Semalam negara kehilangan sasterawan Dharmala N.S, hari ini negara kehilangan seorang penyanyi nasyid terkenal, Asri Ibrahim pula.
Penyanyi utama Kumpulan Rabbani, Asri Ibrahim yang meninggal dunia kira-kira pukul 10.30 pagi ini telah rebah sebelum beliau memulakan persembahan pada pelancaran program Syahadah musim kelima di Angkasapuri di sini.
Allahyarham kemudian dikejarkan ke Hospital Pantai selepas tidak sedarkan diri. Sementara itu
sasterawan dan budayawan tanah air, Abdul Muluk Daud atau lebih dikenali sebagai Dharmala NS, 62, meninggal dunia di Hospital Selayang semalam akibat serangan sakit jantung.
Menurut isterinya, Adiah Mat Lana, 54, suaminya meninggal dunia pada pukul 8.41 pagi selepas dimasukkan ke Hospital Selayang pada Selasa lalu setelah mengadu sakit dada.
''Arwah baru sahaja selesai bersahur kerana berniat untuk berpuasa sunat,'' jelasnya.
Anak lelaki Allahyarham, Idham Khalil, 27, pula berkata, dia tidak menyangka yang bapanya ketika itu diserang sakit jantung.
''Setelah mendapati sakit dadanya itu tidak hilang, kami mengambil keputusan untuk menghantar arwah ke Hospital Selayang.
''Di Hospital Selayang beliau terus dimasukkan ke Unit Rawatan Jantung (CCU) sehingga menghembuskan nafas terakhir pagi ini,'' katanya.
Tambah Idham lagi, malam sebelum mengadu sakit dada itu, ayahnya tidak boleh tidur malah sempat mengemaskini blog peribadinya.
''Malam itu arwah kelihatan bertenaga malah sempat mengemas kini blognya sehingga pukul 4 pagi sebelum bersahur bersama ahli keluarga,'' tambahnya ketika ditemui di Masjid Sri Gombak di sini.
Selepas dimandikan di Masjid Sri Gombak, jenazah Allahyarham dibawa pulang ke kampung halamannya di Kampung Bachang Mantin, Petaling di Jelebu, Negeri Sembilan untuk dikebumikan.
Turut menziarahi jenazah di Masjid Sri Gombak ialah wakil kepada Undang Luak Rembau, Kamaruzzaman Salleh; Presiden Persatuan Penulis Nasional (Pena), Baharuddin Zainal (Baha Zain) serta Ahli Jawatankuasa Pena, Dr. Ibrahim Ghaffar.
Semasa hayatnya, Allahyarham aktif dalam penulisan novel, cerpen, sajak serta penulisan skrip drama televisyen dan filem.
Saya mengenali Dharmala pada tahun 1976 ketika beliau berceramah dalam satu kursus penulisan di Seremban. Ketika itu saya belajar di tingkatan lima di MRSM Seremban. Kami pernah bekerja sebumbung di WATAN pada tahun 1988. Ketika itu saya adalah Penolong Editor akhbar WATAN dan beliau adalah sub editor akhbar yang sama.
Beliau pernah bekerja dengan ahli parlimen DAP dan satu-satunya Melayu yang menyertai DAP. Tetapi akhirnya beliau meninggalkan parti itu. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya.