Rabu, Oktober 29, 2008

TAK PAYAH UNGKIT SOAL IBADAH


Kerja menteri adalah menolong orang. Kalau orang jumpanya mahu sesuatu biasanya orang itu akan bawa surat. Menteri itu akan minit surat itu kepada pegawai berkenaan untuk tindakan selanjutnya.Betapa besarnya minit menteri kepada orang yang datang berjumpanya.

Tentu kita masih ingat apa kata Tun Ghafar Baba dalam kempen Timbalan Presiden UMNO pada tahun 1993? Katanya, bukan susah jadi menteri. Surat atas meja kita minit sama ada sokong atau tidak sesuatu permohonan.

Ada menteri yang minit dengan pen dakwat merah untuk tanda berjaya. Kalau menteri minit dengan pen dakwat hitam maknanya tidak ada harapanlah tu. Itulah pelbagai feel menteri yang minit surat kepada rakyat.

Dalam soal ibadah, kalau boleh kita tak payah ungkitlah kita tolong orang. Biarlah Allah membalas jasa baik kita. Ini yang hairannya bagaimana Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengungkitkan jasanya meluluskan permohonan khas Menteri Besar Perak, Mohamad Nizar Jamaluddin bersama 22 orang anggota rombongan ke Mekah.

Dr. Zahid harus ingat bila dia tolong MB Perak, dia sudah dapat pahala. Tapi bila dia ungkit begini, pahalanya entah ke mana. Beliau hanya mahu menunjukkan sikap terbuka tidak mementingkan parti politik dalam permohonan menunaikan haji kerana masih terdapat 348,000 orang dalam senarai menunggu Tabung Haji tetapi benda-benda begini tak perlu dihebohkan.

Menteri yang jaga Tabung Haji memang ada kuasa untuk cepatkan permohonan orang yang ada dalam senarai menunggu kerana menurutnya orang yang mendaftar tahun ini boleh pergi ke tanah suci pada tahun 2019.

Saya masih ingat sewaktu Dr. Hamid Othman jadi menteri, saya pernah minta tolongnya melalui seorang kawan, Haji Wan Razak Wan Ibrahim yang sama-sama belajar dengan beliau di Kolej Islam Kelang. Ayah kawan saya, Halim Mohamad terus dapat pergi ke Mekah pada tahun tersebut.

Malah Dr. Hamid juga menolong dua orang yang buat praktikal di pejabat saya untuk dapatkan jawatan sebagai pegawai tadbir di JAKIM. Pertolongan itu juga melalui Ustaz Wan Razak. Alhamdulillah, kedua-dua mereka kini masih berkhidmat dengan JAKIM sampai sekarang.