Rabu, Julai 01, 2009

TOLAK RASUAH DIHARGAI


Dua anggota polis yang menolak rasuah lebih setengah juta ringgit daripada dua pengedar dadah bagi mengelak 480 bungkusan syabu bernilai RM280 juta dirampas pada Mei lepas, dianugerahkan Anugerah Integriti semalam.

Detektif Koperal Mohd Surani Sarbini, 44, dan Lans Koperal Mohd Tarmazi Arbayee, 25, juga dinaikkan pangkat masing-masing kepada Detektif Sarjan dan Koperal atas kejayaan terbesar dalam sejarah Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menyampaikan anugerah berkenaan kepada kedua-dua anggota polis itu dalam satu upacara selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Keutuhan Pengurusan Kerajaan di Bangunan Parlimen di sini.

Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Dr Koh Tsu Koon, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan.

Pada kejadian pada 2 Mei lepas, Mohd Surani dan Mohd Tarmazi yang dalam perjalanan pulang ke Balai Polis Cenderawasih, Rompin, Pahang pada pukul 6.45 pagi, ternampak sebuah lori yang mencurigakan lalu memeriksa dan mendapati lori itu membawa muatan 96 kotak serta 480 bungkusan plastik disyaki dadah jenis syabu.

Kedua-dua anggota polis itu bertindak menahan dua suspek lelaki yang kemudiannya menawarkan suapan rasuah sebanyak RM10,000 dan berjanji akan menyerahkan lagi RM500,000 sebagai ganjaran membebaskan mereka.

Musa ketika ditemui pemberita berharap masyarakat tidak memberikan rasuah kepada penjawat awam dan pegawai penguatkuasa kerana mereka boleh dikenakan hukuman yang berat.

"Saya minta masyarakat janganlah beri rasuah, kalau hadapi apa-apa masalah terimalah masalah tetapi jangan merasuah kepada pegawai kerajaan kerana kita mempunyai kuasa untuk menangkap kalau orang memberi rasuah," katanya.

Beliau turut mengucapkan syabas kepada kedua-dua anggotanya itu serta berterima kasih kepada Perdana Menteri kerana pengiktirafan itu.

"Saya rasa gembira dan rasa bahawa pegawai dan anggota bawahan saya telah melakukan tugas dengan baik. Alhamdulillah apa yang selama ini saya utarakan untuk membetulkan pasukan polis supaya anggota dan para pegawai mempunyai integriti yang tinggi berhasil," katanya.

Ketika ditemui, Mohd Surani dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Rompin berkata beliau berpegang kepada integriti kerana setiap anggota polis perlu ada integriti.

Mohd Tarmizi dari Cawangan MPV, IPD Rompin pula berkata ketika ditawarkan rasuah itu, beliau hanya memikirkan mahu berkhidmat lama dalam polis.

"Saya fikir saya lama lagi hendak kerja sebab saya baru lagi masuk dalam PDRM ini. Kita fikir panjang, sebolehnya memang saya akan tolak (rasuah)," katanya.