Sabtu, September 03, 2016

WASPADA DENGAN AGAS AGAS POLITIK

KOTA BELUD, 3 Sept (Bernama) -- Bendahari UMNO Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak mengingatkan anggota UMNO agar sentiasa berhati-hati dan berwaspada terhadap tindak-tanduk beberapa individu yang dikiaskannya sebagai 'agas-agas politik' yang cuba merosakkan parti dengan mempolemikkan pelbagai isu.

Menteri Komunikasi dan Multimedia itu berkata beberapa 'agas-agas politik' yang dahulunya bersama-sama dalam perjuangan UMNO, tetapi kini berpatah arang, telah bersekongkol dengan pembangkang dengan meniupkan pelbagai sentimen semata-mata untuk meraih simpati umum agar kekal mendapat perhatian.

"Kita harus bangkit dan menentang orang-orang ini, yang menjadi dalang dan petualang, merosakkan parti UMNO, dan cuba-cuba menenggelamkan bahtera UMNO dengan mempolemikkan cerita-cerita seperti 1MDB dan 'derma', DOJ dan rasuah, serta berbagai-bagai lagi helah politik yang cuba diputar belit.

"Orang-orang yang sudah berpaling tadah ini, yang berkelana membawa jiwa yang bercelaru, bukanlah pejuang sejati, tapi sebaliknya seperti burung helang yang terbang sekadar mengintai-intai peluang, apabila mendapat maka dibawanya pulang, tetapi apabila tidak mendapat, maka dia pun terbang menghilang," katanya ketika menyampaikan amanatnya pada Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Kota Belud di sini hari ini.

Salleh yang juga Timbalan Ketua Perhubungan UMNO Sabah turut mengibaratkan golongan ini sebagai 'ular bertukar kulit' kerana wataknya bertukar 90 darjah sebaik sahaja 'bertukar kulit' yang sanggup melakukan apa sahaja untuk menjatuhkan kerajaan secara tidak demokratik.

"Kalau dahulu tidak pernah pun bersuara memperjuangkan hak Sabah, tapi kini tiba-tiba cuba menjadi hero. Kalau dulu hanya berdiam sepi, tapi kini sibuk menjelajah ke seluruh negeri. Kalau dahulu mereka menjulang mempertahankan pimpinan, tapi kini melaungkan slogan menukar pemimpin dan kerajaan yang dipilih," katanya.

Menurut Salleh, untuk menukar sesuatu kerajaan, ia tidak boleh dilakukan secara sewenang-wenangnya seperti prinsip menukar baju kerana negara ini mengamalkan sistem demokrasi berparlimen, undang-undang dan perlembagaan, sistem perundangan dan kehakiman yang harus didukung dan dijunjung sepenuhnya oleh rakyat.

Bagaimanapun katanya golongan 'agas-agas politik' yang kecewa itu kini berusaha menjatuhkan kerajaan dengan menggambarkan UMNO dan Barisan Nasional (BN) sebagai parti yang tidak boleh dijadikan sandaran meskipun UMNO dan BN lah yang meletakkan mereka pada kedudukan sekarang.

Menurutnya, tidaklah keterlaluan untuk menyifatkan golongan berkenaan sebagai sudah lupa daratan serta dijangkiti penyakit 'alzheimer politik' yang mana mereka lupa akan jasa UMNO yang memberi kehidupan kepada mereka selama ini.

Mengenai mesyuarat tahunan UMNO berkenaan, Salleh yang juga Ketua UMNO Bahagia Kota Belud berkata ia seharusnya dijadikan sebagai platform untuk menjelaskan isu-isu semasa kepada anggota parti di peringkat akar umbi bagi membolehkan mereka memahami isu berkenaan agar tidak mudah terkeliru dengan sebarang tohmahan pembangkang.

Salleh juga mengingatkan anggota UMNO agar menggunakan media sosial dengan bijaksana serta tidak terikut-ikut dan terpengaruh dengan sikap pihak tertentu menyalahgunakan kebebasan menggunakan alat komunikasi itu untuk menabur fitnah serta mengaibkan orang lain termasuk pemimpin.

"Dalam hal ini, saya berharap rakyat terutama anggota UMNO bijak menilai dan menapis maklumat yang kurang tepat atau tidak sahih, maklumat palsu, pembohongan, tohmahan dan fitnah yang dilemparkan oleh pihak tertentu melalui media sosial. Jangan sekali-kali kita salah guna media sosial. Contoh Sarawak Report," katanya.

Beliau turut mengulangi ikrar UMNO Kota Belud untuk berdiri teguh di belakang kepimpinan Presiden UMNO dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Ketua Menteri yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Musa Aman dalam mengharungi apa juga cabaran, baik dari dalam mahupun luar parti demi agama, bangsa dan negara.

-- BERNAMA