Memaparkan catatan dengan label perlu. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label perlu. Papar semua catatan

Ahad, November 06, 2016

AHLI UMNO PERLU TANGKIS DAKWAAN PEMBANGKANG

KUALA LUMPUR, 5 Nov (Bernama) -- Anggota UMNO dan parti komponen lain Barisan Nasional (BN) perlu bersama-sama menangkis sebarang dakwaan yang cuba memburuk-burukkan kerajaan serta para pemimpin negara.

Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa berkata tanggungjawab mempertahankan kebenaran perlu dilaksanakan bersama-sama untuk kesejahteraan rakyat dan negara.

"Walaupun BN ini bukan kerajaan yang maksum, bukan 'perfect government', tetapi kita jauh lebih baik daripada kerajaan yang lain dan kita sentiasa mensejahterakan rakyat," katanya ketika merasmikan penutupan majlis Pemukiman Penceramah Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) di sini malam Sabtu.

Beliau menjelaskan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak adalah pemimpin terbaik memimpin negara.

Justeru, Annuar menyifatkan dakwaan-dakwaan yang dilemparkan terhadap Najib berlaku disebabkan beliau seorang Perdana Menteri dan Presiden UMNO, dan pihak yang melaksanakan agenda itu berkemungkinan mahu mengambil kedudukan beliau.

Dalam pada itu Annuar berkata penceramah-penceramah KKMM perlu membuat persediaan terperinci dan memahami segala isu yang ingin dikongsi bersama peserta.

"Berceramahlah dalam bidang yang kita tahu sahaja. Subjek dan bahasa yang kita fasih sahaja supaya peserta faham apa yang kita ketengahkan.

"Ini kerana ceramah atau pidato ini bergantung pada keberkesanan penyampaian kita dan jangan bergantung kepada nota yang kita bawa," kata beliau.

-- BERNAMA

Rabu, September 28, 2016

IDE TIDAK PERLU MELAGA-LAGAKAN ANTARA ZAHID DENGAN HISHAMUDDIN



Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi 'bersyukur' berikutan satu kajian mendapati Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dipilih sebagai calon pilihan utama untuk menggantikan perdana menteri.

Bagaimanapun di dalam undian tersebut Hishammuddin yang juga naib presiden Umno hanya mengatasi Zahid dengan peratusan terlalu kecil, iaitu sebanyak satu peratus.

“Alhamdulillah Hisham lebih popular 1 peratus,” kata Zahid seperti dilapor portal Majlis Ahli Parlimen BN (BNBBC).

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Multaqa Ekonomi Majlis Perundingan Islam (MPI) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Zahid diminta mengulas kajian dijalankan badan pemikir kerajaan negeri Selangor, Institut Darul Ehsan (IDE) di sekitar negeri itu bermula 26 hingga 30 Ogos lalu.

Kajian itu menunjukkan 32 peratus daripada responden menyokong Hishamuddin sebagai pengganti Datuk Seri Najib Razak manakala 31 peratus lagi memilih Zahid.

Sementara itu, Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin Abu Bakar berada di tangga ketiga dengan memperolehi 28 peratus undian.

Keputusan kaji selidik itu dibentangkan di sebuah hotel di Shah Alam semalam oleh Timbalan Pengerusi IDE, Profesor Datuk Mohammad Redzuan Othman.

Pecahan lebih terperinci daripada responden mengikut lingkungan umur menunjukkan Hishamuddin paling popular di kalangan kumpulan berumur 31 hingga 50 tahun.

Zahid pula lebih popular di kalangan mereka yang berumur atas 51 tahun, manakala Khairy paling popular di kalangan belia berusia 21 hingga 30 tahun.


Ulasan saya, IDE sudah tidak ada idea sehingga tergamak melaga-lagakan Zahid dengan Hishamuddin untuk jawatan Presiden Umno. Sekarang ikut tradisi pemangku timbalan presiden, Zahid Hamidi akan menjadi PM apabila Najib bersara dari politik.


Oleh itu IDE tidak perlu menjalankan kajian kerana Zahid yang memangku jawatan Timbalan Presiden Umno yang akan menjadi PM baharu. Apa motif IDE mengadakan kajian seumpama ini selain dari mahu melaga-lagakan antara dua tokoh, Zahid dan Hishamuddin.


Zahid adalah bekas ketua pemuda ketika Hishamuddin menjadi naib ketua pemuda. Oleh itu Hishamuddin yang dijangka mengambilalih kerusi timbalan presiden apabila Zahid menjadi Presiden Umno selepas PRU akan datang. Jadi tidak timbul isu Hishamuddin akan menggantikan Najib.


Hasil keputusan PRU pada tahun 2018 akan menyaksikan Najib berundur dan beri laluan kepada Zahid.,Maka Zahid adalah pilihan yang tepat untuk menggantikan Najib.












Sabtu, September 03, 2016

TABAYYUM PERLU UNTUK ELAK PERPECAHAN

KEMAMAN, 3 Sept (Bernama) -- Konsep 'tabayyum' atau meneliti sesuatu perkara terlebih dahulu sebelum membuat apa-apa keputusan perlu diamalkan oleh anggota UMNO bagi mengelak wujudnya perpecahan dan perselisihan sesama sendiri yang akhirnya akan merosakkan perpaduan parti.

Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata penilaian yang tepat dan bersikap rasional terhadap sebarang isu yang bersangkutan dengan parti termasuk isu kepimpinan atasan akan membantu anggota UMNO menjadi lebih matang dan fokus terhadap perjuangan parti.

"Setiap anggota perlu menghayati konsep tabayyum ini agar perpaduan dalam parti akan lebih kukuh dan sama-sama menjalankan tugas serta mempunyai hala tuju yang jelas dalam perjuangan kita untuk menegakkan negara, agama dan bangsa.

"Jangan kita terlalu mudah menghukum dan menilai seseorang (dalam parti) terutama pemimpin kita tanpa mengetahui pucuk pangkal dan akhirnya isu ini akan dipergunakan oleh pihak pembangkang untuk menjatuhkan kita," katanya ketika merasmikan Persidangan Perwakilan Sayap Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Kemaman di sini hari ini.

Turut hadir, Timbalan Ketua UMNO Bahagian merangkap Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, Ketua Wanita Umno Bahagian, Datuk Rohani Abdullah, Ketua Pemuda UMNO Bahagian, Ahmad Fikry Ibrahim dan Ketua Puteri UMNO Bahagian, Shaheda Jusoh.

Mas Ermieyati yang juga Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan dalam pada itu menyeru semua anggota UMNO berdiri teguh di belakang Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak yang ketika ini berhadapan tuduhan berkaitan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang kini turut disiasat oleh Jabatan Kehakiman (DoJ) Amerika Syarikat.

"Saya menyeru agar kita semua bersikap matang dan menilai dengan rasional berkaitan isu ini. DoJ belum pun membuat apa-apa keputusan berkaitan isu tersebut tapi kita sudah menghukum pemimpin kita.

Saya bimbang jika isu ini terus diperbesarkan pihak pembangkang akan mengambil kesempatan dan menggunakannya untuk meracuni pemikiran rakyat," katanya.

Sementara itu ketika ditemui pemberita, Mas Ermieyati berkata Pergerakan Puteri UMNO kini bersiap sedia dengan gerak kerja untuk meningkatkan jumlah daftar pemilih menjelang Pilihan Raya ke-14 kelak dengan memfokuskan hubungan bersama golongan muda yang baru pertama kali mengundi.

"Kita juga berharap pada pilihan raya umum akan datang akan lebih ramai wakil dari Wanita atau Puteri yang akan diangkat sebagai calon kerana ketika ini ramai pengundi dari kalangan mereka dan ramai yang sudah berjaya memberi kemenangan kepada Barisan Nasional pada pilihan raya yang lepas," katanya.

--BERNAMA

Isnin, Ogos 29, 2016

UMNO PERLU FIKIR HALA TUJU UNTUK 40 TAHUN AKAN DATANG

UMNO perlu mula memikirkan hala tuju parti sekurang-kurangnya untuk 40 tahun akan datang bagi memastikan nasib anak bangsa pada masa hadapan tetap terbela, kata Anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Beliau berkata, walaupun UMNO telah membawa kejayaan besar dalam tempoh 59 tahun kemerdekaan terutamanya dari aspek kesihatan, kemudahan asas, pendidikan dan gaya hidup, namun parti itu perlukan perancangan dan hala tuju bermula sekarang.

"Tapi daripada hari ini kita nak pergi 30 atau 40 tahun lagi, ke mana mereka (anak cucu) hendak pergi. Walaupun kita duduk dalam kehidupan nelayan, buat bendang, kerja kerajaan atau bekerja sendiri, tapi kita kena ada program dan rencana untuk semua kaum untuk masa hadapan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Kuala Kedah di sini semalam.


Jelas beliau, UMNO yang kini diterajui Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak jelas berada di landasan yang benar untuk membela nasib bangsa, agama dan negara.

Sentuhan transformasi Presiden UMNO itu misalnya kata beliau, membolehkan semua lapisan masyarakat dapat merasai perubahan baharu dilakukan UMNO.

-- BERNAMA

Rabu, Mac 30, 2016

PERLEMBAGAAN PERLU DILINDUNGI, BUKAN DICABULI

Apa yang didakwa sebagai perhimpunan 'Selamatkan Malaysia' pada Ahad lepas, sebenarnya bukan untuk menyelamatkan Malaysia, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.

Beliau berkata sekiranya hendak menyelamatkan Malaysia, Perlembagaan perlu dilindungi, bukan dicabuli, sepertimana yang mereka anjurkan bagi menyingkirkan Perdana Menteri.

"Pertama sekali, mereka hendak menyelamatkan Malaysia daripada apa atau siapa? Dan bagaimana menyingkirkan Perdana Menteri secara melanggar Perlembagaan boleh dianggap sebagai menyelamatkan Malaysia?," kata Salleh dalam catatan terbaru beliau melalui blognya sskeruak.blogspot.my hari ini.


"Mereka berdiri di atas pentas dan menyerang apa yang dikatakan tidak ada demokrasi di Malaysia. Tetapi, apa yang tidak mereka sebut ialah hakikat bahawa Perdana Menteri (Datuk Seri) Najib Tun Razak membenarkan lebih banyak demokrasi di Malaysia, membolehkan mereka menganjurkan perhimpunan itu, yang mereka gunakan untuk menyerang Perdana Menteri," katanya.

Salleh berkata perhimpunan 'ramai rakan' yang tidak berkongsi aspirasi dan ideal yang sama itu menunjukkan bahawa pakatan 'Selamatkan Malaysia' itu sudah gagal sejak mula lagi.

"Kita sudah lihat Gagasan Rakyat, Angkatan Perpaduan Ummah, Barisan Alternatif, Pakatan Rakyat, dan kini Pakatan Harapan.

"Setakat ini, semuanya mengalami kegagalan, manakala Pakatan Harapan pula sedang bertungkus-lumus ingin membuktikan ia mampu untuk kekal wujud. Dan, sebab kesemua mereka mengalami kegagalan ialah seperti kata orang Melayu, tidur satu bantal, mimpi lain-lain," katanya.

Menurut Salleh, kesemua yang menyertai pakatan 'Selamatkan Malaysia' itu tidak berkongsi cita-cita, doktrin, aspirasi atau objektif yang sama dan mereka hanya mahukan satu perkara - menyingkirkan kerajaan.

"Secara teknikal, itulah yang akan terjadi sekiranya anda menyingkirkan Perdana Menteri," katanya.

Salleh berkata kumpulan itu tidak akan sekali-kali bersetuju antara satu sama lain kerana setiap rakan dalam pakatan 'Selamatkan Malaysia' itu mempunyai pandangan sendiri mengenai siapakah yang akan mengambil alih sebagai Perdana Menteri baharu sekiranya rancangan mereka itu berjaya.

"Dan adakah kempen 'Selamatkan Malaysia' itu termasuk atau tidak termasuk membebaskan (Datuk Seri) Anwar Ibrahim dari penjara? Dr Wan Azizah Wan Ismail (isteri Anwar dan Presiden PKR) berkata ya, tetapi semua yang lain tidak berkata apa-apa," katanya.

Salleh berkata bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad nampaknya muncul sebagai Ketua Pembangkang de facto baharu serta mengetuai 'Kempen Anti-Najib' atau 'Kempen Selamatkan Malaysia'.

"Kesemua yang lain kelihatan memberi kelulusan secara tersirat terhadap peranan kepimpinan dimainkan Mahathir apabila mereka tidak menamakan mana-mana pemimpin lain," katanya.

Salleh berkata Dr Mahathir tahu bahawa Najib hanya boleh disingkirkan sekiranya UMNO sendiri tidak mahukan beliau lagi.

Menurut menteri itu, Dr Mahathir sendiri mengaku bahawa Najib tidak boleh disingkirkan dari luar, maka oleh yang demikian, bekas Perdana Menteri itu berharap kempen 'Selamatkan Malaysia' itu akan membuktikan ia mendapat sokongan daripada rakyat dan dengan itu, akan memperoleh sokongan UMNO.

"Sebaliknya, UMNO amat marah kepada Mahathir dan oleh kerana itu, UMNO bersatu di belakang Najib. Jadi, langkah Mahathir benar-benar memakan dirinya sendiri," katanya.

-- BERNAMA

Jumaat, Ogos 28, 2015

TAK PERLU PECAT MUHYIDDIN, PECAT MAHATHIR

Menjelang mesyuarat majlis tertinggi Umno pada 9 September depan, semua orang bimbang tentang nasib yang bakal dialami oleh timbalan presiden Umno, Muhyiddin Yasin. Ada yang berpendapat bahawa majlis tertinggi akan memecat beliau dari Umno kerana beliau terus mempersoalkan tentang 1MDB selepas dipecat dari jawatan TPM.

Sepert kata Shafie Afdal, takkan tanya soalan tentang 1MDB pun kena pecat dari jawatan, maka saya kira pembodek Najib tidak perlu mencadangkan kepada MKT supaya memecat Muhyiddin dari Umno.

Kita kaji semula di mana punca sebenar krisis yang berlaku sekarang. Umno lemah bukan kerana serangan luar dari Rafizi Ramli dan Tony Pua. Sebaliknya Umno lemah kerana serangan dari dalam Dr Mahathir Mohamad, bekas PM dan bekas Presiden Umno.

Justru itu MKT patut mencadangkan pemecatan keahlian Dr Mahathir. Di zaman Pak Lah jadi PM, Dr Mahathir keluar dari Umno kerana marah kepada Pak Lah yang dikelilingi oleh budak-budak tingkat empat.

Sekarang Dr Mahathir marah kepada najiib kerana derma RM2.6 billion, 1MDB, isu Rosmah Mansor, maka Umno patut mempertimbangkan cadangan ini. Dalam waktu yang sukar ini, memecat Dr Mahathir dari Umno akan melumpuhkan Umno, tetapi kita perlu ingat PRU 2018 masih jauh.

Zaman Dr Mahathir tiada Facebook, twitter, whatsapps, maka beliau tidak diserang seperti yang dialami Najib sekarang, tetapi Dr Mahathir bercakap tidak serupa bikin. Dahulu dia marah akhbar luar negara mengkritik kepimpinannya tetapi kini beliau yang beri wawancara kepada akhbar luar negara yang dimarahinya dahulu. Kenapa double standard dalam soal ini? Adakah Dr Mahathir sudah nyanyuk?

Bertindaklah dari sekarang jika BN mahu menang PRU akan datang. Insya allah kita masih ada masa lagi untuk memulihkan Umno dalam masa tiga tahun. Jika pada tahun 1989, Dr Mahathir tidak membenarkan penyokong team B masuk Umno baru, maka sudah sampai masanya najib bertegas memecat Dr Mahathir.

Jangan bimbang kerana PRU masih jauh. Seperti kata Dr Mahathir, orang Melayu mudah lupa. Bila tibanya PRU mereka tetap mengundi BN kerana mereka tahu jika Pakatan rakyat memerintah negara, negara lebih tidak stabil kerana sesama PKR, DAP dan GHB pun mereka tidak seiya dan sekata. Sebab itulah orang Melayu tidak ada pilihan lagi mengekalkan kerajaan BN walaupun tidak mendapat majoriti dua pertiga.

Selasa, Januari 28, 2014

TAK PERLU PINDA AKTA PILIHANRAYA

PETALING JAYA: Bekas calon Ketua Pemuda Umno 2013, Syed Rosli Syed Harman Jamalulail berpendapat akta Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) tidak perlu dipinda yang menetapkan mana-mana wakil rakyat meletakkan jawatan secara automatik calon yang dapat undi kedua tertinggi dalam PRU ke 13 dianggap sebagai wakil rakyat yang baru. Katanya, SPR tak perlu meminda akta yang ada kerana walaupun pilihanraya kecil ini diadakan kerana bukan wakil rakyatnya meninggal dunia, pilihanraya kecil perlu diadakan. “Biar rakyat memilih wakil rakyat mereka yang baru selepas ADUN itu meletakkan jawatan.” kata beliau kepada FMT mengulas cadangan supaya akta SPR dipinda semula. Berdasarkan akta sekarang, jika berlaku kematian atau peletakan jawatan mana-mana wakil rakyat selepas 36 bulan dari tarikh PRU, maka automatik pilihraya kecil tidak diadakan. “Soal mengadakan pilihanraya kecil itu membazir tidak timbul kerana itu tugas SPR mengendalikan pilihanraya kecil itu,” kata beliau mengulas peletakan jawatan ADUN Kajang, Lee Chin Cheh semalam. Beliau yang baru pertama kali bertanding pada PRU Mei 2013 menjadi ADUN Kajang untuk lapan bulan sahaja. Pada PRU tersebut, calon PKR itu mendapat 19,571 undi menang dengan majoriti 6,824 undi mengalahkan lima calon, Lee Ban Seng (BN) mendapat 12,747 undi;Mohamad Ismail (Berjasa) mendapat 1014 undi, Ir Mohd Iwan Jeffrey Abdul Majid(Bebas) mendapat 249 undi: Ong Yau Foo (Bebas) mendapat 85 undi dan Mohd Khalid Kassim (Bebas) mendapat 83 undi. Menurut Syed Rosli, pilihanraya kecil itu diadakan untuk memberi laluan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Menteri Besar Selangor menggantikan Tan Sri Khalid Ibrahim sebagai jalan untuk menamatkan pertelingkahan politik di antara Khalid Ibrahim dengan Pengerusi PKR Selangor, Azmin Ali. “Orang Umno tak boleh kata PKR menyusahkan rakyat Kajang kerana perlu keluar mengundi semula kerana pada tahun 1997, Umno juga berbuat demikian juga apabila pilihanraya kecil diadakan untuk melantik Tan Sri Abu Hassan Omar sebagai Menteri Besar yang baru menggantikan Tan Sri Muhammad Muhd Taib, “ jelas beliau.

Rabu, Julai 20, 2011

TAK PERLU PERTIKAI ANUGERAH IBRAHIM ALI


Tak perlu pertikai anugerah Ibrahim Ali kerana yang keluarkan duit tu Presiden Perkasa sendiri. Jadi apa yang dibuat oleh Tuan Ibrahim Tuan Man adalah tindakan yang bodoh.

Kalau dia nak anugerah itu atas namanya, keluarkan duit kepada UITM. Mungkin UITM boleh pertimbangkan pula Anugerah Tuan Ibrahim Tuan Man. Kenapa dengki kepada Ibrahim Ali? Beliaulah yang mencadangkan kepada Tun Dr Mahathir supaya ITM dinaiktaraf sebagai universiti.

Jika tidak, sampai sekarang ITM masih dipanggil Institut Teknologi MARA. Jadi janganlah cakap sembarangan sama ada layak atau tidak anugerah Ibrahim Ali dilaksanakan di UITM.

Dibandingkan dengan Tuan Ibrahim Tuan Man, Ibrahim Ali lebih berjasa kepada negara. Beliau adalah bekas Setiausaha Parlimen di Kementerian pembangunan luar bandar dan bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri. Jadi memang layak namanya diabadikan di UITM dengan Anugerah Ibrahim Ali.


Tindakan UiTM membuka pencalonan bagi Anugerah Ibrahim Ali kepada pelajar universiti itu yang membuktikan komitmen dan sumbangan mereka dalam memartabatkan bangsa Melayu dibidas pelbagai pihak.

Penubuhan anugerah itu datang daripada Datuk Ibrahim Ali sendiri dan hadiahnya juga ditaja oleh presiden kumpulan pendesak Melayu, PERKASA itu. Ia dianjurkan oleh Institut Pemikiran dan Kepimpinan Melayu (Impak)

Ahli parlimen Pasir Mas itu juga adalah bekas pelajar UiTM dan menuntut dari tahun 1971 hingga 1974.

Menurut Pesuruhjaya PAS Pahang Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, yang pernah menjadi pensyarah di UiTM terdapat ramai lagi pemimpin yang jasa mereka lebih besar.

“Nama pemimpin lain lebih berhak. Arsyad Ayub, Ani Arope, Ishak Mohamad, Dr Awang Had Salleh, dan (bekas naib canselor UiTM) Ibrahim Abu Shah akan tersenyum bila mengetahui ada anugerah dinamakan atas nama Ibrahim Ali!” kata Tuan Ibrahim kepada Harakahdaily semalam.

Ketua Penerangan PAS itu berkata anugerah berkenaan akan terkubur kerana Ibrahim bukan orang yang dipandang tinggi oleh masyarakat.

“Penerima anugerah mesti berbangga dengan anugerah mereka. Jika sesuatu anugerah itu hanya mendatangkan cemuhan dan menjadi stigma kepada penerimanya, saya pasti anugerah itu akan gagal,” katanya.

Berkongsi pendapat yang sama adalah setiausaha agung Pemuda MCA Chai Kim Sen yang kecewa dengan keputusan UiTM.

Katanya, Ibrahim tidak layak mendapat pengiktirafan seumpama itu.

“Ibrahim adalah individu kontroversi. Tindakannya dan kenyataannya gagal menyatukan masyarakat. Sebaliknya menjejaskan pembangunan negara dan perpaduan dan tidak harus dijadikan teladan bagi orang lain,” katanya dalam satu kenyataan.

Selasa, Julai 19, 2011

TAK PERLU IKTIRAF DR. LO' LO'


Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Jalil menganggap kematian ahli parlimen Titiwangsa, Dr Lo' Lo' Ghazali sebagai satu kehilangan yang besar.

Bagi saya, tak perlu pemimpin UMNO mengiktiraf pemimpin PAS yang ternyata telah memecah-belahkan perpaduan orang Melayu. Dr. Lo' Lo' menyebabkan BN kehilangan satu kerusi di parlimen. Wajarkah Menteri Wanita ini memberi penghormatan kepada beliau?

Kalaulah begini semua mentaliti pemimpin UMNO, bila pemimpin pembangkang mati semua dipuji, apa guna mereka bermati-matian menentang pemimpin pembangkang dalam pilihanraya umum? Sebaliknya bila pemimpin UMNO meninggal dunia, ada orang PAS puji pemimpin UMNO?

Apa yang dibuat oleh Shahrizat memanglah baik tetapi tidak menguntungkan parti. Oleh itu lain kali Shahrizat tak payahlah puji pemimpin PAS yang sudah meninggal dunia. Allah tak akan maafkan mereka yang memecahbelahkan perpaduan orang Islam sehingga sanggup orang PAS tidak menegur sapa orang UMNO kerana berlainan pegangan parti.

Jenazah Anggota Parlimen PAS bagi kawasan Titiwangsa Allahyarhamah Dr Lo' Lo' Ghazali, yang meninggal dunia malam Ahad akibat penyakit kanser, telah selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Datuk Keramat di sini, pada Isnin.

Allahyarhamah, 54 dikebumikan kira-kira pukul 11 pagi setelah disembahyangkan di Masjid Al-Akram Datuk Keramat pada pukul 10.30 pagi yang diimamkan oleh Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Antara yang hadir ialah Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil yang juga Ketua Wanita Umno, ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan isteri Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat.

Ketika ditemui media, Abdul Hadi berkata, pemergian Allahyarhamah merupakan satu kehilangan besar kepada parti memandangkan Allahyarhamah seorang pemimpin yang berjiwa rakyat.

"Beliau mewarisi sifat bapanya, bekas mufti Perak, Datuk Mohd Ghazali Abdullah yang juga antara orang kuat pembentukan Dewan Ulama PAS pada 1951 dimana sentiasa mementingkan isu rakyat," katanya.

Dr Lo Lo yang menerima rawatan komplikasi penyakit kanser meninggal dunia pada pukul 10.13 malam di Hospital Selayang.

Allahyarhamah meninggalkan suami Dr Aminuddin Abdul Hamid Karim dan empat orang anak, masing-masing dua lelaki dan dua perempuan.

Isnin, Mac 14, 2011

PERSIMPANGAN BERTINGKAT PERLU DITAMBAH DI JERANGAU BARAT


Sekali-sekali balik ke Terengganu melalui Jerangau-Jabur, saya terlihat Lebuhraya Pantai Timur (LPT2) yang sedang dibina. Melintasi Bukit Besi ke Ajil, kelihatan pakej MTD dari Bukit Besi ke Kuala Telemong sudah hampir siap. Saya berpeluang melalui pakej sejauh 40 km itu dari Bukit Besi ke Ajil.

Saya nampak terlalu jauh jarak antara Bukit Besi ke Ajil. Ini bermakna orang yang berada di pertengahan antara Bukit Besi dan Ajil tidak ada peluang menggunakan LPT2 itu. Kalau ada pun mereka terpaksa jauh pergi ke bukit Besi sekitar 20 km baru dapat pergi ke Kuala Lumpur.Kalau mahu ke Kuala Terengganu mereka terpaksa naik di persimpangan bertingkat di Ajil.

Oleh itu saya berharap kerajaan dapat menambah satu lagi persimpangan bertingkat di Jerangau Barat yang penuj dengan para peneroka FELDA yang berada di FELDA Jerangau dan FELDA Jerangan Barat. Jika wujud persimpangan bertingkat baru ini, ini bermakna tanah yang berada di sekitar Jerangau Barat akan melambung naik. Ia memberi manafaat kepada penduduk setempat.

Oleh itu saya berharap Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said dapat mendengar rintihan para peneroka FELDA Jerangau Barat untuk melihat satu lagi persimpangan bertinmgkat dibina di situ. terpulanglah kepada MB untuk mencari peruntukan sekitar RM15 juta itu dari mana sama ada dari kerajaan pusat atau dana khas kerajaan negeri. Demi kepentingan orang ramai apa salahnya kerajaan negeri menanggung kos pembinaan tersebut.

Selepas LPT 1 siap dari Kuantan ke Kuala Lumpur, selepas persimpangan bertingkat Gambang, persimpangan seterusnya ialah di Maran. tetapi bila desakan penduduk Sri Jaya, maka kerajaan negeri memohon MTD membina persimpangan bertingkat baru di Sri Jaya. Justru itu apa salahnya kerajaan negeri memohon diadakan persimpangan bertingkat tambahan di Jerangau Barat demi kepentingan para peneroka FELDA.

Jumaat, Oktober 15, 2010

TAK PERLU PANGKAH BN


Nampaknya pengundi DUN Galas tidak perlu pangkah BN. Kalau BN kalah pun, BN tetap menunaikan janji yang ditabur pada pilihanraya kecil ini. Hal yang sama berlaku di DUN Manek Urai pada tahun lepas.

Walaupun BN tewas dalam pilihanraya kecil itu, BN tetap menunaikan pelbagai janji yang dibuat sewaktu kempen pilihanraya kecil tersebut. Inilah untungnya rakyat Kelantan. PAS menang tetapi BN yang buat pembangunan.

Sepatutnya BN menghukum pengundi Manek Urai dengan tidak menunaikan janji. Buat apa tunai janji, BN sudah kalah. Biarlah PAS yang buat pembangunan sebaliknya BN tidak zalim. BN tidak mahu jadi munafik. Justru itu BN tetap tunaikan janji walau kalah di Manek Urai.

Jika trend Manek Urai tidak berubah di Galas, maka biar PAS menang dan BN tetap tunaikan janji yang ditabur menjelang pilihanraya kecil ini. Oleh itu sudah sampai masanya BN menghukum para pengundi Galas. Kalau BN menang, baru BN tunaikan janjib dan kalau BN kalah, tak perlulah BN tunaikan janji.

Dakwaan pemimpin Pas bahawa Barisan Nasional (BN) belum menunaikan janji-janji yang dibuat semasa Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai yang lalu hanya satu fitnah.

Menurut bekas calon BN yang bertanding bagi kawasan tersebut, Tuan Aziz Tuan Mat, 40, semua janji yang diberikan semasa kempen itu telah pun ditunaikan, malah pelbagai lagi bantuan akan menyusul.

"Saya mahu mereka beritahu apa lagi yang kita tidak tunaikan. Walaupun saya kalah tetapi semua janji-janji itu telah pun dilaksanakan untuk manfaat rakyat di situ.

"Sebab itulah saya menyeru pengundi di Galas agar tidak tertipu dengan kata-kata pemimpin Pas ini yang hanya fitnah semata-mata," katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Pada kempen pilihan raya kecil itu 14 Julai tahun lalu, Kerajaan Pusat telah berjanji untuk membawa pembangunan infrastruktur di kawasan berkenaan antaranya pembinaan jambatan di Kampung Manek Urai Lama membabitkan kos RM10 juta, menaik taraf Masjid Temalir bernilai RM600,000, membaik pulih rumah (RM1.5 juta) dan membina gelanggang sukan di Kampung Manjor (RM300,000).

Tuan Aziz berkata, walaupun hanya pembinaan jambatan itu yang masih belum ditunaikan kerana beberapa masalah yang timbul, pemimpin Pas tidak melepaskan peluang apabila menjadikannya sebagai isu utama mereka untuk berkempen di Galas.

Beliau yang juga penyelaras DUN Guchil berkata, beberapa masalah pemilikan tanah adalah punca kelewatan pembinaan jambatan itu, namun ia akan tetap diteruskan meskipun kosnya dikatakan telah meningkat sehingga RM17 juta.

"Masjid Temalir sudah hampir siap. Proses pemilikan tanah di Kampung Manjor sudah siap dan tidak lama lagi gelanggang sukan akan dibina.

"Di seluruh Manek Urai lebih 500 buah rumah penduduk miskin telah diganti dan dinaik taraf, jadi apa lagi yang Pas nak cakap," tegas beliau.

Sehubungan itu, beliau meminta lebih 11,000 pengundi di DUN Galas dapat membuat keputusan terbaik ketika hari pengundian nanti supaya memilih wakil rakyat yang benar-benar mampu membangunkan kawasan mereka.

Pilihan Raya Kecil DUN Galas akan diadakan pada 4 November ini berikutan kematian penyandangnya, Chek Hashim Sulaima pada 27 September lalu.

Khamis, Oktober 14, 2010

BLOGGERS TAK PERLU BOIKOT PILIHANRAYA KECIL GALAS


Ada blogger yang pro Rocky Bru mencadangkan supaya semua blogger memboikot pilihanraya kecil DUN Galas. Saya kira tindakan ini tidak wajar kerana apa yang berlaku kepada Rocky Bru adalah di antara beliau dengan menteri BN secara peribadi.

Oleh kerana Datuk Seri Dr. Rais Yatim telah membuat laporan polis, maka kita serahlah kepada siasatan polis. Rocky Bru yang buat tuduhan bahawa anak Dr. Rais ada terbabit dalam syarikat yang didakwanya hendaklah membuktikan kebenaran. Oleh itu beliau tidak perlu takut jika apa yang ditulisnya itu benar.

Penulis blog Rocky's Bru, Datuk Ahirudin Attan semalam memberi keterangan di Ibu Pejabat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) di sini berhubung laporan polis yang dibuat oleh Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berhubung projek jalur lebar.

Ahiruddin mula memberi keterangan pada pukul 11.30 pagi kepada seorang pegawai SKMM dan hanya selesai satu jam setengah kemudian.

Beliau yang ditemui pemberita selepas memberikan keterangan berkata, kerjasama penuh telah diberikan kepada pihak SKMM bagi membolehkan siasatan berjalan lancar tanpa sebarang masalah.

"Saya memberikan kerjasama kepada SKMM seperti yang diarahkan dan tidak timbul sebarang masalah mengenai perkara itu.

"Soalan yang ditanya oleh pegawai itu adalah berdasarkan perkara rutin seperti memastikan adakah blog itu milik saya dan beberapa lagi perkara rutin lain," katanya.

Semalam, Rais membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi, Kuala Lumpur berhubung dakwaan blog Rocky's Bru kononnya anak beliau mempunyai kepentingan dalam kementerian terbabit dengan memperoleh geran RM1 bilion bagi menaik taraf akses jalur lebar di seluruh negara.

Difahamkan, beliau turut membuat laporan sama terhadap blog Taikors and Taikuns (TnT) dan bigdogdotcom.

Ahiruddin berkata, beliau juga bersedia menyerahkan komputer peribadinya kepada SKMM seperti yang dikehendaki bagi siasatan lanjut.

Katanya, sehingga kini beliau belum dihubungi polis untuk memberikan keterangan mengenai perkara tersebut dan yakin akan dipanggil dalam masa terdekat ini.

Khamis, Julai 22, 2010

HISHAMUDIN PERLU SELESAIKAN MASALAH SETIU


Majlis Tertinggi UMNO yang bermesyuarat senalam sudah mengambil maklum tentang apa yang berlaku di Setiu mengenai ketidakhadiran empat ADUN dalam mesyuarat perwakilan UMNO bahagian Sabtu lalu.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein perlu selesaikan segera masalah di Setiu dengan memanggil semua yang terlibat termasuk ketua bahagiannya, Datuk Mohd. Jidin Shafee.

Hishamuddin perlu bertindak adil tanpa menyebelahi mana-mana pihak. Oleh itu apa saja rungutan yang dibangkitkan oleh empat ADUN perlu didengar secara adil. Kita tidak mahu tsunami 1999 berulang di Setiu di mana BN kalah di keempat-empat ADUN berkenaan.

Yang terlibat ialah timbalan ketuanya, Ashaari Idris (ADUN Langkap),naib ketuanya, Abdul Halim Jusoh (ADUN Permaisuri), ketua pemuda, Khazan Che Mat (ADUN Batu Rakit) dan bekas calon ketua bahagian, Ramlan Ali (ADUN Jabi).

oleh itu Hishamuddin perlu selesaikan segera masalah yang berlaku di Setiu.

Khamis, Jun 03, 2010

TIDAK PERLU NAIKKAN HARGA MINYAK


Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad tidak bersetuju kerajaan menghapuskan subsidi seperti yang dicadangkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala.

Idris kata Malaysia akan bangkrap dalam masa sembilan tahun jika kerajaan mengekalkan subsidi yang meningkat 74 juta. Sebenarnya sudah ada satu proposal yang dihantar kepada MOF dan EPU pada tahun 2007 mengenai pengurusan subsidi ini di zaman Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Ketika itu Pak Lah tidak berminat dengan cadangan ini sebaliknya beliau mengumumkan setiap rakyat Malaysia yang memperbaharui cukaijalan kenderaan mereka dapat rebat RM625 seorang.

Apabila Datuk Seri Najib Tun Razak menjadi PM pada tahun lalu, pengurusan subsidi dibangkit oleh beliau ketika membentangkan Bajet 2010 pada Oktober tahun lepas. Maybank diberi tanggungjawab untuk menjalankan pengurusan subsidi ini engan menggunakan Mykad. Bila rakyat bantah penggunaan Mykad, Najib menangguhkan buat sementara sistem pengurusan subsidi ini.

Minggu lepas ketika merasmikan Hari terbuka Makmal Rasionalisasi Subsidi, Idris berkata majoriti rakyat Malaysia setuju supaya subsidi ini dikurangkan. Idris sepatutnya menyemak kembali proposal yang ada di MOF dan EPU yang dibentangkan oleh sebuah syarikat di mana melalui sistem pengurusan ini harga minyak boleh diturunkan dan bukannya dinaikkan malah semua harga barangan seperti gula, tepung, minyak masak dapat diturunkan.

Melalui sistem ini sekurang-kurangnya RM5 bilion dapat dijimatkan oelh kerajaan. Oleh itu kerajaan tidak perlu menaikkan hargaminyak, harga gula, harga minyak masak yang sudah tentu menimbulkan kemarahan rakyat. oleh itu Idris kena tanya MOF dan EPU proposal yang dikemukakan oleh Antah Berhad itu.

Khamis, Ogos 06, 2009

RONNIE LIU PERLU DIPECAT EXCO


Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pandamaran, Ronnie Liu perlu digugurkan segera daripada barisan Exco Selangor kerana beliau sudah menjadi liabiliti kepada kerajaan negeri itu.


Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), Zulkifli Noordin menganggap desakan Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr. Hassan Ali ke atas Liu yang merupakan Exco Kerajaan Tempatan, Penyelidikan dan Pembangunan semalam adalah tepat.


"Sekiranya beliau (Liu) enggan meletakkan jawatan, saya mendesak Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim supaya mengambil langkah segera menggugurkan Liu daripada barisan Exco Kerajaan Negeri Selangor.


"Ini perlu dilakukan sebelum rakyat mengambil tindakan menggugurkan kerajaan pakatan pula," katanya dalam laman blog beliau http://zul4kulim.blogspot.com/.


Hassan semalam mendesak portfolio kerajaan tempatan yang dipegang Liu ditarik balik berikutan beberapa aduan mengenai tindakannya membabitkan insiden di Shah Alam pada 30 Julai lalu, yang mempertikaikan keputusan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) melaksanakan tugas.


Tambah Hassan, ini termasuk dalam operasi arak dan maksiat oleh Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) di sebuah premis di Bandar Sunway beberapa hari lalu.


Zulkifli yang terkenal dengan pendirian tegasnya dalam isu melibatkan umat Islam membuat saranan itu dalam entri terbarunya berkaitan rombakan barisan Exco Kerajaan Negeri Selangor.


"Desakan ADUN Bukit Antarabangsa, Azmin Ali sebelum ini dipercayai kerana terdapat persepsi masyarakat umum khususnya di kalangan ahli perniagaan di Selangor bahawa kalau mahu mendapat sesuatu perkara bergerak di Selangor, 'jumpalah dua tiga Exco ni, sure lulus punya!!!'.


"Hari ini (semalam) Dr. Hassan Ali dalam kenyataannya secara terbuka mendesak supaya Liu digugurkan daripada barisan Exco kerana banyak tindakan beliau menimbulkan masalah kepada masyarakat umum," jelasnya.

Sabtu, Julai 04, 2009

BN PERLU EKSPLOIT ISU INI


Wakil rakyat tunggal DAP di Kedah, Lee Guan Aik semalam mengisytiharkan dirinya sebagai Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bebas dan berkecuali dan tidak lagi menjadi penyokong kerajaan negeri.

Sebagai ADUN Bebas dan berkecuali, katanya, beliau juga tidak akan menyokong Barisan Nasional (BN) tetapi sebaliknya hanya menyokong pihak yang benar sahaja.

Guan Aik, ADUN Kota Darul Aman itu, berkata, pendirian DAP negeri untuk keluar dari pakatan pembangkang Kedah telah dimaklumkan kepada DAP pusat menerusi sepucuk surat dua hari lepas.

"Bagaimanapun, kita tidak menghantar surat kepada Menteri Besar Kedah (Datuk Seri Azizan Abdul Razak)," katanya kepada Bernama di Alor Setar semalam.

Katanya, DAP negeri sedang menunggu jawapan balas dari DAP pusat mengenai keputusan mereka berundur dari Pakatan Rakyat di negeri tersebut.

Guan Aik berkata, kerajaan negeri pimpinan Pas mungkin tidak sedar bahawa DAP telah memainkan peranan untuk memancing undi kaum Cina menyokong Pakatan Rakyat termasuk memberi undi kepada Pas pada pilihan raya umum lepas.

"Kita kesal dengan layanan yang diberikan kepada DAP kerana saya telah naik turun berjumpa Menteri Besar untuk meminta agar Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) menangguh operasi meroboh pusat penyembelihan babi itu sementara menunggu keputusan kerajaan negeri meluluskan tapak pusat yang baru," katanya.

Rabu lepas, DAP Kedah membuat kejutan apabila mengumumkan untuk keluar daripada pakatan pembangkang negeri itu kerana tidak yakin dengan keadilan kerajaan negeri dalam mentadbir negeri.

Tindakan itu berpunca daripada kegagalan kerajaan negeri menangani isu merobohkan pusat penyembelihan babi di Kampung Berjaya, dekat sini.

Pengerusi DAP negeri Thomas Su berkata, selain Guan Aik yang akan bertindak seperti ADUN Bebas, tiga ahli majlis pihak berkuasa tempatan dan 43 ketua komuniti dari DAP negeri ini juga akan meletak jawatan jika DAP pusat bersetuju dengan keputusan mereka.

Menjelang pilihan raya kecil Manek Urai di Kelantan, BN perlu eskploit isu keretakan PAS-DAP di Kedah ini untuk merampas kembali kerusi Manek Urai. Jika BN berjaya eksploit isu ini, BN sudah pasti akan menang. Jika tidak, BN tetap kecundang di tangan PAS.

Ada yang berpendapat kononnya isu keretakan PAS-DAP di Kedah tidak beri kesan kepada jentera PAS di Kelantan untuk mempertahankan kerusi Manek Urai kerana tiada wakil DAP dalam kerajaan Kelantan. Tetapi sedikit sebanyak perpecahan PAS-DAP ini hendaklah dilihat secara positiufd bahawa mereka cuma tidur sebantal tapi mempunyai mimpi yang lain-lain. Bagaimana Pakatan Rakyat mahu perintah negara pada tahun 2012 jika isu kecil di Kedah tidak dapat diselesaikan di antara mereka.

Kita berharap BN bersatu tanpa menghiraukan khabar-khabar angin yang mengatakan bahawa calon BN, Tuan Aziz Tuan Mat tidak direstui oleh Ketua UMNO Bahagian Kuala Kerai, Datuk Ramzi Abdul Rahman. Semoga nama calon BN, Tuan Aziz Tuan Mat yang hampir nama dengan nama Nik Aziz Nik Mat memberi tuah kepada BN untuk merampas kembali kerusi Manek Urai.

Isnin, Mac 30, 2009

SABAH PERLU DUA MENTERI


Selepas pilihanraya umum 2008, UMNO Sabah begitu penting kepada BN Malaysia. Ini adalah kerana BN Sabah dan Sarawaklah yang memenangkan BN Malaysia. Tanpa BN Sabah dan Sarawak BN sudah tumbang pada pilihanraya umum tahun lepas.


Oleh itu Najib sebagai Perdana Menteri yang baru mulai 3 April ini perlu melantik seorang lagi menteri dari UMNO Sabah sebagai mengenang kesetiaan rakyat Sabah kepada BN. Sekarang UMNO Sabah hanya memiliki seorang sahaja menteri pusat,Shafie Afdal yang juga Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Keseniaan dan Warisan.


Oleh kerana Shafie kini adalah seorang Naib Presiden UMNO, maka Najib mungkin memberi kementerian yang lebih kanan kepada beliau. Maka seorang menteri baru perlu dilantik dari Sabah. Sekurang-kurangnya Sabah hendaklah memiliki dua orang menteri dari UMNO. Sudah tentu yang layak menjadi menteri ialah Timbalan Menteri Pengangkutan, Lajim Okin.


Lajim yang pernah berada dalam majlis tertinggi UMNO dari tahun 2000 hingga 2004 tewas pada tahun 2004. Kali ini beliau kembali ke dalam majlis tertinggi di tempat kelapan, top ten. Maka Lajim wajar dinaikkan pangkat sebagai menteri penuh sebagai mengenang kesetiaannya kepada UMNO. Tanpa pengorbanan Lajim menyertai UMNO pada tahun 1994, barangkali PBS masih lagi memerintah Sabah kini.


Tapi di atas kebijaksanaan Lajim, maka BN dapat berkuasa di Sabah. Sebagai balasan jasanya meninggalkan PBS, beliau dilantik Timbalan Ketua Menteri Sabah. Tapi selepas Musa Aman menjadi Ketua Menteri Sabah, bintang Lajim tidak begitu cerah.


Beliau bukan sahaja kehilangan jawatan Timbalan Ketua Menteri malah tinggal ADUN Klias sahaja. Tetapi Lajim orang yang bijak. Sudah lama beliau berada di DUN Klias, maka beliau selaku Ketua UMNO Bahagian Beaufort, sedia bertanding kerusi parlimen bertukar tempat dengan Azizah Mohd. Dun.


Azizah yang dilantik menteri penuh dalam kabinet Musa mencabar Lajim bagi jawatan Ketua UMNO Beaufort. Lajim terselamat dalam pertandingan ini dan menyebabkan Lajim semakin kukuh sebagai timbalan menteri dalam kerajaan pusat.


Bintang Lajim mula bersinar apabila Ghafur Salleh dan Anipah Aman menolak jadi timbalan menteri. Maka UMNO Sabah tidak ada pilihan lain selain mencalonkan Lajim dan Rahim Bakri, MP Kudat untuk mejadi timbalan menteri.


Langkah Lajim kali ini ternyata langkah kanan. Kementerian Pengangkutan seringkali membantu timbalan menteri dari UMNO menang kerusi majlis tertinggi seperti Zaleha Ismail, Abu Hassan Omar dan Ali Rustam. Maka kemenangan Lajim membuktikan bahawa kementerian tersebut amat penting kepada para perwakilan UMNO.


Maka sudah sampai masanya bagi Lajim dinaikkan pangkat sebagai menteri penuh dalam kabinet Najib yang bakal diumumkan pada 8 April ini. Dari seorang pembantu menteri kepada ketua menteri di zaman PBS kepada menteri penuh sehinggalah dilantik sebagai Timbalan Ketua Menteri Sabah di zaman UMNO, maka pengalaman Lajim untuk menjadi menteri pusat tidak perlu dipertikai lagi. Sesungguhnya pengalaman adalah guru yang paling mahal sekali.