Jumaat, Julai 10, 2009

ARMANI WANITA PERTAMA JADI TYDP DEWAN NEGARA


Senator Datuk Armani Mahiruddin hari ini mencatat sejarah sebagai wanita pertama dilantik sebagai Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara.

Exco Pergerakan Wanita UMNO itu yang merupakan Timbalan Yang Dipertua ke-11 mengangkat sumpah di hadapan Yang Dipertua Dewan, Datuk Wong Foon Meng sejurus selepas sidang bermula pada pukul 10 pagi.

Pelantikan Armani yang juga ahli Dewan Negara selama dua penggal dari 9 Disember 2005 sehingga 20 Disember 2011 dicadangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Usul pelantikan beliau dikemukakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon sebaik sahaja sesi Dewan bermula dan disokong oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Baharom.

Armani, 52, yang juga Ketua Wanita UMNO Sabah pernah berkhidmat sebagai guru selama 17 tahun sebelum meninggalkan dunia pendidikan pada 1995 untuk terlibat aktif dalam politik.

Pada sidang akhbar selepas mengangkat sumpah, ibu kepada empat anak itu melahirkan rasa terharu kerana dilantik memegang jawatan kedua tertinggi dalam badan penggubal undang-undang negara itu.

Menurutnya, beliau hanya mengetahui mengenai pelantikan itu pada pukul 3 petang Rabu lalu selepas dimaklumkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz yang bertanggungjawab terhadap hal ehwal Parlimen.

''Pelantikan ini merupakan satu penghormatan terhadap golongan wanita di negara ini dan merupakan detik bermakna dalam sejarah negara. Saya yakin ia akan membantu memperkasakan wanita di negara ini.

''Saya juga bersyukur kerana keputusan bersejarah ini dibuat pada tahun ini ketika Parlimen Malaysia menyambut ulang tahun Jubli Emas.

''Mungkin ini yang dikatakan 'tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu," ujarnya.

Adik kepada Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Sabah, Datuk Juhar Mahiruddin, yang juga bekas Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat itu, mengakui tanggungjawab berat yang perlu dipikulnya termasuk bagi memastikan Dewan berkenaan menjadi badan penggubal undang- undang yang dihormati.

''Saya berharap dapat menimba ilmu daripada abang saya. Syukur adik-beradik mendapat rezeki yang sama.

''Abang turut meluahkan rasa gembira dan berjanji untuk memberikan segala ilmu yang beliau ada bagi memastikan saya dapat menjalankan tugas dengan sebaik mungkin," katanya.

Dewan Rakyat sehingga kini belum mempunyai Yang Dipertua dan timbalan daripada kalangan wanita.

Ketika saya berada di Sabah dari tahun 1989-1991, saya agak rapat dengan abang Armani, Juhar Mahiruddin yang pernah aktif dalam Angkatan Keadilan Rakyat (AKAR) bersama Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

Ketika saya bekerja dengan ahli parlimen Kemaman yang baru menang pilihanraya pada tahun 1995, Dr. Ramli Taib, Juhar adalah Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat. Sebagai orang baru Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Zahir Ismail tidak kenal ramai ahli parlimen yang baru.

Masing-masing bangun untuk berucap membahaskan ucapan titah Yang Dipertua Agong meramikan pembukaan sesi Dewan Rakyat yang baru, tetapi Zahir Ismail memanggil orang yang dia kenal terutamanya orang lama untuk berucap.


Dah dua hari Dr. Ramli Taib bangun untuk berucap tetapi Yang Dipertua tidak memanggilnya untuk berucap. Maka saya pergi jumpa Juhar yang akan masuk pada jam 3.30 petang nanti mempengerusikan sidang Dewan Rakyat.

"Ada apa Zabidi?" tegur Juhar yang amat soft-spoken.

"Saya nak minta tolong YB panggil Kemaman berucap," kata saya yang memberitahunya bekerja sebagai pegawai media Dr. Ramli Taib.

"Okay," jawabnya ringkas.

Tiba gilirannya masuk Dewan, Juhar terus panggil Dr. Ramli Taib berucap. Itulah kenangan bersama abang Armani. Ketika saya bertugas di Sabah, Armani belum lagi aktif dalam politik. Sebab itu saya tidak kenali Armani.