Memaparkan catatan dengan label ruu355. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label ruu355. Papar semua catatan

Khamis, Januari 11, 2018

TINDAKAN UNDANG UNDANG TERHADAP PANDIKAR AMIN DAN ROOSME PRAMATANG

KUALA LUMPUR, 11 Jan (Bernama) -- Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu bahawa tindakan undang-undang bekas Anggota Parlimen Sungai Benut Mohamed Tawfik Tun Dr Ismail terhadap Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia dan Setiausaha Dewan Rakyat Roosme Hamzah jelas pramatang dan bersifat andaian semata-mata kerana Rang Undang-Undang 355 belum dibahaskan dan diluluskan untuk menjadi undang-undang yang sah.

Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan memberitahu pemberita beliau mengemukakan penghujahan kepada mahkamah bahawa tindakan Mohamed Tawfik itu dengan jelas tidak dapat dipertahankan dan jelas sekali merupakan suatu perbuatan menyalahgunakan proses mahkamah kerana keputusan yang dibuat defendan kedua adalah tidak wajar menurut Perkara 63(1) Perlembagaan Persekutuan.

"Perkara 63 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan 'Hak Keistimewaan Parlimen', yang menyebut bahawa kesahan sesuatu prosiding di sesuatu Dewan Parlimen atau mana-mana jawatankuasanya, tidak boleh dipersoal di mana-mana jua mahkamah," kata Shamsul, yang mewakili Pandikar Amin dan Roosme sebagai defendan dalam permohonan mereka untuk mengetepikan saman Mohamed Tawfik.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengemukakan penghujahan di dalam kamar di hadapan Hakim Datuk Wira Kamaludin Md Said.

Sementara itu, peguam Rosli Dahlan, yang mewakili Mohamed Tawfik, dalam penghujahannya berkata apabila melibatkan undang-undang berkanun atau Perlembagaan, adalah menjadi tugas mahkamah untuk memastikan Parlimen mematuhi had perlembagaannya dan hak keistimewaan parlimen tidak boleh mengetepikan undang-undang Perlembagaan.

Sabtu, April 08, 2017

KEBANYAKAN HUJAH PEMBANGKANG SELAMA SEMBILAN TAHUN TONGONG

KUALA LUMPUR, 7 April (Bernama) -- Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia hari ini menafikan beliau menangguhkan awal sesi perbahasan Rang Undang-Undang Persendirian Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 2016 (RUU 355) semalam kerana agenda politik atau menerima tekanan daripada mana-mana pihak.

Sebaliknya beliau menegaskan keputusannya itu semata-mata untuk menjaga kebajikan kakitangan Parlimen yang telah tidak tidur semalaman.

Oleh itu, kata Pandikar Amin, beliau telah menggunakan kuasa yang ada padanya untuk menamatkan sesi Parlimen pada pukul 4 petang berbanding kebiasaan pukul 5.30 petang.

Mesyuarat pertama penggal kelima Parlimen Ke-13 itu turut mencatat sejarah tersendiri apabila bersidang hampir 20 jam bermula pada 10 pagi kelmarin (Rabu) hingga 5.05 pagi semalam (Khamis).

Ditanya kenapa beliau membenarkan persidangan berlangsung sehingga 20 jam, Pandikar Amin yang ditemui pemberita selepas menyampaikan ucaptama Seminar Serantau Anggota Parlimen Wanita Komanwel Asia Tenggara di Parlimen, semalam berkata :


"Ia adalah kehendak kerajaan untuk menamatkan rang undang-undang yang mereka mahu tamatkan, ia bukan kehendak saya...terpaksa...pegawai saya dan saya satu malam tak tidur.

"Jadi, pada ketika itu, itu kuasa saya, saya tidak mahu duduk lagi untuk mendengar hujah-hujah yang pernah saya dengar, yang kadang-kadang tidak masuk di akal. Kalau mahu tuduh saya tongong, maka hujah-hujah mereka selama sembilan tahun saya dengar, kebanyakan mereka tongong," katanya pada sidang media hari ini.

Beliau mengulas mengenai kecaman pembangkang berhubung tindakannya menamatkan sesi Dewan Rakyat lebih awal semalam, sebelum sempat RUU355 yang dibentang Anggota Parlimen Marang Datuk Seri Abdul Hadi Awang, dibahaskan.

Tindakan Pandikar Amin menangguhkan hari terakhir sidang Dewan Rakyat itu lebih awal dari kebiasaannya menerima kecaman pelbagai pihak terutama pembangkang yang mendakwa mereka tidak diberi peluang untuk membahaskan RUU355 berkenaan.

Ini termasuk Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Salahuddin Ayub yang menyelar tindakan Speaker mengeluarkan arahan untuk menangguhkan RUU355 dibahaskan semalam sebagai tongong.

Mengulas lanjut, Pandikar Amin berkata tugas beliau sebagai Speaker Dewan Rakyat bukan semata-mata untuk menyenangkan hati semua pihak.

"Kalau ada yang menganggap ia tongong, itu adalah persepsi masing-masing. Saya rasa PAS semalam pun mahu perkara itu untuk dibahas dan diundi.

Tetapi saya mempunyai hak untuk tangguhkan mesyuarat dan mereka (anggota Parlimen) masih dapat berbahas pada masa akan datang. Tapi bila mereka ini berhujah, hujah mereka itu boleh berasaskan agenda politik semata-mata.

Saya tidak mempunyai agenda politik, saya hanya mahu memastikan setiap persidangan itu berjalan lancar. Terpulang kepada sesiapa sahaja yang mahu menghentam saya, saya tidak kisah, saya tak peduli, saya tak peduli asalkan (sidang) Parlimen berjalan lancar," katanya.

Beliau berkata tindakan itu juga adalah adil kerana kedua-dua pihak, iaitu anggota Parlimen kerajaan dan juga pembangkang yang ingin mencelah dan berbahas tidak dibenarkan berbuat demikian.

Pandikar Amin juga berkata keputusan itu dibuat berdasarkan kuasa yang dimiliki beliau sebagai Speaker Dewan Rakyat, walaupun ada pemimpin yang pernah menyebut bahawa RUU berkenaan akan dibentang, namun tidak akan dibahas dan diundi pada sesi Dewan Rakyat kali ini.

"Itu untuk kepentingan politik, mereka mahu menang pilihan raya, saya tidak mahu menang pilihan raya. Apa yang penting, apa yang saya kata dan apa yang saya lakukan.

Sebab semalam, kita sudah duduk sampai pukul 5 pagi kerana kemahuan kerajaan yang mahu semua rang undang-undang dibahaskan di bawah peraturan Mesyuarat 15 (5). Itu bukan kemahuan saya, jadi apabila saya mempunyai kuasa, saya perlu menggunakannya, saya tidak mahu tunggu lagi dua hingga tiga jam untuk mendengar hujah-hujah anggota Parlimen yang kadang-kadang tidak masuk akal bagi saya," katanya.

Pembentangan RUU355 dibuat Abdul Hadi yang merupakan Presiden PAS pada hari terakhir Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen Ke-13 semalam. Persidangan Dewan Rakyat itu bermula 6 Mac lalu.

Sejurus Abdul Hadi selesai membentangkan usul itu, ia disokong anggota Parlimen Kota Bharu Datuk Takiyuddin Hassan yang juga Setiausaha Agung PAS.

Pandikar Amin kemudian membuat keputusan usul itu akan dibahas dan diputuskan pada sesi persidangan Dewan Rakyat akan datang.

Penangguhan sidang mesyuarat itu dibuat selepas Rang Undang-Undang Cukai Pelancongan 2017, yang dibentangkan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz, diluluskan dengan undian suara majoriti.

Sidang Dewan Rakyat kali ini meluluskan Rang Undang-Undang Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017, Rang Undang-Undang Kanun Keseksaan (Pindaan) 2017, Rang Undang-Undang Kebankrapan (Pindaan) 2016, Rang Undang-Undang Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017, Rang Undang-Undang Cukai Pelancongan 2017 dan Rang Undang-Undang Perlindungan Pengguna (Pindaan) 2017.

-- BERNAMA

Khamis, Mac 30, 2017

PARTI KOMPONEN BN TOLAK KERAJAAN BENTANG RUU355

KUALA LUMPUR, 29 Mac (Bernama) -- Kerajaan tidak akan membentangkan pindaan Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau Akta 355 di Parlimen dan ia akan kekal sebagai RUU persendirian, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Katanya ini susulan mesyuarat Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) malam tadi yang secara konsensus membuat keputusan mengenai perkara itu.

"BN membincangkan banyak perkara (pada mesyuarat ini) antaranya mengenai RUU 355, Dewan Tertinggi BN memutuskan bahawa kerajaan tidak akan membentangkan RUU 355 selaras dengan dasar dan amalan kita bahawa BN membuat keputusan berdasarkan kepada konsensus.

"Justeru RUU ini akan terus menjadi RUU persendirian dan terserah kepada Speaker (Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia) untuk menentukan mengikut kepada Order Paper (aturan urusan mesyuarat)," katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat itu di sini malam tadi.


Katanya kerajaan menyerahkan kepada Pandikar Amin untuk menentukan kedudukan RUU itu, sama ada akan dibentangkan atau tidak, berdasarkan kepada peraturan dewan.

"Macam mana pun kita tidak akan bentangkan dan kita tidak akan menentukan dasar kita dalam soal ini kerana RUU ini adalah rang undang-undang persendirian," katanya.

Ditanya sama ada keputusan itu bermakna BN tidak akan menyokong RUU itu, Najib berkata ia bergantung kepada keputusan Yang Dipertua Dewan Rakyat.

RUU 355 pertama kali dibentangkan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Dewan Rakyat pada Mei 2016 bagi memperkasakan Mahkamah Syariah.

Anggota Parlimen Marang itu pada sesi terakhir Parlimen November lalu meminda usul itu dengan menaikkan hukuman penjara kepada 30 tahun, denda tidak melebihi RM100,000 dan maksimum 100 sebatan berbanding maksimum penjara tiga tahun, denda RM5,000 dan enam kali sebatan yang boleh dijatuhkan Mahkamah Syariah ketika ini.

-- BERNAMA

Rabu, Mac 29, 2017

ABANG JO MASIH TAK FAHAM KENAPA RUU355 PERLU DIPINDA



Kerajaan negeri Sarawak di bawah Ketua Menterinya yang baharu, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg kekal dengan pendirian menolak pelaksanaan undang-undang hudud di negeri itu.

"Saya mahu jelaskan bahawa hudud tidak terpakai di Sarawak dan saya berkongsi pandangan yang sama dengan Allahyarham Tok Nan (bekas Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem).

"Walaupun rang undang-undang ini (berkaitan) syariah dan bukan hudud, kami luahkan kebimbangan kami kerana bagi saya penalti rang undang-undang ini bersifat diskriminasi antara orang Islam dan bukan Islam berdasarkan Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan," katanya.

Beliau yang ditemui pemberita semasa melawat Menara Sarawak Energy semalam diminta mengulas mengenai rang undang-undang bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965.

Ditanya sama ada parti komponen Barisan Nasional (BN) Sarawak perlu membuat undian berhubung cadangan pindaan itu, Abang Johari berkata perkara tersebut bergantung kepada hasil pertemuan antara perdana menteri dan pemimpin parti komponen BN baru-baru ini.


Katanya beliau hanya menghadiri mesyuarat pertama dan berada di China semasa mesyuarat kedua yang dihadiri oleh Timbalanya Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Rang undang-undang persendirian itu diusulkan oleh Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada persidangan Dewan Rakyat pada 24 Nov lalu, namun baru-baru ini Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata kerajaan akan membentangkan rang undang-undang bagi memperkasakan kuasa mahkamah syariah itu.

-Ulasan saya, Abang Jo tak faham bahawa RUU355 bukanlah hudud. Jadi soal mengadakan hudud di Sarawak tidak timbul. Sepatutnya beliau beri jaminan kepada rakyat bukan Islam Sarawak bahawa mereka tidak terjejas jika RUU355 dilaksanakan kerana yang menerima hukuman adalah orang Islam sahaja.

Sepatutnya Perdana Menteri memberi penjelasan kepada Abang Jo supaya beliau faham kenapa RUU355 perlu dipinda.

Jumaat, Mac 24, 2017

KERAJAAN KOMITED BENTANG RUU355


oleh SHAHBUDIN EMBUN
(sudah disiarkan dalam Berita Harian)


Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi telah mengesahkan bahawa kerajaan Barisan Nasional (BN) akan membentangkan Rang Undang-Undang 355 (RUU355) pada sidang Parlimen kali ini.Jelaslah ini menunjukkan komitmen dan kesungguhan pihak kerajaan untuk terus memartabat kedaulatan agama Islam  di negara kita ini tanpa menggugat kepentingan agama dan kaum lain di Malaysia.

Sebagaimana maklum,   RUU 355, dibentangkan untuk meminda Seksyen 2 sebagai menggantikan peruntukan dalam undang-undang sedia ada iaitu Mahkamah Syariah akan mempunyai kuasa ke atas mereka yang beragama Islam dan dalam hal-hal kesalahan di bawah perkara yang disenaraikan dalam butiran 1 senarai negeri, di bawah jadual kesembilan Undang-Undang Persekutuan.

Ini bermakna, RUU355 mempunyai objektif untuk memperkasakan bidang kuasa mahkamah syariah dan ini termasuklah dalam isu meningkatkan jumlah denda dan tempoh penjara,serta menambah baik gred perkhidmatan para hakim.

Sehingga hari ini isu ini masih dibincangkan lagi di kalangan kita semua dan penulis juga pernah membangkitkan perkara ini. Pastinya juga antara perkara utama yang menjadi perhatian, khasnya bagi mereka yang bukan beragama Islam ialah adakah Akta 355 ini merupakan satu kaedah atau pintu belakang untuk melaksanakan hukuman Hudud.

Perkara ini telah dijelaskan bahawa Akta 355 tiada kaitan langsung dengan pelaksanaan hukum Hudud. Perlu diingatkan juga bahawa Hudud hanya boleh dikaitkan dengan pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan. RUU 355 juga bukannya hukum hudud kerana undang-undang ini sudah sedia ada dan pernah dibentangkan untuk pertama kalinya pada tahun 1984. 

Ahmad Zahid telah beberapa kali menegaskan bahawa pemahaman tentang RUU 355 ini adalah mustahak bagi mengelakkan berlakunya persoalan dan kekeliruan yang nampaknya masih lagi berlaku. Bahkan, dalam satu kenyataan , beliau pernah menjelaskan bahawa“RUU 355 adalah undang-undang syariah yang tidak akan mengambil alih sebarang kuasa yang ada pada mahkamah sivil dan ia tidak akan dikuatkuasakan ke atas orang bukan Islam.

Perlu juga diingatkan sekali lagi bahawa kerajaan begitu komited tidak akan mengabaikan kepentingan masyarakat bukan Islam dalam mengambil kira kesan pelaksanaan RUU 355 itu nanti.

Dalam hal ini, rata-rata masyarakat Islam tidak ada masalah dengan RUU 355 ini. Bahkan antara yang menyokongnya telah memberikan alasan bagaimana
undang-undang enakmen jenayah syariah yang sedia ada hari ini seolah-olah tidak memberi kesan kepada pelaku jenayah yang beragama Islam.

Kita tidak boleh menutup sebelah mata seolah-olah masyarakat Islam di sini tidak ada masalah langsung dengan kegiatan maksiat , aktiviti judi dan juga minum arak. Masalah seperti ini masih lagi berleluasa dan itu adalah hakikatnya.Lihat sahaja laporan di akhbar-akhbar  harian. Ada sahaja kegiatan maksiat yang dikaitkan dengan mereka yang beragama Islam.

Masyarakat Islam yang mengamalkan cara hidup bermaksiat dan bertuhankan dosa pastinya tidak akan dihormati dan sekaligus memburukkan agama Islam itu  sendiri. Itulah sebabnya adalah menjadi harapan kita semua agar pelaksanaan RUU355 ini dapat menghalang perkara yang tidak sihat ini daripada terus berlaku.Dan pada masa yang sama dapat memberikan rasa keinsafan kepada masyarakat Islam secara umumnya agar tidak mengulangi dan takut untuk melakukan dosa.

Islam juga bermaksud kebaikan dan keadilan. Itu sebabnya bagi mereka yang menyokong RUU355 ini juga jangan sekali kali berasa marah dengan mereka yang masih keliru dan tidak faham dengan perlaksanaan RUU 355 ini. Perjuangan untuk memperkasakan undang-undang Islam bukanlah sesuatu yang boleh dilakukan dalam masa yang singkat.

Usaha ini memerlukan masa, persediaan dan kefahaman yang jelas agar tidak wujudnya sebarang perselisihan atau sesuatu yang mencurigakan nanti, terutamanya bagi sebuah negara seperti Malaysia yang terdiri dari pelbagai kaum dan agama. 

Sabtu, Mac 18, 2017

ADAKAH MCA, MIC DAN GERAKAN AKAN SOKONG RUU355 YANG DIBENTANGKAN OLEH KERAJAAN?



KUALA TERENGGANU 17 Mac - Rang Undang-undang 355 (RUU 355) yang berlarutan mencetuskan kontroversi dalam usaha memperkukuhkan perundangan Islam akan dibentangkan sendiri oleh kerajaan dalam sidang Parlimen kali ini bagi mendapatkan kelulusan.


Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak komited untuk menterjemahkan hasrat tersebut yang menjadi harapan umat Islam tanpa mengganggu-gugat kepen­tingan agama serta kaum lain.

Beliau berkata, perkembangan itu memperlihatkan kerjasama kerajaan Barisan Nasional (BN) dengan ‘rakan baharu’ yang pernah menjadi musuh politik untuk sama-sama memelihara kesucian agama Islam dan kedaulatan bangsa Melayu tanpa menjejaskan kepentingan agama serta bangsa lain.


“Insya-Allah dengan doa untuk kita menyatukan orang-orang Melayu. Biarlah kita kehilangan segelintir ‘kawan’ kita tapi kita akan dapat ‘kawan baharu’ yang kumpulannya lebih besar akan bersama-sama kita.

“‘Kawan baharu’ kita ini mungkin dulu musuh politik kita tapi mereka telah faham untuk sama-sama tangani masalah bersama (berkaitan agama Islam) dengan tidak mengenepikan agama lain,” katanya.

Beliau menyatakan berkata demikian ketika berucap menyempurnakan majlis pe­rasmian Berkelompok Persidangan UMNO Cawangan Peringkat Negeri Terengganu dan Penyampaian Hadiah Pertandingan Pusat Daerah Mengundi (PDM) Peringkat negeri di sini hari ini.

Yang turut hadir Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman; Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Datuk Mohd. Zubir Embong; Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh; Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani; Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dan Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Jailani Johari.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang November tahun lalu membentangkan usul RUU persendirian bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (RUU 355) yang mencetuskan kontroversi dengan bantahan parti komponen BN dan pembangkang.

Banyak pihak sebelum ini berpandangan kerajaan lebih wajar mengemukakan sendiri bagi mendapatkan kelulusan.

Ahmad Zahid seterusnya berkata, kerjasama dengan ‘rakan baharu’ itu tidak bermakna wujud tahaluf siyasi secara drastik sebaliknya pendekatan seumpama itu merupakan suatu hikmah yang penuh kebijaksanaan dan persefahaman antara kedua belah pihak.

“Saya akan perincikan dengan rakan-rakan (pemimpin UMNO) nanti, kalau tidak hari ini mungkin hari lain mereka akan turun bertemu tuan dan puan (ahli UMNO peringkat akar umbi) untuk beri penjelasan (mengenai RUU 355).

“Tak ada rakan kekal dan juga musuh kekal dalam politik. Kita berdoa mudah-mudahan kalau kita dapat mantapkan hubungan kalangan kita, ketepikan masalah dalaman yang ada,” jelasnya.

Ulasan saya, langkah kerajaan membentangkan sendiri RUU355 merupakan langkah yang bijak kerana sudah banyak kali RUU355 yang dibentangkan oleh Haji Hadi Awang ditangguhkan.

Maka Menteri di jabatan perdana menteri, Datuk Jamil Khir yang akan membentangkan dalam sidang parlimen kali ini. Adakah MCA, MIC dan Gerakan akan sokong RUU355 kali ini? Bagaimana pula parti parti komponen yang lain seperti PBB, PBS, UPKO, LDP.

Sama sama kita tunggu sidang parlimen kali ini yang akan berakhir pada 6 April ini.

Ahad, Februari 19, 2017

KENAPA PINDAAN AKTA INI PADA TAHUN 1984 TIDAK DIBANTAH AHLI PARLIMEN BUKAN ISLAM?

KUALA LUMPUR, 18 Feb (Bernama) -- Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom menegaskan cadangan meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau Akta 355 tidak akan mengambil hak agama lain.

Beliau berkata ia dibuat hanya bertujuan mengukuhkan institusi mahkamah syariah.


Jamil Khir sekali gus mempersoal mengapa banyak halangan perlu dilalui dalam usaha melaksanakannya kali ini.

"Mengapa terlalu sukar kita umat Islam untuk menegakkan (memperkasa) mahkamah syariah, sehingga terpaksa berhimpun dalam keadaan hujan lebat sebegini," katanya ketika berucap pada Himpunan 355 di Padang Merbok di sini malam tadi.

Pada majlis yang dihadiri ribuan penyokong cadangan pindaan itu, beliau menarik perhatian bahawa laluan pindaan kepada Akta sama pada 1984 mudah dan tidak mendapat bantahan anggota Parlimen termasuk bukan Islam.

"Tetapi sekarang kita lihat ada wajah (individu) dan tulisan yang mempersoal pindaan ini dengan mendakwa ia merupakan jalan belakang untuk pelaksanaan hudud di negara ini," kata Jamil Khir.

Beliau turut menyampaikan salam Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kepada hadirin.

Himpunan 355 adalah bagi memberi penerangan kepada umat Islam mengenai cadangan pindaan terhadap Akta berkenaan.

Antara lain, cadangan pindaan itu membabitkan usaha mengenakan hukuman lebih berat bagi kesalahan yang dilakukan orang Islam sahaja dan langsung tidak memberi kesan kepada golongan bukan Islam.

Pada 24 Nov tahun lepas, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang membawa usul Rang Undang-undang Persendirian bernama Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah)(Pindaan) 2016 di Dewan Rakyat.

Persidangan Dewan Rakyat dijadual bermula 7 Mac ini.

-- BERNAMA

Ahad, Januari 08, 2017

DATUK BANDAR ANTI RUU355?



Walaupun PAS berharap untuk bertemu dengannya, Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Mhd Amin Nordin Abdul Aziz menegaskan Dataran Merdeka tidak akan dibenarkan sebagai tempat perhimpunan untuk menyokong pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) atau lebih dikenali Akta 355.

"Tidak Dataran, tiada rundingan," katanya kepada Malaysiakini.

Amin sebaliknya berkata perhimpunan tersebut hanya perlu diadakan di Stadium Titiwangsa.

"Hanya ikut seperti perhimpunan Rohingya," katanya merujuk kepada perhimpunan yang diadakan pada 4 Disember tahun lalu.

Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man terdahulu berkata penganjur perhimpunan itu akan membuat permohonan rasmi untuk mengadakan perhimpunan di Dataran Merdeka dan berharap untuk bertemu Datuk Bandar.

"Kami berharap permohonan kami akan diterima," kata Tuan Ibrahim kepadaMalaysiakini.

Dalam satu sidang media pagi semalam, Tuan Ibrahim berkata, perhimpunan tersebut yang mensasarkan kehadiran 300,000 orang, akan diadakan di pada 18 Februari.

Perhimpunan itu, katanya adalah terbuka kepada semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, agama dan fahaman politik.

Beliau mendakwa mereka sedang menunggu kelulusan untuk perhimpunan tersebut diadakan di Dataran Merdeka.

Hadi sebelum ini membacakan usul rang undang-undang ahli persendirian untuk meminda Akta 355 pada hari terakhir Parlimen November lalu.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak kemudian berkata kerajaan akan mengambil alih rang undang-undang berkenaan.

Hadi pada awalnya cuba menaikkan had hukuman yang boleh dilaksanakan oleh mahkamah syariah.

Ia menimbulkan kebimbangan yang pindaan itu akan membuka jalan untuk pelaksanaan undang-undang hudud.

Bagaimanapun , Hadi sejak itu telah menyemak pindaan tersebut untuk menaikkan had hukuman penjara 30 tahun, denda RM100,000 dan 100 sebatan rotan.

Rang undang-undang itu dijangka akan dibentangkan pada sesi parlimen bulan Mac depan.

Ulasan saya, keengganan Datuk Bandar meluluskan permohonan PAS untuk mengadakan majlis penerangan RUU355 di Dataran Merdeka bukanlah bermakna Datuk Bandar anti RUU355. Sebaliknya beliau mahu perhimpunan itu diadakan di Stadium Titiwangsa seperti perhimpunan Rohingya yang lebih mudah dikawal.

Sebaliknya jika ia diadakan di Dataran Merdeka perhimpunan seperti ini tidak mudah dikawal serta merosakkan padang yang diselia oleh DBKL.


Khamis, November 24, 2016

LIOW TIONG LAI MASIH BENGAP DENGAN RUU355 PERLU LETAK JAWATAN SEKARANG



Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai tetap dengan pendiriannya akan meletak jawatannya dalam Kabinet sekiranya Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 diluluskan di Parlimen.



LIOW TIONG LAI


Sambil menegaskan sebarang rang undang-undang persendirian tidak harus diberikan sokongan, beliau berkata, usul rang undang-undang itu juga tidak seharusnya dibentangkan oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

“Saya tetap dengan pendirian seperti sebelum ini sekiranya rang undang-undang itu diluluskan maka saya akan letak jawatan. Apa yang lebih penting adalah saya akan tetap mendesak rang undang-undang itu tidak harus dibentangkan oleh Abdul Hadi.

“Malah sebarang rang undang-undang yang mahu diluluskan di Parlimen haruslah daripada kerajaan. Jadi kerajaan perlu menggantikan rang undang-undang persendirian itu,” katanya ketika ditemui di Lobi Parlimen, di sini hari ini.

Usul Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 dibentangkan hari ini  untuk bacaan kali kedua oleh Abdul Hadi yang juga merupakan Ahli Parlimen Marang.

Ulasan saya, Liow Tiong Lai tak perlu tunggu Mac 2017 untuk letak jawatan sebagai menteri kabinet. Haji Hadi akan membentangkan semula pindaan RUU355 pada sidang Dewan Rakyat pada Mac tahun depan. 

Oleh kerana Liow Tiong Lai masih bengap dan masih tidak faham dengan penjelasan TPM, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bahawa RUU355 bukan hukum hudud maka sewajarlah beliau letak jawatan sekarang.

Ahad, November 13, 2016

KALAU MCA BERJUANG UNTUK SEMUA KAUM, MCA PATUT SOKONG RUU355

CYBERJAYA, 12 Nov (Bernama) -- MCA bukan sebuah parti rasis dan tidak berjuang untuk satu kaum sahaja iaitu kaum Cina.

Menegaskan demikian, Timbalan Presiden MCA Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, berkata walaupun MCA hanya membuka keahlian kepada kaum Cina, namun sejak sebelum merdeka lagi, parti itu telah bersama UMNO dan MIC berjuang di bawah satu perikatan.

Beliau ditanya sama ada MCA sedia membuka keahliannya kepada kaum lain seperti dilakukan DAP.

"Jika anda bercakap tentang DAP, berapa banyak kawasan (pilihan raya) mereka menangi yang tidak berasaskan sokongan pengundi Cina?.

"DAP adalah parti berasaskan Cina, tetapi mereka menafikannya," kata beliau kepada pemberita selepas Mesyuarat Agung Tahunan Pemuda MCA, di sini hari ini.


Mengulas mengenai Pemuda MCA, Wee berkata sayap parti itu perlu menguasai teknologi terutamanya media sosial dalam kempen mereka menentang pembangkang agar kekal relevan dengan masyarakat.

Ulasan saya, jika benar MCA berjuang untuk semua kaum sepatutnya MCA sokong pindaan RUU355 kerana ia adalah kehendak majoriti umat Islam di negara ini.

Kenapa MCA takut kepada RUU355 sedangkan ia untuk orang Islam sahaja dan MCA  sewajarnya menyokong RUU355 kerana ia bertujuan untuk mengukuhkan mahkamah syariah. Jika MCA sokong pindaan ini barulah MCA boleh dikatakan berjuang untuk semua kaum.