Sabtu, Mac 28, 2009

LANGKAH SHAHRIR WAJAR DIPUJI

Langkah Shahrir Samad yang kalah mempertahankan jawatan ahli majlis tertinggi UMNO untuk meletakkan jawatan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna wajar dipuji. Beliau tetap bertegas mahu meletakkan jawatannya Rabu ini untuk memberi laluan kepada bakal Perdana Menteri, Najib Abdul Razak melantik barisan kabinet yang baru.

Perlantikan menteri adalah di atas budi bicara Perdana Menteri. Tidak semestinya kalah merebut jawatan dalam parti, tidak boleh dilantik menteri. Dr. Mahathir Mohamad banyak kali melakukan rombakan kabinet tanpa mengambil kira kedudukan dalam parti.

Setelah kalah merebut jawatan Timbalan Presiden UMNO pada tahun 1981, Dr. Mahathir mengekalkan Tengku Razaleigh Hamzah sebagai Menteri Kewangan. Pada tahun 1984, sekali lagi Ku Li tewas di tangan Musa Hitam, tetapi Dr. Mahathir mengekalkan Ku Li dalam kabinetnya sebagai Menteri Perdagangan dan Perindustrian.

Pak Lah pernah kalah dalam pertandingan Naib Presiden UMNO pada tahun 1993 tetapi Dr. Mahathir mengekalkan jawatan Menteri Luar. Muhyiddin Yassin pernah kalah dalam pertandingan bagi jawatan yang sama pada tahun 1996 tetapi beliau tetap dikekalkan sebagai Menteri Belia dan Sukan. Pada tahun 1996, Rafidah gagal mempertahankan jawatan ketua wanita tetapi Dr. Mahathir tetap mengekalkannya sebagai Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

Ini bermakna jawatan dalam kerajaan adalah kuasa mutlak Perdana Menteri dan ia tidak kena mengena dengan jawatan dalam parti. Dr. Rais Yatim kata semua menteri perlu letak jawatan kerana mahu beri laluan kepada Najib membentuk kabinet barunya adalah tidak tepat.

Apabila Dr. Mahathir mengambilalih jawatan Perdana Menteri pada 16 Julai 1981, beliau mengekalkan kabinet Hussein Onn. Beliau hanya melantik dua orang menteri baru sahaja, Pak Lah sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Sanusi Junid sebagai Menteri Pembangunan Luar Bandar. Ini bermakna Dr. Mahathir tidak merombak keseluruhan kabinet dengan 100 peratus menteri baru.

Begitu juga apabila Pak Lah menerajui negara pada 31 Oktober 2003. Beliau hanya melantik seorang saja menteri baru, Senator Nor Yakcup Mohamed sebagai Menteri Kewangan kedua. Oleh itu apabila Najib menjadi Perdana Menteri pada bulan April ini, Najib boleh mengekalkan kabinet lama Pak Lah dengan melantik seorang dua menteri baru. Terpulang kepada Najib. Tetapi jika semua menteri yang kalah bertanding pada 26 Mac lalu mengikut jejak langkah Shahrir, ia lebih memudahkan Najib membuat perlantikan baru menteri.

Yang kalah seperti Dr. Rais Yatim, Syed Hamid Albar, Khaled Nordin, Azalina Othman Said wajar mencontohi Shahrir Samad supaya Najib dapat melantik lima menteri baru dari kuota UMNO. Siapakah yang layak jadi menteri baru? Adakah Dr. Latif Ahmad, Husni Hanadzlah, Saifudin Abdullah, Idris Jusoh dan Dr. Noraisah Mohamed?

Terpulang kepada Najib untuk menentukannya.