Semalam, 28 Mac, bermulalah kepimpinan UMNO yang baru yang diketuai oleh Najib Abdul Razak dan dibantu oleh Muhyiddin Yassin, tiga naib presiden, Dr. Ahmad Zahidi Hamidi, Hishamuddin Hussein dan Shafie Afdal dan dibantu oleh 25 orang ahli majlis tertinggi serta tiga ketua sayap yang baru, Khairy (pemuda), Shahrizat (wanita) dan Rosnah (puteri).
Empat hari lagi, 2 April, Pak Lah akan menghadap Yang Dipertuan Agong mohon perkenan Baginda untuk melantik Najib sebagai Perdana Menteri Malaysia yang baru.Insya Allah Najib akan mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri yang baru mulai hari yang sama.
Sejak merdeka 52 tahun lalu, Malaysia mempunyai enam orang Perdana Menteri dan yang menariknya ia melengkapkan teori RAHMAN dengan Tunku Abdul Rahman sebagai Perdana Menteri yang pertama (1957-1970), diikuti oleh Abdul Razak Hussein (1970-1976), Hussein Onn (1976-1981), Dr. Mahathir Mohamad (1981-2003), Pak Lah (2003-2009) dan Najib (mulai 2 April ini). Najib juga mencatat sejarah kerana beliau adalah anak Perdana Menteri yang berjaya menjadi Perdana Menteri dalam tempoh 33 tahun setelah kematian ayahandanya, Tun Razak.
Adakah selepas berakhirnya teori RAHMAN, pemimpin UMNO Tidak jadi Perdana Menteri lagi kerana UMNO kalah pilihan raya yang ke 13 nanti (2012)? Maka Perdana Menteri Malaysia yang seterusnya bukan dari UMNO lagi yang merupakan tulang belakang BN? Ini yang menjadi tanda-tanya kepada kita jika UMNO gagal membawa perubahan menjelang pilihanraya umum akan datang.
Meneliti ucapan penggulungan Najib sebagai Presiden UMNO yang baru semalam, UMNO akan membuat perubahan besar dengan memberi kuasa kepada semua perwakilan Bahagian di 191 Bahagian di seluruh negara (kecuali Sarawak) memilih pemimpin UMNO. Malah Najib akan menghapuskan kuota supaya amalan politik wang tidak berlaku lagi.
"Nak tanding Naib Presiden UMNO, kena cari 20 pencalonan. Baru dapat 19 pencalonan, terkial-kial calon nak cari satu lagi pencalonan," kata Najib yang menyebabkan perwakilan UMNO ketawa ketika menggulung perbahasan sambil mengesakan kenapa kuota perlu dihapuskan.
Satu lagi yang perlu dilihat Najib ialah menetapkan seseorang pemimpin memegang jawatan Presiden, Timbalan Presiden, Naib Presiden, Ahli Majllis Tertinggi UMNO untuk tiga penggal berturut-turut sahaja supaya lebih ramai pemimpin dapat peluang meningkat maju ke depan. Jika ia dilaku seperti Amerka Syarikat menetapkan dua penggal untuk seorang Presidennya, maka perebutan jawatan dalam UMNO tidak akan berlaku lagi.
Yang paling terharu semalam ialah kedatangan Dr. Mahathir Mohamad ke perhimpunan agung UMNO walaupun anaknya Mukriz kalah bertanding jawatan ketua pemuda. Kekalahan BN lima negeri ke tangan pembangkang pada tahun lepas sedikit sebanyak dipengaruhi oleh Dr. mahathir yang berterusan mengkritik kepimpinan Pak Lah. Dengan kembalinya Dr. Mahathir ke pangkuan UMNO, beliau tidak perlu mengkritik Najib secara teruka di dalam media dan Najib amat berharap dua orang negarawan ini, Dr. Mahathir dan Pak Lah dapat menasihatinya dalam menentukan masa depan UMNO terus diterima oleh akar umbi.
Oleh kerana Mukriz sudah berumur lebih 40 tahun, dapatlah kiranya Najib melantik Mukhriz sebagai ahli majlis tertinggi UMNO dan timbalan menteri. Kesilapan Pak Lah ialah tidak melantik Mukhriz sebagai timbalan menteri sedangkan Pak Lah dapat jadi Perdana Menteri kerana dilantik oleh Dr. Mahathir sebagai timbalannya pada tahun 2000. Sedangkan ketika itu Dr. Mahathir boleh melantik Najib sebagai timbalan perdana menteri yang baru.
Dua tiga hari selepas Najib akan sumpah sebagai Perdana Menteri, Najib akan mengumumkan kabinet baru. Janganlah beliau lantik orang yang kalah sebagai menteri lagi seperti Syed Hamid Albar, Dr. Rais yatim, Khaled Nordin, Azalina Othaman Said dan Shahri Samad (akan letak jawatan Rabu ini). Sebaliknya lantiklah orang baru sebagai menteri manakala ketua pemuda dan ketua puteri yang baru bolehlah dilantik timbalan menteri.
Ujian terbesar Najib sebagai Pengerusi BN dan Presiden UMNO yang baru ialah pada 7 April ini sama ada para pengundi Bukit Gantang, Bukit Selambau dan Batang Ai menerima kepimpinannya sebagai Perdana Menteri yang baru.