Memaparkan catatan dengan label tengku adnan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label tengku adnan. Papar semua catatan

Rabu, Julai 17, 2019

DANA POLITIK TETAPI TIDAK BERI CEK KEPADA UMNO

KUALA LUMPUR, 16 Julai (Bernama) -- Pengarah Urusan Syarikat Aset Kayamas Sdn Bhd, Tan Sri Chai Kin Kong hari ini mengesahkan pembayaran cek RM2 juta kepada Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, yang telah meminta sumbangan daripada beliau, adalah untuk dana politik.

Chai, 60, memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa bekas Menteri Wilayah Persekutuan itu ada menyatakan bahawa UMNO memerlukan dana politik kira-kira RM5 juta-RM6 juta untuk pilihan raya kecil.

"Beliau (Tengku Adnan) hanya bertanya kepada saya berapa yang saya boleh bagi. Saya pula tidak menjanjikan berapa jumlah yang akan diberikan tetapi akan menyerahkan cek sumbangan itu kepada beliau apabila saya sudah mempunyai wang," katanya ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Julia Ibrahim.

Penyataan saksi pendakwaan ke-19 itu diterjemah oleh jurubahasa mahkamah dalam Bahasa Kantonis pada hari ketujuh perbicaraan kes rasuah RM2 juta yang dihadapi Tengku Adnan, yang juga bekas Setiausaha Agung UMNO.

Menurut Chai, Tengku Adnan telah memberikan nama syarikat yang akan digunakan untuk memberi sumbangan itu, Syarikat Tadmansori Holdings Sdn Bhd.

"Pada ketika itu, saya tidak tahu siapa pemilik syarikat Tadmansori Holdings Sdn Bhd dan saya juga tidak tanya beliau kenapa wang sumbangan itu perlu dibuat kepada Tadmansori Holdings dan bukan akaun UMNO.

"Saya atau syarikat-syarikat saya tidak pernah berurusan dalam perniagaan dengan Tadmansori Holdings," tambahnya.

Saksi itu, yang terlibat dalam bidang perniagaan antaranya pembalakan, pembinaan dan perhotelan berkata, beliau kemudian memutuskan untuk memberi sumbangan RM2 juta kerana hanya mampu memberi wang sebanyak itu sahaja.

Sehubungan itu, Chai mengarahkan akauntannya menyediakan cek Hong Leong Bank milik Aset Kayamas berjumlah RM2 juta untuk dibayar kepada Tadmansori Holdings.

"Selepas cek disediakan oleh akauntan, saya turunkan tandatangan saya dan serahkan cek itu kepada Tengku Adnan. Seingat saya, saya serahkan cek ini kepada Tengku Adnan sendiri semasa berjumpa beliau di pejabatnya di DBKL (Dewan Bandaraya Kuala Lumpur).

"Saya sering ke pejabat Tengku Adnan di DBKL sejak mula membuat projek RUMAWIP (Rumah Mampu Milik Wilayah Persekutuan) bagi membincangkan hal dan masalah berkaitan projek itu," katanya.

Terdahulu, Chai berkata beliau mula mengenali Tengku Adnan semasa menjalankan perniagaan pembalakan di Jerantut, Pahang sekitar 1980-an berikutan komuniti pembalak pada ketika itu kecil sahaja.

Sejak itu, katanya, beliau berkawan dengan Tengku Adnan dan masih mengekalkan hubungan dengannya sehingga kini.

"Pada sekitar September 2013, ketika Tengku Adnan memegang jawatan sebagai Menteri Wilayah Persekutuan, Tengku Adnan telah bertanya sama ada saya boleh membuat perumahan mampu milik untuk Wilayah Persekutuan.

"Tengku Adnan merancang untuk membuat rumah mampu milik berharga bawah RM300,000 dan meminta saya untuk mencari tanah yang sesuai untuk dibangunkan sebagai rumah mampu milik. Saya telah bersetuju dengan cadangan Tengku Adnan," katanya.

Mengikut pertuduhan, Tengku Adnan sebagai seorang penjawat awam iaitu Menteri Wilayah Persekutuan didakwa telah menerima untuk dirinya wang berjumlah RM2 juta daripada ahli perniagaan, Tan Sri Chai Kin Kong melalui cek Hong Leong Islamic Bank milik syarikat Aset Kayamas yang didepositkan ke dalam akaun CIMB Bank milik Tadmansori Holdings yang beliau mempunyai kepentingan, yang diketahui syarikat Aset Kayamas ada perhubungan dengan kerja-kerja rasminya.

Tengku Adnan dituduh melakukan perbuatan itu di CIMB Bank Berhad, Cawangan Pusat Bandar Damansara di sini pada 14 Jun 2016, mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan bersambung esok.

-- BERNAMA

Rabu, Julai 10, 2019

KU NAN DAHULUKAN RM300,000 SEBULAN UNTUK UMNO

KUALA LUMPUR, 9 Julai (Bernama) -- Bekas Setiausaha Sulit Kanan kepada Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor hari ini memberitahu Mahkamah Tinggi di sini bahawa bekas Menteri Wilayah Persekutuan itu sering mendahulukan wang miliknya hampir RM300,000 sebulan untuk kegunaan parti UMNO.

Datuk Mohd Rahimi Rejab, 47, yang berkhidmat selama 15 tahun sebagai setiausaha sulit kanan sebelum menamatkan perkhidmatan pada 2018 berkata Tengku Adnan yang mempunyai jawatan yang tinggi dalam UMNO mendahulukan wang pada jumlah yang besar antara RM100,000 sehingga RM300,000 sebulan.

"Maybe (mungkin) lebih daripada itu (wang pendahuluan disalurkan kepada parti itu)," katanya ketika pemeriksaan balas peguam Datuk Tan Hock Chuan, yang mewakili Tengku Adnan.

Saksi pendakwaan ke-10 kes rasuah RM2 juta yang dihadapi Tengku Adnan itu berkata bekas majikannya juga ada mendahulukan wang bagi kegunaan Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar, Selangor dan PRK Kuala Kangsar, Perak pada Jun 2016.

"Bila orang tahu Tengku Adnan ada di pejabatnya, ramai orang akan datang...seolah-olah macam pasar ikan," kata Mohd Rahimi ketika disoal Tan mengenai janji temu membabitkan Tengku Adnan.

Disoal Timbalan Pendakwa Raya Mohammad Firdaous Mohamed Idris semasa pemeriksaan semula mengenai sumber mana wang pendahuluan itu diperoleh, Mohd Rahimi, yang juga ahli peniagaan menjawab, "Tidak pasti".

"Orang politik yang nak datang jumpa Tengku Adnan akan maklumkan apa tujuan nak jumpa. Bila Tengku Adnan setuju (jumpa), baru akan masukkan dalam senarai. Kadang-kadang dia (Tengku Adnan) maklumkan pada saya dia nak 'cash advance' (wang pendahuluan) untuk beri sumbangan kepada pihak berkenaan," katanya.

Sementara itu, Mohd Rahimi ketika membacakan penyataan saksinya berkata berhubung dengan penjualan tanah di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), kebiasaannya permohonan dibuat oleh syarikat kepada menteri.

Bagaimanapun, saksi itu berkata terdapat juga keadaan di mana permohonan tersebut dibuat terus kepada Datuk Bandar dan jabatan yang berkaitan di DBKL.

"Bagi mana-mana permohonan yang dibuat kepada menteri di Kementerian Wilayah Persekutuan, pejabat menteri akan memanjangkan permohonan tersebut kepada jabatan yang berkaitan dalam DBKL.

"Berkenaan permohonan daripada Syarikat Aset Kayamas Sdn Bhd, saya tidak pasti sama ada permohonan tersebut diserah sendiri kepada menteri ataupun pejabat menteri DBKL kerana saya tidak mempunyai pengetahuan berkenaan permohonan syarikat tersebut pada peringkat awal," jelasnya.

Mohd Rahimi memaklumkan beliau telah menerima memo dalaman daripada Timbalan Ketua Pengarah, Pelaksanaan Projek dan Penyenggaraan, Datuk Zulkifli Ibrahim berkenaan Cadangan Pembelian Tanah Untuk Tujuan Pembinaan Rumah Mampu Milik Di Bawah Harga RM200,000 dan Apartment Harga Bebas Di Atas Tanah Lot 53427 dan 52653 seluas 4.05 ekar di Bandar Tun Razak, Wilayah Persekutuan bertarikh 6 Feb 2015.

"Setelah saya menerima memo ini, saya telah memajukan memo tersebut kepada menteri (Tengku Adnan) untuk arahan selanjutnya," katanya.

Mengikut pertuduhan, Tengku Adnan, 69, sebagai seorang penjawat awam iaitu Menteri Wilayah Persekutuan didakwa telah menerima untuk dirinya wang berjumlah RM2 juta daripada ahli perniagaan, Tan Sri Chai Kin Kong melalui cek Hong Leong Islamic Bank milik syarikat Aset Kayamas yang didepositkan ke dalam akaun CIMB Bank milik Tadmansori Holding yang beliau mempunyai kepentingan, yang diketahui syarikat Aset Kayamas ada perhubungan dengan kerja-kerja rasminya.

Beliau dituduh melakukan perbuatan itu di CIMB Bank Berhad, Cawangan Pusat Bandar Damansara, di sini pada 14 Jun 2016, mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan berlangsung di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan.

-- BERNAMA


v

Rabu, Februari 28, 2018

PEMILIHAN UMNO AKAN DIADAKAN SEBELUM 19 APRIL 2019

KUALA LUMPUR, 27 Feb (Bernama) -- Dakwaan bahawa UMNO akan diharamkan dalam masa terdekat berikutan penangguhan pemilihan parti itu adalah tidak benar dan sengaja ditularkan bagi mengelirukan orang ramai, kata Setiausaha Agung parti Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Katanya UMNO masih berkuat kuasa di semua peringkat dan melaksanakan tanggungjawabnya sebagaimana terkandung dalam asas dan tujuan penubuhannya.

"Dakwaan itu sengaja ditularkan bagi mengelirukan orang ramai khususnya ahli-ahli UMNO dan para penyokongnya selain usaha pihak tertentu untuk memburukkan parti, " katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

Tengku Adnan turut memaklumkan bahawa Pemilihan UMNO yang diputuskan ditangguhkan sebelum ini akan diadakan selewat-lewatnya pada 19 April 2019.

"Ini selaras dengan kelulusan daripada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) . Ini adalah merujuk kepada Seksyen 13 A (4) Akta Pertubuhan 1966, Pendaftaran Pertubuhan berkuasa untuk melanjutkan tarikh atau waktu pemilihan pertubuhan berdaftar dengan syarat suatu permohonan bertulis dibuat," katanya.

Tengku Adnan berkata penangguhan tersebut adalah bagi memastikan kesempurnaan perjalanan parti selaras Fasal 10.15 Perlembagaan UMNO dengan proses pemilihan dalam UMNO berjalan lancar dan juga mengambil kira faktor keadaan semasa politik parti khususnya dan negara amnya.

Sehubungan itu, Tengku Adnan menasihatkan orang ramai khususnya anggota UMNO agar tidak mudah terpedaya dengan penularan berita berkaitan parti sebaliknya membuat semakan dengan Ibu Pejabat UMNO terlebih dahulu.

-- BERNAMAv

Ahad, Mei 07, 2017

BN KENA TAPIS CALON BEBAS RASUAH



KUALA LUMPUR 6 Mei Barisan Nasional (BN) memberi jaminan tidak akan meletakkan calon yang mempunyai latar belakang tidak bersih dan terbabit rasuah pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).


Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, parti itu menjadikan amalan memeriksa latar belakang calon sejak sekian lama dan tidak mengizinkan individu yang terpalit dengan kes rasuah dan salah guna kuasa.

Jelasnya, BN pernah mencadangkan supaya perkara itu dilaksana dan diwajibkan bagi semua parti di negara ini, namun ditolak pembangkang.
“BN sudah buat sejak sekian lama, malah calon BN diwajibkan mengisytiharkan aset mereka jika mahu menjadi calon Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) atau ahli Parlimen.


“Saya sendiri semasa mahu menjadi wakil rakyat pada 2004, kena isytihar harta yang ada, apa yang saya buat, apa isteri saya buat, apa keluarga buat, semuanya kami isytihar.

“Jika calon ada masalah dengan Badan Pencegah Rasuah (BPR) atau SPRM ketika ini, kita akan panggil dia, siasat dan jika didapati benar, dia tidak akan dibenarkan menjadi calon,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan KL Extravaganza dan Malaysian Supermoto Championship di Taman Tasik Permaisuri, Bandar Tun Razak di sini semalam.

Yang turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Pembangunan) Kementerian Wilayah Persekutuan, Datuk M. Noor Azman Taib; Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mhd. Amin Nordin Abd. Aziz; Ketua UMNO Bahagian Bandar Tun Razak, Datuk Rizalman Mokhtar; Pengerusi BN Bahagian Bandar Tun Razak, Datuk Chew Yin Keen; Ketua Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Mohd. Razlan Muhammad Rafii dan Presiden Persatuan Karyawan Malaysia, Datuk Freddie Fernandez.

Semalam, Utusan Malaysia menyiarkan laporan SPRM akan meng­heret pemimpin yang terlibat de­ngan rasuah dan salah guna kuasa ke muka pengadilan walaupun selepas mereka memenangi PRU-14.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Dzulkifli Ahmad mengingatkan parti-parti politik agar tidak meletakkan ca­lon yang mempunyai latar belakang tidak bersih kerana pihak­nya pasti akan bertindak selepas pilihan raya nanti.

Sementara itu, Tengku Adnan yang juga Menteri Wilayah Persekutuan berkata, beliau meminta para pengundi di Bandar Tun Razak mengembalikan sokongan kepada BN pada PRU-14.

“Wakil rakyat di sini tidak peduli kawasan ini dan yang mengambil berat adalah BNa . Setiap bulan saya datang ke sini pelbagai program pemimpin BN buat untuk rakyat,” katanya.

Ulasan saya, BN jangan cakap tidak serupa bikin. Dulu ada ADUN di Terengganu ditangkap rasuah oleh SPRM tapi masih dikekalkan sebagai calon dalam PRU 2013. Oleh itu kali ini SPRM kena tegas tapis calon calon BN yang bertanding supaya bebas rasuah.