Rabu, Februari 18, 2009

PERGINYA SEORANG KAWAN

Malam tadi seorang sahabat, Marzuki Muda telah sms saya beritahu berita kematian Ketua UMNO Cawangan Losong, Halim Omar akibat angin ahmar. Beliau dikatakan datang ke Kuala Lumpur minggu lepas dan terjatuh di bilik air di sebuah hotel. Sejak itu beliau koma di Hospital Kuala Lumpur sehingga menghembuskan nafas terakhir malam tadi.
Saya kenali Halim melalui Marzuki. Kebetulan Halim adalah boss Marzuki. Setiap kali berkunjung ke Kuala Terengganu, bila ke pejabat Marzuki di Kampung Tiong, selalu saya bersembang dengan Halim yang merupakan seorang aktivis parti.
Kali terakhir saya berjumpa dengannya pada hari raya lalu. Saya mahu jumpaMarzuki tetapi dia suruh saya jumpanya di rumah Halim di Bukit Depu. Kebetulan pada waktu itu ada saudaranya di rumah Halim iaitu Othman Awang bekas calon BN Wakaf Mempelam yang tewas dalam pilihan raya umum lalu. Saya pun tiga pupu Othman juga. Saya kena dengan Othman melalui sebelah emaknya manakala Halim kena dengan Othman melalui sebelah ayahnya.
Menjelang pilihan raya kecil Kuala Terengganu, Halim call saya minta saya ceramah setiap malam di markasnya di Losong. Kesibukan tugas di Kuala Lumpur menyebabkan saya tidak dapat balik membantu Halim. Ketika saya sampai di Kuala Terengganu sehari sebelum mengundi, ceramah sudah tidak diadakan lagi di malam akhir. Saya tidak sempat menunaikan permintaan Halim yang banyak kali call saya tanya bila nak turun berceramah.
Semakin ramai kawan saya meninggal dunia seperti Man Toba, Halim, semakin insaf saya bahawa dunia ini tidak kekal. Giliran kita entah bila tapi persiapan kita menghadapi Allah belum siap lagi.
Saya ingin akhiri tulisan ini dengan memetik sms Aziz Zariza Ahmad yang hantar sms kepada saya pada jam 4.38 pagi tadi, "Maka apakah kamu menyangka bahawa Kami menciptakan kamu hanya untuk suka-suka; bahawa kamu tidak akan dikembalikan kepada Kami? (surah Al Mukminum, ayat 115). " Al Fatihah buat Halim Omar. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya.