Rabu, Februari 26, 2014

JANGAN TERPEDAYA DENGAN GELAGAT ANWAR

KOTA KINABALU, 26 Feb (Bernama) -- Timbalan Pengerusi Umno Sabah Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak menggesa pengundi agar tidak terpedaya dengan gelagat politik Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sedang berusaha menawan hati mereka menjelang pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang bulan depan. Sambil mengingatkan pengundi mengenai janji yang tidak ditepati oleh Anwar, beliau berkata pemilih tidak harus mudah tertipu dengan propaganda yang diuar-uar pembangkang kali ini. Salleh berkata Anwar berjanji untuk bersara daripada politik dan menjadi pensyarah jika pakatan pembangkang gagal menawan Putrajaya dalam pilihan raya umum pada Mei lepas. "Mereka gagal ke Putrajaya namun Anwar enggan bersara seperti yang dijanjikan. Malah beliau kini mahu menjadi menteri besar Selangor, tidak termasuk cubaannya merampas Putrajaya (pada 16 Sept 2008). Rakyat sudah muak dengan janji tidak ditepati," katanya menerusi entri dalam blognya www.sskeruak.blogspot.com. Pilihan raya kecil DUN Kajang ditetapkan pada 23 Mac ini dengan penamaan calon pada 11 Mac, selepas penyandang yang juga daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) Lee Chin Cheh meletak jawatan pada 27 Jan lepas. Salleh yang juga Speaker DUN Sabah turut menempelak DAP kerana melontar pelbagai tohmahan terhadap kerajaan Barisan Nasional (BN) bagi mendapat sokongan politik. "Selepas pilihan raya umum pada Mei 2013, DAP menuduh BN menang pilihan raya menerusi penipuan dengan mendakwa berlaku insiden terputus bekalan elektrik ketika proses pengiraan undi dan 40,000 rakyat Bangladesh mengundi di beberapa kawasan," katanya. Menurut Salleh, kempen 'Blackout 505' hanya satu sandiwara yang dibuat oleh pembangkang termasuk DAP bagi merasionalkan kekalahan mereka dalam pilihan raya itu. -- BERNAMA NAM MGN NM