Isnin, September 25, 2017

IKIAM CADANG LUCUTKAN MYANMAR DARI ASEAN



KUALA LUMPUR:Myanmar disifatkan masih melengah-lengahkan krisis di negara sendiri sehingga kezaliman ke atas etnik Rohingya di Rakhine masih lagi berterusan dengan jumlah kematian dilaporkan tinggi selain memaksa beratus ribu rakyatnya menjadi pelarian di negara lain.

Pengerusi Biro Antarabangsa Institut Kerjasama Islam Antarabangsa Malaysia (IKIAM), Fakhrul Azman Abu Bakar menegaskan, jika perkara itu tidak menemui jalan penyelesaiannya, tindakan tegas perlu dibuat termasuk desakan untuk melucutkan keanggotaan Myanmar dalam Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN).

Menurutnya, insiden kekejaman ke atas etnik minoriti itu memperlihatkan sikap Myanmar yang sama sekali bertentangan dengan konsep Asean iaitu Zon Keamanan, Kebebasan dan Keberkecualian (Zopfan).

“Jika keadaan ini berterusan, perlu ada cadangan dan desakan untuk mengeluarkan keanggotaan Myanmar dalam Asean dan kita sebagai negara anggota, perlu bersatu menentang kezaliman.



Fakhrul Azman Mengiringi Ahmad Zahid Ketika Kunjungan Timbalan Perdana Menteri Ke Kuala Terengganu.

“Kebanyakan negara sudah membuat desakan kepada Myanmar supaya menghentikan kezaliman tersebut,” katanya kepada wartawan, di sini.

Sementara itu, beliau turut menyokong kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang mempersoalkan tindakan Myanmar yang tidak membenarkan bantuan kemanusiaan daripada organisasi antarabangsa serta tenteranya yang masih melakukan kezaliman terhadap rakyat sendiri.

Menurutnya, tindakan Ahmad Zahid ketika Mesyuarat Menteri-Menteri Asean Mengenai Jenayah Rentas Sempadan (AMMTC)+3 itu memperlihatkan bahawa pemimpin negara ini amat bertegas dalam isu Rohingya.

“Apa yang dilakukan kerajaan memperlihatkan Malaysia bersungguh-sungguh, bukan mahukan publisiti atau hangat-hangat tahi ayam.

“Timbalan Perdana Menteri sendiri bercakap mengenai Rohingya di Filipina, manakala Perdana Menteri menyampaikan isu Rohingya ketika di White House dan Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman akan bawa isu ini ke Sesi Ke-72 Perhimpunan Agung Bangsa Bersatu (UNGA Ke-72),” katanya.

Menurutnya, kesungguhan kerajaan Malaysia itu juga mendapat sambutan daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) apabila Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump sendiri sudah mula bersuara mengenai perkara itu.

Dalam perkembangan sama, beliau juga menyifatkan Pemimpin Myanmar, Aung San Suu Kyi tidak layak dinobatkan sebagai pemegang anugerah keamanan Nobel berikutan pemimpin tersebut tidak mampu bersuara dan menyelesaikan kekejaman yang berlaku di negara sendiri.

“Aung San Suu Kyi juga turut membatalkan kunjungannya bagi menghadiri perhimpunan agung ke-72 PBB,” katanya.