KEMAMAN, 3 Sept (Bernama) -- Konsep 'tabayyum' atau meneliti sesuatu perkara terlebih dahulu sebelum membuat apa-apa keputusan perlu diamalkan oleh anggota UMNO bagi mengelak wujudnya perpecahan dan perselisihan sesama sendiri yang akhirnya akan merosakkan perpaduan parti.
Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata penilaian yang tepat dan bersikap rasional terhadap sebarang isu yang bersangkutan dengan parti termasuk isu kepimpinan atasan akan membantu anggota UMNO menjadi lebih matang dan fokus terhadap perjuangan parti.
"Setiap anggota perlu menghayati konsep tabayyum ini agar perpaduan dalam parti akan lebih kukuh dan sama-sama menjalankan tugas serta mempunyai hala tuju yang jelas dalam perjuangan kita untuk menegakkan negara, agama dan bangsa.
"Jangan kita terlalu mudah menghukum dan menilai seseorang (dalam parti) terutama pemimpin kita tanpa mengetahui pucuk pangkal dan akhirnya isu ini akan dipergunakan oleh pihak pembangkang untuk menjatuhkan kita," katanya ketika merasmikan Persidangan Perwakilan Sayap Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Kemaman di sini hari ini.
Turut hadir, Timbalan Ketua UMNO Bahagian merangkap Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, Ketua Wanita Umno Bahagian, Datuk Rohani Abdullah, Ketua Pemuda UMNO Bahagian, Ahmad Fikry Ibrahim dan Ketua Puteri UMNO Bahagian, Shaheda Jusoh.
Mas Ermieyati yang juga Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan dalam pada itu menyeru semua anggota UMNO berdiri teguh di belakang Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak yang ketika ini berhadapan tuduhan berkaitan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang kini turut disiasat oleh Jabatan Kehakiman (DoJ) Amerika Syarikat.
"Saya menyeru agar kita semua bersikap matang dan menilai dengan rasional berkaitan isu ini. DoJ belum pun membuat apa-apa keputusan berkaitan isu tersebut tapi kita sudah menghukum pemimpin kita.
Saya bimbang jika isu ini terus diperbesarkan pihak pembangkang akan mengambil kesempatan dan menggunakannya untuk meracuni pemikiran rakyat," katanya.
Sementara itu ketika ditemui pemberita, Mas Ermieyati berkata Pergerakan Puteri UMNO kini bersiap sedia dengan gerak kerja untuk meningkatkan jumlah daftar pemilih menjelang Pilihan Raya ke-14 kelak dengan memfokuskan hubungan bersama golongan muda yang baru pertama kali mengundi.
"Kita juga berharap pada pilihan raya umum akan datang akan lebih ramai wakil dari Wanita atau Puteri yang akan diangkat sebagai calon kerana ketika ini ramai pengundi dari kalangan mereka dan ramai yang sudah berjaya memberi kemenangan kepada Barisan Nasional pada pilihan raya yang lepas," katanya.
--BERNAMA