Khamis, Julai 16, 2009

MB NAFI ROMBAK EXCO


Menteri Besar, Datuk Ahmad Said menafikan desas-desus berlakunya rombakan barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Terengganu dalam tempoh terdekat.


Sehubungan itu, Ahmad turut menegaskan bahawa setakat ini pihaknya tiada perancangan untuk melakukan perubahan ke arah itu.


“Tiada. Setakat hari ini tidak ada sebarang perancang, orang lain yang bercakap tidak tahulah,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di Pejabat Menteri Besar, di sini, semalam.


Sebelum ini, terdapat desas-desus mengatakan rombakan Exco akan berlaku dalam masa terdekat berikutan wujud beberapa Exco tertentu yang dikatakan tidak ‘sebulu’ dengan beliau.


Desas-desus itu bertiup kencang apabila beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) turut dikatakan ingin membuat undi tidak percaya kepada Ahmad ketika Sidang Dewan Undangan Negeri yang lepas.


Bagaimanapun, Ahmad tetap optimis terhadap perkara itu dan berharap barisan Exco sedia ada mampu berkhidmat dengan kerajaan negeri sekurang-kurangnya satu penggal.


Ditanya sama ada beliau berpuas hati dengan barisan Exco sedia ada, Ahmad me-ngakui kesemuanya tiada masalah.


“Setakat ini ok, kita beri peluang, sekurang-kurang-nya pegang jawatan sampai satu penggal, kalau dua tahun setengah nak berpuas hati memang tidak dapatlah.


“Tahun pertama kata orang tahun berbulan madu, tahun kedua baru nak siapkan perancangan. Kita bagi peluang untuk selesaikan satu penggal,” katanya.