Memaparkan catatan dengan label shabery. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label shabery. Papar semua catatan

Selasa, Oktober 10, 2017

HARGA KEMBUNG MAHAL KERANA KURANG DI JETI PENDARATAN

KEMAMAN, 9 Okt (Bernama) -- Kekurangan ikan kembung di jeti pendaratan di seluruh negara menyebabkan harganya tidak stabil dan sedikit mahal sejak akhir-akhir ini, kata Menteri Pertanian Dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Beliau berkata tinjauan yang dilakukan di jeti pendaratan mendapati harga kembung memang meningkat dan kebanyakannya ditetapkan pada harga RM12 sekilogram.


"Kalau ikan kurang di tempat pendaratan, ertinya harga ikan akan naik. Jadi sukar untuk saya memaksa nelayan (menjual dengan harga murah seperti biasa) kerana waktu ikan kurang, mereka terpaksa pergi jauh ke laut dan menggunakan minyak (enjin) yang lebih, menggunakan tenaga yang lebih, tiba-tiba orang meminta saya mengawal harga pendaratan ikan.

"Apabila kurang ikan semasa pendaratan, maka kita kena akui (harga menjadi mahal) kerana kos untuk nelayan pergi ke laut lebih tinggi, tidak termasuk lagi musim yang tidak menentu, laut yang bergelora dan cabaran serta kemungkinan bahaya yang nelayan perlu lalui," katanya kepada pemberita.

Beliau meninjuau program Gotong Royong Perdana di tapak lokasi Gelombang Nelayan Nasional (GNN) 2017 di Pantai Kuala Kerteh di sini hari ini.

Ahmad Shabery berkata pemborong dan peruncit juga mempunyai risiko tertentu dan pastinya mereka turut mengambil margin keuntungan yang sekali gus menjadikan harga kembung yang dijual pada pembeli sedikit mahal.

"Sekarang telah masuk bulan Oktober dan laut mula bergelora yang menyebabkan harga ikan kembung telah naik dan kemungkinan ikan-ikan lain juga akan naik. Ia mengikut kaedah ekonomi iaitu sebagai contoh, kalau harga cawan naik, maha harga piring juga akan mengikut sama," katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata setakat ini masih belum terdapat teknologi yang membolehkan ikan kembung diternak seperti ikan siakap, tilapia dan sebagainya yang boleh menjadikan harganya stabil sepanjang masa.

-- BERNAMA

Jumaat, Oktober 06, 2017

JAGUNG BIJIAN MAMPU JADI SUMBER KEKAYAAN BAHARU

LABIS, 6 Okt (Bernama) -- Tanaman Jagung bijirin mampu menjadi sumber kekayaan baharu negara pada masa akan datang apabila ia terbukti sesuai ditanam di mana-mana tempat di negara ini, kata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Beliau berkata kejayaan beberapa projek perintis seperti di Terengganu, Johor dan Kedah berjaya memecah tembok tanggapan negatif segelintir pihak bahawa tanaman untuk menghasilkan makanan haiwan ternakan itu tidak sesuai ditanam di negara ini kerana faktor cuaca.

"Kami bersama agensi berkaitan akan berusaha untuk membaiki beberapa kelemahan yang ada bagi menambah baik tanaman jagung bijirin di negara ini," katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis penuaian jagung bijirin oleh Pertubuhan Peladang di Zon Pengeluaran Makanan (ZPM) Chempelak di sini hari ini.

Katanya kejayaan tanaman jagung bijirin akan mengurangkan pergantungan negara terhadap import jagung bijirin daripada negara luar yang melibatkan nilai sebanyak  RM3.1 bilion setahun.....

Sabtu, September 30, 2017

MANFAATKAN SEPENUHNYA KUOTA 135 VESSEL TUNA

SERDANG, 30 Sept (Bernama) -- Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek menggesa pengusaha perikanan negara memanfaatkan sepenuhnya kuota 135 vesel tuna yang diperuntukkan Suruhanjaya Tuna Lautan Hindi (IOTC) untuk Malaysia menangkap ikan itu di Lautan Hindi setiap tahun.

Beliau berkata ini bagi memenuhi sasaran eksport tuna Malaysia ke Jepun sebanyak 30,000 tan setahun berbanding sekitar 5,000 hingga 10,000 tan sekarang, selain menampung keperluan tempatan.

Pada masa ini hanya 12 daripada 135 vesel digunakan, katanya kepada pemberita selepas merasmikan produk inovasi tuna di pameran Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) 2017 di Taman Ekspo Pertanian Serdang, di sini hari ini.

"Rugi kalau kuota itu tidak digunakan," katanya, menambah Malaysia menganggotai IOTC sejak 1998.

IOTC merupakan badan antarabangsa yang mengawal penangkapan tuna di Lautan Hindi.

Mengenai produk inovasi tuna yang dihasilkan menerusi kerjasama Jabatan Perikanan dan Universiti Teknologi MARA, Ahmad Shabery berkata produk itu menunjukkan kreativiti anak muda tempatan yang menyelitkan identiti Malaysia dalam produk tuna mereka.

Antara produk yang dihasilkan ialah sate, burger dan nuget tuna.

HPPNK 2017 yang berlangsung sejak Khamis dan akan berakhir esok menampilkan pelbagai produk dan inovasi berkaitan pertanian.

-- BERNAMA

Ahad, September 17, 2017

MAHATHIR DIMINTA LIHAT KENYATAANNYA 12 TAHUN LEPAS

KUALA LUMPUR, 16 Sept (Bernama) -- Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dinasihatkan agar melihat semula kenyataannya yang dibuat 12 tahun lalu yang menyatakan
Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) perlu melabur lebih banyak di seberang laut agar pencarum dapat menerima dividen yang lebih baik.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata Dr Mahathir mengeluarkan kenyataan itu pada 26 April 2005, justeru amat mengejutkan apabila beliau mengeluarkan kenyataan bercanggah dengan mengkritik pelaburan Khazanah serta KWSP di Amerika Syarikat baru-baru ini.

"Berita untuk mengingatkan beliau (Dr Mahathir) boleh dibaca di http://tinyurl.com/epf-DrM2. Pada masa itu beliau (Dr Mahathir) berkata KWSP mempunyai dana yang besar berjumlah RM240 bilion dan pelaburan domestik bermakna pulangan yang rendah. Beliau berkata KWSP mesti melabur di luar negara bagi meningkatkan pendapatannya.

"Hari ini, setakat akhir Jun 2017, dana KWSP mencecah RM759.78 bilion - lebih tiga kali ganda berbanding ketika Dr Mahathir membuat kenyataan itu," katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahmad Shabery yang juga Anggota Majlis Tertinggi UMNO, berkata KWSP sudah menjelaskan bahawa pelaburan luar negara mereka, atau 29 peratus daripada aset pelaburan keseluruhan, menyumbang 32.5 peratus kepada pendapatan pelaburan keseluruhan bagi suku kedua 2017.

Ahmad Shabery berkata pelaburan seberang laut juga memberi pulangan atas pelaburan tahunan 11.10 peratus setakat Jun 2017 , jauh mengatasi prestasi pelaburan tempatan KWSP.

"Saya terkejut bila tahu Tun (Dr Mahathir) sekarang sudah menukar fikiran dan pandangan dengan mengkritik pelaburan Khazanah dan KWSP di AS. Ini menunjukkan beliau bermain politik kebencian sambil mengetepikan kebajikan serta kepentingan rakyat," katanya.

Menurut Ahmad Shabery, melabur di luar negara bukan perkara baharu bagi Khazanah dan KWSP.

Khazanah telah membuka pejabat di Lembah Silikon, AS pada 2013 dan pada 2014, Khazanah memperoleh lebih US$1 bilion menerusi penyenaraian Alibaba di AS, pulangan lima kali ganda pelaburan mereka, katanya.

Menurut beliau sebahagian besar dana untuk pelaburan semasa berjumlah US$400 juta dalam firma teknologi di AS datang daripada keuntungan Alibaba.

"KWSP juga merekodkan kejayaan besar menerusi pelaburan dalam projek infrastruktur di seberang laut. Pada 2013, KWSP bersama-sama syarikat berkaitan kerajaan Sime Darby dan SPT Setia yang pemegang saham utamanya ialah PNB (Permodalan Nasional Berhad), dianugerahi projek bernilai berbilion pound untuk membangunkan Battersea di London," katanya.

Menurutnya projek Battersea merupakan projek berpotensi besar yang bermakna lebih banyak keuntungan akan diperoleh syarikat-syarikat terbabit.



"Saya harap Tun dan (pakatan pembangkangnya) Pakatan tidak mencetuskan keraguan terhadap keputusan pelaburan yang dibuat pengurus dana profesional terbabit memandangkan mereka mempunyai rekod yang cemerlang dalam pelaburan di luar negara.

"Kejayaan mereka bermakna rakyat Malaysia mendapat manfaat daripada keputusan mereka melabur di luar negara. Adakah salah untuk pemegang dana ini mencari pelaburan terbaik, sama ada di dalam mahupun di luar negara, yang akan memaksimum pulangan simpanan rakyat biasa," soalnya.



-- BERNAMA

Rabu, Ogos 16, 2017

PIAWAIAN SERAGAM DURIAN AKAN DIWUJUDKAN

PUTRAJAYA, 16 Ogos (Bernama) -- Satu piawaian seragam berkenaan durian akan diwujudkan bagi memastikan ketulenan dan kualiti raja buah itu sentiasa berada di tahap terbaik seperti sepatutnya.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata piawaian yang akan diwujudkan dengan kerjasama Jabatan Standard Malaysia itu antara lain bertujuan mengelak pembeli daripada tertipu dengan jenis buah dan harga yang diletakkan penjual.


Ketika ini, katanya, penjual dan pembekal 'bebas' menamakan jenis buah dan harga kerana tiada pihak yang berperanan mengesahkan perkara itu, kecuali durian yang di bawah pengurusan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).

Beliau berkata pembeli mengadu mereka sering tertipu dengan taktik penjual yang meletakkan label jenis durian yang mendapat permintaan tinggi dan mahal seperti D24 atau Musang King untuk meraih keuntungan.

"Sekarang tiada siapa yang bertindak mengesahkan sama ada ia durian Musang King, D24 atau apa saja. Tujuan mewujudkan satu standard atau piawaian khusus memastikan setiap durian yang dilabelkan adalah durian yang betul," katanya kepada pemberita selepas majlis makan tengah hari bersama usahawan durian di kementeriannya di sini hari ini.....

Sabtu, Ogos 06, 2016

SHABERY RAYU MB DAN AHMAD SAID SELESAI CARA BAIK

KEMAMAN, 5 Ogos (Bernama) -- Anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek merayu agar Menteri Besar Terengganu Ahmad Razif Abdul Rahman dan bekas Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said mencari jalan penyelesaian terbaik bagi menamatkan kemelut politik di negeri ini.

Ahmad Shabery yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kemaman berkata kemelut itu
harus diselesaikan secara bijaksana demi masa depan UMNO dan rakyat.

"Saya merayu kepada semua pihak sama ada menteri besar atau bekas menteri besar untuk memikirkan jalan yang terbaik khususnya bagi masa depan UMNO dan tidak mengambil tindakan yang boleh merosakkan parti.

"Saya bimbang perpecahan akan berlaku dan kita tak boleh mendakwa bahawa UMNO akan sentiasa kuat...saya yang berada di Kemaman pun tidak boleh menjamin bahawa semua kerusi yang ada di sini dapat kita pastikan kemenangan walaupun kita berusaha menjaga rakyat dan walaupun rekod dari segi kecemerlangan UMNO di Kemaman ini ada," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan bencana kepada 21 nelayan di Kemasik yang dilanda ribut.

Ahmad Shabery berkata kemelut sedemikian juga akan menimbulkan keraguan rakyat terhadap parti dan sokongan terhadapnya juga mungkin akan terjejas.

"Bila berlaku perpecahan, sokongan keseluruhan berdasarkan kepada anggota UMNO itu mungkin sekitar 45 hingga 48 peratus dan pembangkang mungkin tak sekuat itu tetapi yang menentukan sokongan ialah rakyat yang mungkin tidak berparti...yang mungkin tak berada dalam mana-mana parti politik, tetapi mereka melihat sebuah parti yang diterajui oleh pemimpin yang tak boleh duduk sekali, jadi mereka tak ada keyakinan untuk memberikan sokongan kepada parti ini.

"Bagi saya walau macam mana kuat sekalipun seseorang Yang Berhormat menjaga kawasan, menjaga anak buah tetapi bila sebahagian besar rakyat melihat negeri yang diterajui oleh pemimpin yang sentiasa berbalah, mereka akan kehilangan kepercayaan.

"Umpamanya seperti rumah kita, kalau ibu bapa dilihat bergaduh, anak tak mahu balik rumah...baginya siapa betul dan siapa salah tak penting, dia mahukan sesuatu yang aman, mesra dan damai di rumah mereka dan perbalahan yang berterusan ini akan menyebabkan rakyat menjadi keliru dan kekeliruan akan menyebabkan rakyat meninggalkan UMNO. Ini pandangan ikhlas saya, tolonglah cari jalan yang terbaik," katanya.

Ahmad Shabery berkata sekiranya kemelut itu terus berlanjutan, segala usaha yang dilakukan oleh kerajaan yang selama ini bekerja keras untuk berjasa dan berbakti kepada rakyat juga akan turut musnah.

"UMNO dah banyak buat untuk rakyat dan negeri, kita jaga nelayan yang susah, kita jaga petani yang susah, kita jaga rakyat, kita bangunkan negeri ini tapi ia boleh dimusnahkan akibat perbalahan sesama sendiri.

"Kalau kita sayang parti, kita buat untuk rakyat...bukannya untuk pemimpin. Jangan kita lihat sekarang ini, sekarang perbalahan bukan perbalahan mengenai dasar, perbalahan apa yang kita buat untuk rakyat tetapi perbalahan peribadi atas kedudukan, jawatan.

"Jadi bila melihat cara peribadi, cara perbalahan itu berbeza dengan cara perbalahan berdasarkan ideologi, dasar dan sebagainya... perbalahan peribadi ini tak ada rasionalnya, semuanya berasaskan emosi dan ini tak menguntungkan parti dan negara," katanya.

Ahmad Shabery menasihatkan semua pihak supaya tidak terburu-buru membuat keputusan dan mengeluarkan apa-apa kenyataan mengenai kemelut politik dalaman.

"Saya harap supaya semua pihak lebih berhati-hati mengeluarkan kenyataan terutama sekali dalam media kerana apa pun perbezaan dalam kalangan kita seharusnya diselesaikan secara dalaman dan kita mesti bijak mencari jalan dan pendekatan untuk menyelesaikan kemelut yang berlaku, " katanya.

-- BERNAMA

Khamis, Mei 30, 2013

SHABERY PATUT ARAH FINAS TAYANG TANDA PUTERA

Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) patut membenarkan filem 'Tanda Putera' ditayang kepada orang ramai, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek. Beliau berkata dengan tayangan filem itu, rakyat boleh membuat penilaian sendiri terhadap mesej yang disampaikan menerusi filem kenegaraan arahan Datin Paduka Shuhaimi Baba itu. "Tiba masanya 'Tanda Putera' ditayang untuk tontonan semua," katanya dalam laman sosial Facebook beliau hari ini. Filem 'Tanda Putera' terbitan Pesona Pictures Sdn Bhd dengan kerjasama Finas, memaparkan kisah Perdana Menteri kedua Tun Abdul Razak Hussein dan timbalannya Tun Dr Ismail Abdul Rahman memulihkan negara susulan peristiwa 13 Mei 1969. Filem itu, yang dibuat pada 2011 dan dilulus tayangannya oleh Lembaga Penapisan Filem dengan sijil PG13, sepatutnya menemui penonton mulai 15 November lepas. Bagaimanapun, Jemaah Menteri membuat keputusan menangguhkan filem itu berikutan ada babak yang tidak bersesuaian dan dikhuatiri boleh menimbulkan konflik dalam kalangan masyarakat. Filem yang menelan belanja RM4 juta itu dibintangi Rusdi Ramli yang diberi tanggungjawab memegang watak Abdul Razak, Zizan Nin sebagai Dr Ismail, manakala Faezah Elai memainkan watak isteri Abdul Razak, Tun Rahah Tan Sri Mohamad Noah. Ulasan saya, sepatutnya Shabery sebagai menteri yang menjaga FINAS yang mengarahkan FINAS menayangkan filem tersebut atau beliau kena bentang semula isu ini dalam kabinet supaya kabinet membatalkan keputusan penangguhan dahulu.

Isnin, November 10, 2008

SHABERY WAJAR BERTANDING


Dari senarai 25 orang calon ahli majlis tertinggi UMNO yang top, daripada 73 calon, nampaknya ada tujuh orang yang bukan ada jawatan kerajaan tapi mampu masuk dalam top 25. Mereka memang hebat.


Mereka ialah Zainal Abidin Osman, Azian Osman, Tajudin Rahman, Mahazir Khalid, Dr. Puad Zakarshi, Norza Zakaria dan Shahidan Kassim.


Dapatkah mereka kekalkan top 25 dalam pengundian pada Mac ini? Jika trend ini berterusan, para perwakilan amat matang memilih ahli majlis tertinggi tanpa memandang sama ada mereka ada jawatan dalam kerajaan atau tidak.


Menteri Penerangan, Ahmad Shabery Cheek dapat nombor 19 dari segi pencalonan. Beliau telah umumkan tidak mahu bertanding. Tetapi saya kira beliau patut kaji semula keputusannya itu.


Wajarlah beliau bertanding kerana jika dia menang, Najib akan kekalkan kedudukannya dalam kabinet. Dulu dia ingat Pak Lah tetap bertanding. Jika Pak Lah bertanding, memang dia tak mahu bertanding kerana Pak Lah akan lantiknya dalam majlis tertinggi.


Dari top 25, Shabery sorang yang selamat dari Terengganu. Terengganu kini ada lima orang ahli majlis tertinggi, Idris Jusoh (no. 33),Rahman Bakar (no. 26), Tengku Putera
(no. 71), Dr. Abdullah Mat Zin (no.68) dan Nordiana tetapi beliau tidak mahu bertanding.


Oleh itu jika Shabery tidak tanding, saya bimbang semua empat penyandang dari Terengganu kalah belaka. Oleh itu Shabery perlu tanding mewakili Terengganu kerana Menteri Besar, Ahmad Said yang juga ada di tangga 33 tidak mahu bertanding. Biarlah Shabery mewakili Terengganu kerana beliau ada harapan untuk menang berbanding empat penyandang jawatan.

Jumaat, Oktober 31, 2008

SHABERY SAHKAN TIADA WARTAWAN SAMPUL SURAT


Menteri Penerangan, Ahmad Shabery Cheek berkata negara ini tidak mengamalkan kewartawanan ala buku cek atau sampul surat sebagaimana menjadi norma bagi sesetengah negara membangun yang dikatakan mempunyai lebih banyak kebebasan akhbar.

Berucap kepada para pemberita selepas merasmikan sambutan Hari Pembangunan Maklumat Sedunia di Universiti Malaya, Shabery juga menyentuh tentang penubuhan Majlis Media Kebangsaan (MMK) yang diharapkannya boleh memainkan peranan sebagai Majlis Peguam di negara ini yang memastikan pengamal undang-undang mematuhi etika profesion mereka.

Dengan kenyataan Shabery ini, jelas terbukti bahawa tiada wartawan upahan di Malaysia seperti mana yang didakwa oleh mana-mana pihak. Di setengah tempat, kena bayar dulu baru boleh berita itu tersiar dalam akhbar. Ini menunjukkan wartawan Malaysia tidak mudah dibeli. Oleh itu jangan mudah tuduh seseorang itu wartawan upahan.

Ada pengunjung blog menuduh saya tidak berterima kasih kepada Shabery yang ambil saya bekerja sebagai wartawan Terengganu Bestari. Shabery adalah Ketua Penerangan UMNO Terengganu ketika itu dan beliau adalah ketua editor Terengganu Bestari yang merupakan lidah rasmi UMNO Terengganu. Saya sebenarnya tidak pernah minta kerja itu tetapi ada orang datang jumpa saya pujuk saya bekerja dengan akhbar itu.

Dah lah bayar gaji murah, saya tidak kesah. Gaji saya yang sepatutnya dibayar sebelum hari raya aidilfitri pada tahun 2006 dibayar selepas hari raya aidilfitri menyebabkan saya berhenti kerja. Oleh kerana ada orang bergaduh dengan Ustaz Adam mengenai komisen cetak Terengganu Bestari, saya jadi mangsa yang menyebabkan Setiausaha Biro Penerangan, Ngah Bidin buat keputusan gaji saya dibayar selepas hari raya sedangkan setiap bulan sebelum ini gaji saya dibayar pada 30 hb.

Bila saya mengadu kepada Shabery melalui sms, dia marah saya kerana melangkaui orang yang bawa saya masuk kerja. Sedangkan saya buat aduan itu atas sebab dia ahli parlimen saya dan kawan lama.

Soal kecil supaya cepatkan bayar gaji saya pun Shabery tak boleh selesai macam mana dia nak selesaikan masalah negara yang lebih besar? Padahal dia boleh call Ngah Bidin supaya arahkan Ustaz Adam bayar segera gaji saya. Nasib baik ketika itu Ahmad Said menolong saya dengan memberi satu projek MPK yang menyebabkan saya dapat belanja untuk hari raya kerana nak tunggu gaji yang dibayar oleh UMNO Terengganu lambat.

Saya pun ada jasa kepada Shabery. Bila dia masuk UMNO pada tahun 1997, saya orang pertama jumpa Ahmad Said dan beritahunya supaya jawatan Ketua Pemuda Kemaman yang akan dikosongkan oleh beliau pada tahun 1998 diberi kepada Shabery. Ahmad Said pernah sebut perkara ini kepada rakan saya bahawa orang pertama jumpanya supaya Ketua Pemuda Kemaman diberi kepada Shabery adalah Zabidi.

Pada tahun 1998, saya sokong Shabery tanding ketua pemuda lawan ahli parlimen, Dr. Ramli Taib yang menyebabkan Wan Mokhtar, MB dan ketua bahagian Kemaman ketika itu suruh Setiausaha Sulit Kanannnya, Datuk Mohamad Ngah memanggil saya ke pejabat. Katanya, MB marah saya sokong Shabery dan saya beri alasan kenapa saya sokong Shabery. Saya sokong Shabery dan ini menyebabkan Wan Mokhtar marahi saya. Pengarah YPK, Datuk Azman Muda, ia itu boss saya marahi saya kerana tak patuhi arahan Wan Mokhtar. Saya berkempen untuk Shabery walaupun dia kalah sedangkan orang yang bawa saya kerja dengan Shabery ketika itu menyokong Dr. Ramli.

Jadi kami dah seri. Dulu saya tolong Shabery dalam pertandingan ketua pemuda pada tahun 1997 dan pada tahun 2006 Shabery beri peluang saya kerja di Terengganu Bestari walaupun ia bukanlah datang dari mulut dia tetapi atas inisiatif orang lain.

Saya tidaklah berniat untuk cerita ini semua tetapi bila ada pelayar blog ini bangkit soal ini dalam ulasan kononnya saya tidak kenang budi Shabery, maka Shabery pun tak kenang budi saya bantu dia bertanding ketua pemuda walaupun saya terima risiko kerana bekerja dengan YPK sedangkan Pengerusi YPK adalah Wan Mokhtar sendiri yang mahu kemenangan berpihak kepada Dr. Ramli.
Bercakap tentang Shabery, saya teringat kepada kawan saya yang mengatakan bahawa beliau bila sekali seluk poket seluarnya, kawan saya hanya dapat RM150 sahaja.

Rabu, Oktober 29, 2008

WALAUPUN KALAH BERDEBAT, TAPI SHABERY SOKONG


Walaupun Menteri Penerangan, Datuk Ahmad Shabery Cheek kalah berdebat dengan Penasihat PKR, Anwar Ibrahim baru-baru ini, tetapi beliau menyokong diadakan debat terbuka sebagai satu cara pemilihan pemimpin dalam UMNO sebagaimana dicadangkan oleh beberapa pemimpin parti itu kebelakangan ini.


Beliau berkata, pendekatan tersebut akan membolehkan orang ramai menilai personaliti calon, tahap kebijaksanaan, kekuatan dan paling penting, kewibawaan.


“Debat mungkin tidak memberikan gambaran secara menyeluruh tetapi orang ramai pasti ingin tahu perancangan dan program yang ditawarkan oleh calon-calon dalam berdepan dengan pembangkang,” katanya kepada pemberita selepas melawat pasar tani anjuran Majlis Daerah Kapit, Sarawak semalam.


Ahmad Shabery berkata, debat membolehkan pengundi melihat kredibiliti dan kebolehan seseorang calon dalam menangani sesuatu perkara.


Beliau berkata, ia juga membolehkan pengundi melihat idea dan kredibiliti seseorang calon meskipun kepetahan mereka tidak menggambarkan segala-galanya.


“Dengan berdebat, setiap pengundi tahu untuk menilai kekuatan dan kebolehan seseorang calon. Ia merupakan cara bagi mengelakkan berlakunya politik wang yang mungkin wujud semasa pemilihan parti nanti,’’ katanya.


Tentu kita masih ingat bagaimana majoriti rakyat Malaysia melihat Shabery kalah di tangan ketua pembangkang. Beliau bukan sahaja tidak menjawab soalan dalam debat itu malah menyerang peribadi Anwar Ibrahim. Majoriti rakyat kecewa melihat prestasi debatnya. Malah dalam blognya sendiri, http://www.notashabery.com/ ramai pengunjung mengutuknya di atas kegagalan berdebat sampai berbuih mulutnya.


Dari segi pidato memanglah Shabery hebat tetapi tanya sajalah orang Kemaman betapa susahnya mahu jumpa ahli parlimen mereka yang jarang balik kawasan. Mereka masih ingat betapa mudahnya bertemu dengan Datuk Ismail Said sewaktu beliau menjadi ahli parlimen Kemaman selama empat penggal dahulu (1978-1995).


Walaupun Ismail orang luar tetapi beliau mesra dengan orang kampung. Sampai sekarang bila dia balik Kemaman dia menerima layanan dari orang Kemaman.