
Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan memberitahu pemberita beliau mengemukakan penghujahan kepada mahkamah bahawa tindakan Mohamed Tawfik itu dengan jelas tidak dapat dipertahankan dan jelas sekali merupakan suatu perbuatan menyalahgunakan proses mahkamah kerana keputusan yang dibuat defendan kedua adalah tidak wajar menurut Perkara 63(1) Perlembagaan Persekutuan.
"Perkara 63 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan 'Hak Keistimewaan Parlimen', yang menyebut bahawa kesahan sesuatu prosiding di sesuatu Dewan Parlimen atau mana-mana jawatankuasanya, tidak boleh dipersoal di mana-mana jua mahkamah," kata Shamsul, yang mewakili Pandikar Amin dan Roosme sebagai defendan dalam permohonan mereka untuk mengetepikan saman Mohamed Tawfik.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengemukakan penghujahan di dalam kamar di hadapan Hakim Datuk Wira Kamaludin Md Said.
Sementara itu, peguam Rosli Dahlan, yang mewakili Mohamed Tawfik, dalam penghujahannya berkata apabila melibatkan undang-undang berkanun atau Perlembagaan, adalah menjadi tugas mahkamah untuk memastikan Parlimen mematuhi had perlembagaannya dan hak keistimewaan parlimen tidak boleh mengetepikan undang-undang Perlembagaan.