahang selama kira-kira tiga tahun bermula 19 Julai 1978 hingga 7 November 1981.


Beliau masih bergiat aktif dalam politik terutamanya UMNO walaupun selepas meletakkan jawatannya sebagai menteri besar, antaranya menjadi Anggota Parlimen Kuantan setelah memenangi kerusi Parlimen kawasan itu pada pilihan raya umum 1982.


Abdul Rahim pernah dipilih beberapa kali sebagai Anggota Majlis Tertinggi (MT) UMNO mulai tahun 1980 tetapi gagal mempertahankan kedudukannya sebagai anggota MT pada pemilihan 1996.


Allahyarham pernah dilantik Timbalan Menteri Tenaga, Pos dan Telekomunikasi pada 1984 selama dua tahun selain menjadi Yang Dipertua Angkasa sejak Januari lepas.


Beliau juga pernah menjadi Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara) pada 1982 dan Pengerusi Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada 1986, selain memegang jawatan dalam sektor swasta termasuk Pengerusi Shamelin Holding Sdn. Bhd. dan Koperasi Shamelin Berhad sejak 1991 sehingga kini.