Walaupun Menteri Penerangan, Datuk Ahmad Shabery Cheek kalah berdebat dengan Penasihat PKR, Anwar Ibrahim baru-baru ini, tetapi beliau menyokong diadakan debat terbuka sebagai satu cara pemilihan pemimpin dalam UMNO sebagaimana dicadangkan oleh beberapa pemimpin parti itu kebelakangan ini.
Beliau berkata, pendekatan tersebut akan membolehkan orang ramai menilai personaliti calon, tahap kebijaksanaan, kekuatan dan paling penting, kewibawaan.
“Debat mungkin tidak memberikan gambaran secara menyeluruh tetapi orang ramai pasti ingin tahu perancangan dan program yang ditawarkan oleh calon-calon dalam berdepan dengan pembangkang,” katanya kepada pemberita selepas melawat pasar tani anjuran Majlis Daerah Kapit, Sarawak semalam.
Ahmad Shabery berkata, debat membolehkan pengundi melihat kredibiliti dan kebolehan seseorang calon dalam menangani sesuatu perkara.
Beliau berkata, ia juga membolehkan pengundi melihat idea dan kredibiliti seseorang calon meskipun kepetahan mereka tidak menggambarkan segala-galanya.
“Dengan berdebat, setiap pengundi tahu untuk menilai kekuatan dan kebolehan seseorang calon. Ia merupakan cara bagi mengelakkan berlakunya politik wang yang mungkin wujud semasa pemilihan parti nanti,’’ katanya.
Tentu kita masih ingat bagaimana majoriti rakyat Malaysia melihat Shabery kalah di tangan ketua pembangkang. Beliau bukan sahaja tidak menjawab soalan dalam debat itu malah menyerang peribadi Anwar Ibrahim. Majoriti rakyat kecewa melihat prestasi debatnya. Malah dalam blognya sendiri, http://www.notashabery.com/ ramai pengunjung mengutuknya di atas kegagalan berdebat sampai berbuih mulutnya.
Dari segi pidato memanglah Shabery hebat tetapi tanya sajalah orang Kemaman betapa susahnya mahu jumpa ahli parlimen mereka yang jarang balik kawasan. Mereka masih ingat betapa mudahnya bertemu dengan Datuk Ismail Said sewaktu beliau menjadi ahli parlimen Kemaman selama empat penggal dahulu (1978-1995).
Walaupun Ismail orang luar tetapi beliau mesra dengan orang kampung. Sampai sekarang bila dia balik Kemaman dia menerima layanan dari orang Kemaman.