LABIS, 6 Okt (Bernama) -- Tanaman Jagung bijirin mampu menjadi sumber kekayaan baharu negara pada masa akan datang apabila ia terbukti sesuai ditanam di mana-mana tempat di negara ini, kata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.
Beliau berkata kejayaan beberapa projek perintis seperti di Terengganu, Johor dan Kedah berjaya memecah tembok tanggapan negatif segelintir pihak bahawa tanaman untuk menghasilkan makanan haiwan ternakan itu tidak sesuai ditanam di negara ini kerana faktor cuaca.
"Kami bersama agensi berkaitan akan berusaha untuk membaiki beberapa kelemahan yang ada bagi menambah baik tanaman jagung bijirin di negara ini," katanya kepada pemberita hari ini.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis penuaian jagung bijirin oleh Pertubuhan Peladang di Zon Pengeluaran Makanan (ZPM) Chempelak di sini hari ini.
Katanya kejayaan tanaman jagung bijirin akan mengurangkan pergantungan negara terhadap import jagung bijirin daripada negara luar yang melibatkan nilai sebanyak RM3.1 bilion setahun.....