Isnin, Mac 30, 2009

SABAH PERLU DUA MENTERI


Selepas pilihanraya umum 2008, UMNO Sabah begitu penting kepada BN Malaysia. Ini adalah kerana BN Sabah dan Sarawaklah yang memenangkan BN Malaysia. Tanpa BN Sabah dan Sarawak BN sudah tumbang pada pilihanraya umum tahun lepas.


Oleh itu Najib sebagai Perdana Menteri yang baru mulai 3 April ini perlu melantik seorang lagi menteri dari UMNO Sabah sebagai mengenang kesetiaan rakyat Sabah kepada BN. Sekarang UMNO Sabah hanya memiliki seorang sahaja menteri pusat,Shafie Afdal yang juga Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Keseniaan dan Warisan.


Oleh kerana Shafie kini adalah seorang Naib Presiden UMNO, maka Najib mungkin memberi kementerian yang lebih kanan kepada beliau. Maka seorang menteri baru perlu dilantik dari Sabah. Sekurang-kurangnya Sabah hendaklah memiliki dua orang menteri dari UMNO. Sudah tentu yang layak menjadi menteri ialah Timbalan Menteri Pengangkutan, Lajim Okin.


Lajim yang pernah berada dalam majlis tertinggi UMNO dari tahun 2000 hingga 2004 tewas pada tahun 2004. Kali ini beliau kembali ke dalam majlis tertinggi di tempat kelapan, top ten. Maka Lajim wajar dinaikkan pangkat sebagai menteri penuh sebagai mengenang kesetiaannya kepada UMNO. Tanpa pengorbanan Lajim menyertai UMNO pada tahun 1994, barangkali PBS masih lagi memerintah Sabah kini.


Tapi di atas kebijaksanaan Lajim, maka BN dapat berkuasa di Sabah. Sebagai balasan jasanya meninggalkan PBS, beliau dilantik Timbalan Ketua Menteri Sabah. Tapi selepas Musa Aman menjadi Ketua Menteri Sabah, bintang Lajim tidak begitu cerah.


Beliau bukan sahaja kehilangan jawatan Timbalan Ketua Menteri malah tinggal ADUN Klias sahaja. Tetapi Lajim orang yang bijak. Sudah lama beliau berada di DUN Klias, maka beliau selaku Ketua UMNO Bahagian Beaufort, sedia bertanding kerusi parlimen bertukar tempat dengan Azizah Mohd. Dun.


Azizah yang dilantik menteri penuh dalam kabinet Musa mencabar Lajim bagi jawatan Ketua UMNO Beaufort. Lajim terselamat dalam pertandingan ini dan menyebabkan Lajim semakin kukuh sebagai timbalan menteri dalam kerajaan pusat.


Bintang Lajim mula bersinar apabila Ghafur Salleh dan Anipah Aman menolak jadi timbalan menteri. Maka UMNO Sabah tidak ada pilihan lain selain mencalonkan Lajim dan Rahim Bakri, MP Kudat untuk mejadi timbalan menteri.


Langkah Lajim kali ini ternyata langkah kanan. Kementerian Pengangkutan seringkali membantu timbalan menteri dari UMNO menang kerusi majlis tertinggi seperti Zaleha Ismail, Abu Hassan Omar dan Ali Rustam. Maka kemenangan Lajim membuktikan bahawa kementerian tersebut amat penting kepada para perwakilan UMNO.


Maka sudah sampai masanya bagi Lajim dinaikkan pangkat sebagai menteri penuh dalam kabinet Najib yang bakal diumumkan pada 8 April ini. Dari seorang pembantu menteri kepada ketua menteri di zaman PBS kepada menteri penuh sehinggalah dilantik sebagai Timbalan Ketua Menteri Sabah di zaman UMNO, maka pengalaman Lajim untuk menjadi menteri pusat tidak perlu dipertikai lagi. Sesungguhnya pengalaman adalah guru yang paling mahal sekali.