Memaparkan catatan dengan label rakyat. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label rakyat. Papar semua catatan

Ahad, Oktober 16, 2016

LIM GUAN ENG KELIRUKAN RAKYAT PULAU PINANG

Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang mendakwa Ketua Menteri Lim Guan Eng cuba mengelirukan rakyat berhubung jumlah Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi negeri ini.

Pengerusinya Teng Chang Yeow berkata kenyataan Lim bahawa pakatan pembangkang berjaya meletakkan Pulau Pinang di kedudukan pertama daripada tercorot pada zaman pentadbiran BN dalam kadar pertumbuhan KDNK per kapita negeri pada tahun 2014 hingga 2015, adalah mengelirukan.

"Jangan kelirukan orang, jangan temberang. Satu kita kena faham apa itu KDNK per kapita dan definisi KDNK. KDNK ialah cara yang paling baik untuk mengukur ataupun petunjuk kepada perkembangan ekonomi bagi sesuatu negara atau wilayah.


"Ia meliputi semua yang dihasilkan oleh orang ramai dan syarikat dalam negara berkenaan. KDNK per kapita pula ialah menggunakan angka KDNK itu dibahagikan dengan jumlah penduduk.

"Menurut statistik yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia, purata KDNK per kapita Pulau Pinang pada tahun 2006 hingga 2007 di bawah pentadbiran BN berada pada kedudukan 11, manakala pada tahun 2008 hingga 2014 sepanjang kerajaan DAP memerintah berada di tangga terbawah iaitu pada kedudukan 15," katanya pada sidang akhbar di sini.

Semalam, Lim dalam kenyataannya berkata sepanjang lapan tahun kerajaan DAP Pulau Pinang memerintah telah berjaya mengubah Pulau Pinang daripada negeri tercorot di bawah pentadbiran BN pada tahun 2006 hingga 2007, kepada kedudukan pertama dalam kadar pertumbuhan KDNK per kapita bagi tahun 2014 hingga 2015.

Teng berkata pertumbuhan KDNK Pulau Pinang mencatatkan prestasi terbaik kebanyakannya pada zaman pemerintahan BN sehingga melebihi purata negara dan pencapaian tertinggi adalah pada tahun 1994 iaitu mencatatkan pertumbuhan sebanyak 14.1 peratus.

Beliau berkata pencapaian itu berikutan BN mempunyai perancangan yang lengkap dan sempurna termasuk menghasilkan Pelan Strategik Pembangunan Pulau Pinang 1 dan 2 untuk merancang pertumbuhan ekonomi negeri itu dari tahun 1992 hingga 2007.

"KDNK Pulau Pinang jelas menunjukkan pentadbiran di bawah kerajaan Pakatan Harapan ia menurun dan lebih teruk daripada purata pertumbuhan negara," katanya.

-- BERNAMA

Sabtu, Oktober 15, 2016

BAKAL YANG DIPERTUAN AGONG BERJIWA RAKYAT



KOTA BHARU, 14 Okt (Bernama) -- Sultan Kelantan Sultan Muhammad V yang dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15 dalam mesyuarat Khas Majlis Raja-Raja semalam bagi menggantikan Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah, merupakan seorang raja berjiwa rakyat dan dekat di hati penduduk negeri ini.

Merupakan putera sulung Sultan Ismail Petra dan Tengku Anis Tengku Abdul Hamid, Tengku Muhammad Faris Petra, 47, menggunakan gelaran Sultan Muhammad V setelah dimasyhurkan sebagai Sultan Kelantan ke-29 pada 13 Sept 2010.

Sering membahasakan diri baginda sebagai 'kita' ketika bertemu dengan rakyat negeri ini, baginda sering dilihat turun padang bertemu masyarakat termasuk penduduk kawasan pedalaman serta perkampungan Orang Asli di Gua Musang dan Jeli.

Baginda yang ditabalkan sebagai Tengku Mahkota Kelantan pada 6 Okt 1985 dilihat lebih gemar mengenakan jubah atau berbaju Melayu atau lebih dikenali di negeri ini sebagai 'baju gumbang', serta berkain pelikat dan berkopiah putih ketika melawat rakyat baginda.

Sultan Muhammad V, sebelum ini Timbalan Yang di-Pertuan Agong sejak 12 Dis 2011, turut mencetuskan idea Program Walkathon D'Raja Kelantan sejak 2011 bagi mengeratkan lagi hubungan raja dengan rakyat.



Sultan Kelantan Sultan Muhammad V berkenan menandatangani plak pada majlis perasmian dan pengurniaan kunci rumah kepada penghuni Desa Alam Shah di Kampung Gong Jenarah, Bukit Awang Mei lepas (Gambar Fail)


Menerusi Program Walkathon D'Raja Kelantan itu, ribuan rakyat Kelantan daripada pelbagai peringkat umur berpeluang untuk berjalan bersama-sama Sultan Muhammad V dan beberapa kerabat diraja yang lain sejauh 10 km di sekitar bandar Kota Bharu.

Sepanjang laluan, terdapat beberapa 'checkpoint' yang mempersembahkan pelbagai aktiviti kebudayaan seperti dikir barat, paluan kertuk dan rebana ubi.

Pada 2011, program itu diiktiraf oleh Malaysia Book Of Records sebagai penyertaan terbesar Walkathon Diraja Malaysia pada tahun berkenaan selepas berjaya mengumpul sebanyak 21,111 peserta.

Program tersebut adalah program amal anjuran Pertubuhan Kerabat D'Raja Kelantan Al-Muhammadi bagi mendekatkan baginda dengan rakyat, menggalakkan amalan gaya hidup sihat selain menjadi ikon tarikan pelancongan Kelantan.

Baginda turut tidak ketinggalan menyemai spiritual masyarakat Islam di negeri ini menerusi program 'Qiam With Me' yang diadakan pada setiap Ramadan sejak 2011.

Program tersebut yang diadakan pada pukul 10 malam selepas solat Isyak dan Tarawih, diikuti kuliah agama oleh penceramah jemputan, disusuli Qiamullail sehingga sahur dan solat Subuh berjemaah bersama baginda.

Menerusi program itu, baginda turut berkenan menyampaikan sumbangan zakat kepada asnaf dan golongan kurang bernasib baik.

Malah, kedua-dua program tersebut - Walkathon D'Raja Kelantan dan Qiam With Me - dimasukkan dalam kalendar pelancongan negeri Kelantan sebagai satu lagi daya tarikan pelancongan yang unik di negeri ini.

Di sebalik populariti baginda sebagai Sultan Kelantan yang sering mendapat liputan meluas pengamal media di negeri itu, kerap kali dalam diam dan tanpa pengetahuan media, baginda berkenan menjengah kehidupan penduduk yang memerlukan pembelaan.

Malah, pernah tersebar sekeping gambar di media sosial baginda membuat rondaan menaiki pacuan empat roda seorang diri selepas bencana banjir besar melanda Kelantan pada 2014.

Sultan Muhammad V yang diputerakan pada 6 Okt 1969, mendapat pendidikan awal di Sekolah Sultan Ismail I di sini, sebelum melanjutkan pelajaran ke Sekolah Antarabangsa Alice Smith di Kuala Lumpur.

Baginda kemudian ke Oakham School Rutland, England, sehingga 1989 sebelum melanjutkan pengajian dalam bidang kajian diplomatik di St. Cross College, Oxford serta di Oxford Centre for Islamic Studies sehingga 1991.

Sultan Muhammad V, yang merupakan Canselor Universiti Malaysia Kelantan (UMK), pada masa lapang gemar membaca buku, serta meminati sukan lasak seperti ekspedisi kenderaan pacuan empat roda, kejohanan kuda lasak dan menembak.

Baginda mempunyai tiga adinda iaitu Tengku Mahkota Kelantan Tengku Dr Muhammad Faiz Petra, 42, Tengku Muhammad Fakhry Petra, 38, dan Tengku Amalin A'ishah Putri, 32.

-- BERNAMA

Jumaat, Februari 12, 2016

LANGKAH RAKYAT JEPUN BERJIMAT WAJAR DIJADIKAN IKHTIBAR



oleh SHAHBUDIN EMBUN

(disiarkan dalam Berita Harian, 12 Februari 2016)








Langkah penjimatan sektor awam yang telah bermula sejak 1 Januari 2014 dan masih berkuatkuasa sehingga kini merupakan satu usaha kerajaan ke arah perbelanjaan yang lebih berhemat terutama dalam mengawal defisit negara. Antara initiatif penjimatan yang dijalankan adalah menghadkan sajian semasa mesyuarat dan majlis keraian, pembekuan pengubahsuaian ruang pejabat dan pemberian saguhati dan cenderamata.


Malah, Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Dr Ali Hamsa turut menegaskan bahawa langkah perbelanjaan berhemat sektor awam ini dapat menghasilkan penjimatan yang juga dilihat sebagai sumbangan penjawat awam untuk negara. Walau bagaimanapun, langkah penjimatan sektor awam ini turut dipersoalkan oleh sesetengah pihak, terutamanya usahawan bumiputera.

Meskipun negara, malahan seluruh negara pengeluar minyak dunia mengalami kejatuhan harga pasaran minyak yang kritikal, langkah penjimatan ini dianggap memberi kesan kumulatif yang negatif terhadap usahawan bumiputera khasnya yang banyak bergantung kepada kerajaan sebagai pelanggan utama mereka.

Melihat kepada senario tersebut, penulis terpanggil untuk berkongsi pengalaman lawatan kerja sekitar tahun 2013 dan pembacaan tentang cara hidup dan mentaliti positif rakyat daripada negara matahari terbit, iaitu Jepun. Sorotan daripada malapetaka gempa bumi pantai Pasifik Tohoku dan kejadian Tsunami pada tahun 2011, Jepun terpaksa menanggung kerugian gempa bumi yang mencecah US$34.6 bilion. Tragedi gempa bumi tersebut dikatakan sebagai tragedi terburuk Jepun selepas perang dunia kedua yang memberi kesan besar terhadap perbelanjaan negara. Ia turut menyebabkan 4.4 juta isirumah di timur laut Jepun terpaksa meneruskan kehidupan tanpa bekalan elektrik.

Antara langkah yang dilaksanakan oleh Kerajaan negara Jepun adalah dengan mengalihkan sebilangan besar bajet negara untuk membina semula kawasan yang musnah akibat gempa bumi tersebut. Pembinaan semula infrastruktur di kawasan ini memerlukan modal yang besar malah ianya diteruskan sehingga kini.

Antara contoh penjimatan yang dilaksanakan melibatkan pengurangan perbelanjaan utiliti seperti elektrik yang dikuatkuasakan di bangunan-bangunan Kerajaan, lapangan terbang dan pusat membeli belah. Meskipun musim pada ketika itu agak berbahang, penulis dapat melihat rata-rata daripada rakyat Jepun yang tidak merungut dengan keadaan tersebut, malah ramai juga di kalangan mereka yang membawa ‘kipas tangan’ sendiri.

Tidak cukup dengan keadaan yang kurang selesa itu, rata-rata daripada mereka tidak menggunakan lif mahupun eskalator dan berpusu-pusu menggunakan tangga. Apabila ditanya tentang keadaan tersebut, rakan Jepun saya menjelaskan bahawa inilah antara sumbangan kecil yang mampu diberikan oleh rakyat dalam membantu mangsa-mangsa Tohoku yang lebih memerlukan.

Berbalik kepada keadaan di Malaysia, kita bernasib baik kerana berada di luar dari Lingkaran Api Pasifik yang mana tiada tragedi buruk seumpama itu berlaku di negara kita. Namun demikian, kita tidak dapat lari daripada menghadapi kemelesetan ekonomi yang memberi kesan besar terhadap pendapatan negara secara amnya.

Oleh itu, langkah penjimatan melalui pengurangan perbelanjaan sajian semasa mesyuarat dan majlis keraian serta langkah-langkah penjimatan lain yang dikuatkuasakan oleh kerajaan seharusnya dipandang positif dan disokong penuh oleh semua pihak. Dalam hal ini, pembekal bumiputra perlu mengurangkan kebergantungan kepada kerajaan sebagai sumber tunggal perniagaan.


Mungkin sudah tiba masanya untuk pembekal menjadi lebih kreatif dalam menjalankan perniagaan melalui usaha memperluaskan jaringan perniagaan dan meningkatkan keupayaan dalam membekal ke pelbagai jenis segmentasi pasaran. Pada masa yang sama, terutamanya penjawat awam yang sebelum ini menikmati kemudahan sajian mesyuarat mahupun keraian, perlulah mencontohi badan-badan korporat dan swasta yang mengamalkan perbelanjaan bersederhana semasa mesyuarat.

Anjakan paradigma ini memerlukan sokongan pengurusan tertinggi organisasi bagi membolehkan ianya dilaksanakan dengan lebih berkesan dan menjadikannya sebagai budaya baru organisasi. Malahan idea yang diutarakan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Hamzah Zainuddin berkenaan pengurangan sajian semasa mesyuarat dan kakitangan digalakkan untuk membawa bekal ke pejabat bagi menangani kos sara hidup dilihat sebagai idea yang bernas, walaupun ia dianggap sebagai satu gurauan oleh rakyat jelata. Hakikatnya, saranan ini telah lama dipraktikkan di negara-negara maju seperti Jepun dan Korea.

Mengambil iktibar daripada pengalaman penulis di Jepun, rakyat Malaysia hendaklah sedar bahawa budaya dan gaya hidup serta mentaliti rakyat merupakan perkara asas dan tunjang dalam membentuk sesebuah negara maju.

Melihat kepada senario semasa yang berlaku di kalangan rakyat Malaysia, timbul persoalan dan kegusaran di hati penulis, mampukah negara Malaysia yang tercinta ini mencapai taraf negara maju yang hanya tinggal kurang lima tahun sahaja lagi? Tepuk dada tanya selera. Apa yang pasti, kisah ketegaran rakyat Jepun seharusnya dijadikan sebagai ikhtibar untuk anjakan paradigma dalam membentuk budaya dan gaya hidup masyarakat yang berbelanja secara berhemah, suatu pendekatan baru ke arah mencapai status negara maju dengan acuan sendiri dan membentuk masyarakat yang lebih adaptif.














Rabu, Oktober 14, 2015

TOL NAIK: NAJIB SELAMATKAN DUIT RAKYAT

Khamis ini tol akan naik di beberapa lebuhraya tidak termasuk PLUS. Ramai orang marahi kerajaan kerana kerajaan BN mungkir janji kerana dahulu Najib Razak berkata kerajaan tidak akan naikkan tol.

Apa yang kita alami sekarang ialah meneruskan legasi Dr Mahathir Mohamad yang membuat lebuhraya di zaman pemerintahannya. Maka kerajaan sekarang yang dipimpin Najib Razak terpaksa menanggung bebannya.

Di zaman Dr Mahathir, konsesi tol menguntungkan pemegang konsesi. Kalau kerajaan tidak naikkan tol, kerajaan terpaksa membayar pampasan kepada pemegang konsesi. Sampai bila kerajaan terpaksa membayar pampasan ini? Maka Najib Razak tiada pilihan terpaksa menaikkan harga tol untuk menyelamatkan duit rakyat.

Tidak semena-mena kerajaan kena bayar pampasan yang melibatkan billion ringgit. Alangkah baiknya billion ringgit itu diselamatkan untuk bina benda lain. Jadi pengguna lebuhraya terpaksa membayar lebih kalau mahu lalu ikut jalan yang ada tol.

Kalau tak mahu bayar tol, lalulah jalan yang tiada tol. Saya sendiri pernah tak mahu bayar tol di Tol Jabor di LPT maka lalu jalan lama dari Kuantan ke Kuala Lumpur. Bukannya tak sampai ke Kuala Lumpur. Cuma lambat sahaja.

Dalam suasana ekonomi dunia sedang merudum, Najib Razak tiada pilihan terpaksa menyelamatkan billion ringgit daripada dibayar kepada pemegang konsesi. jadi siapa yang wajar disalahkan? Dr Mahathir atau Najib? Kerana kebanyakan lebuhraya ini dibina di zaman Dr mahathir. Kenapa Dr Mahathir galakkan perjanjian berat sebelah? Atau adakah setiap kali kerajaan membayar pampasan kepada pemegang konsesi proksi Dr Mahathir turut mendapat habuan? Jika benar ada proksi Dr Mahathir yang kaya akibat kerajaan bayar pampasan kepada pemegang konsesi lebuhraya maka Dr Mahathirlah pengkhianat kerana sanggup meluluskan perjanjian yang berat sebelah.

Selasa, April 23, 2013

WAKIL RAKYAT BN AKAN BERSUMPAH GUNA AL QURAN BILA MENANG

Semua wakil rakyat Barisan Nasional (BN) Terengganu akan bersumpah menggunakan al-Quran sebaik sahaja BN membentuk kerajaan selepas 5 Mei ini sebagai “aku janji” tidak akan terlibat dengan rasuah dan pecah amanah. Mengumumkan demikian, Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said berkata, malah kesemua penjawat awam di jabatan dan agensi kerajaan terutama yang melibatkan urusan tender juga akan berbuat demikian. Ini bertujuan meningkatkan keyakinan rakyat terhadap ketelusan pentadbiran awam di Terengganu, kata beliau. Ahmad berkata sumpah tersebut (akuan integriti - bagi calon bukan Islam) juga bertujuan menghentikan tohmahan dan fitnah pembangkang yang kerajaan rasuah, malah menjadikannya sebagai modal politik menjelang pilihan raya umum. “Apabila kita buat (akuan bersumpah) ini, secara tidak langsung ia akan mengikat individu tersebut dengan Allah...jika dia buat juga, dengan manusia mungkin dia lepas, tetapi tidak dengan Allah,” katanya. Beliau bercakap kepada pemberita selepas merasmikan majlis menandatangani ikrar integriti korporat Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini hari ini. Ahmad turut mengejutkan tetamu majlis itu apabila beliau turut bersumpah menafikan penglibatannya dalam skandal balak seperti yang dituduh pembangkang. Tegasnya beliau berniat hendak ke ceramah pembangkang pada waktu malam dengan membawa Al-Quran untuk bersumpah menafikan tuduhan itu namun, tiada kesempatan waktu. “Secara kebetulan pula, pada hari ini ada program SPRM, jadi saya bersumpah menafikan tuduhan itu, saya tidak takut kerana tidak buat, ambil duit dan sebagainya (seperti yang dituduh). Itu bukan cara saya (untuk cepat kaya). “Saya pernah disiasat selama tiga tahun setengah oleh SPRM ... tapi tiada kes (bebas), sebab itu kalau mereka nak tuduh, saya tak bimbang, pergilah lapor kepada SPRM dan tunggu SPRM lakukan siasatan ... tak perlu nak berdemonstrasi depan Wisma Iman untuk main politik,” katanya. — Bernama

Selasa, Jun 14, 2011

KERAJAAN RAKYAT LEBIH BAIK DARI KERAJAAN KEBAJIKAN


Kerajaan rakyat yang diamalkan Barisan Nasional (BN) adalah jauh lebih baik berbanding kerajaan kebajikan yang mirip fahaman sosialisme.

Timbalan Pengerusi Umno Sabah Datu Seri Salleh Said Keruak berkata ini kerana kerajaan rakyat merangkumi semua aspek termasuk kebajikan rakyat.

"Dalam hal ini PAS cuba memberi nafas baru kepada usaha kebajikan yang sudah dilaksana kerajaan BN, dalam usaha meraih sokongan rakyat menjelang pilihan raya umum akan datang," katanya kepada Bernama, di sini Isnin.

Beliau juga berpandangan kerajaan rakyat menentukan pertumbuhan ekonomi yang mampan dan pengagihan kekayaan negara yang berpaksi kepada aspirasi gagasan 1Malaysia.

Bekas Ketua Menteri Sabah itu juga berkata negara akan hancur jika dipimpin parti-parti yang terikat dengan 'kahwin kontrak' yang tidak mungkin berkekalan.

Sebaliknya kata beliau, Malaysia memerlukan seorang perdana menteri seperti Datuk Seri Najib Tun Razak yang mempunyai rekod khidmat cemerlang, berpengalaman, berwawasan dan berorientasikan rakyat.

Isnin, November 22, 2010

KAJI SEMULA JUARA RAKYAT


Kepimpinan tertinggi Barisan Nasional (BN) dan UMNO perlu mengkaji semula keberkesanan program Juara Rakyat bagi memastikan ia sentiasa mematuhi garis panduan yang telah ditetapkan.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Lajim Ukin berkata, ia sangat penting bagi memastikan program yang baik itu mampu mencapai matlamat di samping benar-benar memberi kesan serta manfaat kepada rakyat.

“Kita tidak mahu ia sekadar cukup syarat dan hanya melibatkan aktiviti biasa yang tidak mencapai objektif asal pelancarannya secara keseluruhan,” katanya.

Beliau ditemui selepas mempengerusikan mesyuarat UMNO bahagian, di Beaufort semalam.

Hadir sama, Timbalan Ketua Bahagian, Isnin Aliasnih; Ketua Wanita bahagian, Datuk Azizah Mohd. Dun dan Ketua Pemuda bahagian, Mohd. Ishak Ibrahim.

Lajim berkata, sebagai contoh, terdapat beberapa kes program Juara Rakyat yang diadakan hanya melibatkan pertandingan badminton.

“Saya boleh terima jika itu hanya program sampingan tetapi jika program utama, ia memang satu pembaziran kerana kesannya tidak akan memberi manfaat menyeluruh kepada rakyat,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Lajim yang juga Ketua UMNO bahagian menegaskan, matlamat program Juara Rakyat adalah mendekati rakyat di peringkat akar umbi selain membantu serta menyelami permasalahan dihadapi.

Katanya, penganjuran program tersebut juga alternatif parti bagi menyelesaikan masalah yang berlaku di setiap bahagian dan sebagai wadah memperkukuhkan perpaduan di kalangan ahli parti.

Menurutnya, apabila pengisian program Juara Rakyat hanya melepaskan batuk di tangga, sudah tentu matlamatnya tidak tercapai dan rakyat pula tidak menerima manfaat daripadanya.

“Kita kena kaji semula konsep dan pengisian program Juara Rakyat yang kita anjurkan.

“Jika tidak, ia akan hanya menjadi program yang tidak memberi kesan jangka panjang kepada rakyat dan parti,” katanya.

Dalam pada itu, Lajim berkata, penyertaan parti komponen BN terhadap program Juara Rakyat setakat ini masih hambar.

Katanya, disebabkan penyertaan dingin parti komponen BN tersebut, ada pihak menganggap program Juara Rakyat hanyalah program UMNO

Selasa, Oktober 06, 2009

ROSNAH YANG MESRA RAKYAT


Kalau tidak silap saya, ini adalah penggal kedua Datuk Rosnah Haji Abd Rashid Shirlin menjadi ahli parlimen Papar. Kali pertama pada tahun 2004, tetapi beliau adalah ahli parlimen biasa. Ketika itu beliau menang tanpa bertanding sebagai naib ketua pergerakan puteri UMNO Malaysia pada tahun 2004.


Pada pilihanraya umum 2008, beliau sekali lagi diberi peluang bertanding di parlimen Papar. Selepas rombakan kebinet 2008, beliau kekal sebagai ahli parlimen biasa. Pada Mac lalu, beliau menang dalam pertandingan ketua puteri UMNO dalam pertandingan enam penjuru. Rosnah mengalahkan lima calon lain iaitu Shahaniza, Ida Rahayu, Bibi Sharliza. Ismalina Ismail dan Saarah.


Setelah Datuk Seri Najib Tun Razak menjadi Perdana Menteri yang baru April lalu, sebagai Ketua Puteri UMNO, beliau dilantik sebagai Timbalan Menteri Kesihatan. Beliau mencatat sejarah kerana menjadi naib ketua puteri pertama yang menang dalam pertandingan ketua puteri. Bekas ketua puteri, Datuk Noraini Ahmad naik pangkat tanpa sebarang pertandingan pada tahun 2004.


Beliau juga pemimpin Sabah pertama yang dipilih menerajui sayap penting dalam UMNO iaitu pergerakan puteri UMNO. Saya tidak berpeluang menemubual beliau sejak beliau menjadi ahli parlimen pada tahun 2004. Jadi saya tak biasa dengan beliau.


Pada hari ini kali pertama saya menjejak kaki beliau di Putrajaya. Pada Februari lalu ketika bertugas dengan WATAN, WATAN turut menyiarkan wawancara penuh dengan beliau tetapi saya tidak dapat hadir sebaliknya menghantar wartawan kanan, Shahilan M. Alias untuk mewawancaranya.


Beliau adalah seorang timbalan menteri yang mudah ditemui. Saya hantar sms kepadanya minggu lepas untuk menemuinya. Dia suruh saya datang hari ini di antara jam 10 hingga 11 pagi atau dari jam 12 tengah hari hingga 1 petang.


PRnya memang hebat. Bila pembantunya memberitahusaya bekas editor WATAN sdah sampai, beliau keluar dari biliknya me6yambut saya di ruang tamu. Saya teruja melihat sikap mesranya itu sedangkan beliau tak perlu keluar kerana gilirann saya untuk menemuinya masih lambat lagi.


Bila giliran saya tiba 30 minit kemudian, saya pun mewawancaranya untuk majalah Business Kini sambil minta tolongnya untuk mendapatkan iklan kempen sihat yang ada di kementeriannya seperti iklan tak nak merokok. Beliau dengan mudah merekomen permohonan kami kepada Tan Sri Ismail Merican, Ketua Pengarah Jabatan Kesihatan. Jika semua timbalan menteri bersikap begini mudah ditemui rakyat dan mesra rakyat saya percaya rakyat akan hormati kerajaan BN yang tidak mempunyai pemimpin yang sombong.


Malah setiausaha sulit kananya, Sharifah Nazira Syed Basir Ahmad, seorang PTD turut melayani kami dengan mesra sewaktu menunggu surat sokongan daripadanya siap disediakan. Tahniah Rosnah!

Isnin, Ogos 31, 2009

160 RIBU RAKYAT TERENGGANU DAPAT DUIT RAYA


Kerajaan Terengganu akan mula mengagih bantuan dari dana khas hari raya kepada lebih 160,000 keluarga yang terdiri daripada kalangan golongan miskin, orang kurang upaya (OKU), ibu tunggal serta warga emas, minggu depan.


Menteri Besar Datuk Ahmad Said berkata jumlah keseluruhan dana khas bantuan raya itu belum diputuskan, namun menurutnya jumlah itu dijangka meningkat tahun ini berbanding tahun lepas.


Bercakap kepada pemberita selepas melawat adik Muhamad Ayub Mansor, 7, yang menghidap penyakit jantung berlubang di Kampung Cabang Tiga di Kuala Terengganu semalam, beliau berkata, tahun lepas kerajaan mengagih bantuan dana khas yang berjumlah kira-kira RM38 juta kepada 160,000 keluarga.


Sementara itu Ahmad berkata kerajaan negeri akan menanggung keseluruhan kos rawatan pembedahan Muhamad Ayob di Institut Jantung Negara (IJN) yang dianggar menelan belanja RM30,000.


Ibu Muhammad Ayob, Haryati Mohd Fauzi, 32, surirumah sepenuh masa berkata anaknya banyak ketinggalan dalam pelajaran kerana kerap tidak ke sekolah berikutan penyakit yang dihidapinya itu.


Beliau berkata anak bungsu daripada dua beradik itu kini mendapat rawatan enam bulan sekali di IJN yang melibatkan perbelanjaan RM500, namun menurutnya oleh kerana tidak mampu memandangkan suaminya yang bekerja sebagai pembantu di kedai alat ganti dengan pendapatan hanya RM700 sebulan, rawatan anaknya itu hanya dapat dibuat setahun sekali.

Selasa, Mac 31, 2009

SIAPA PILIHAN RAKYAT BUKIT GANTANG?


Ahad lalu tiga calon telah diterima sebagai calon pilihanraya kecil Bukit Gantang. BN meletakkan Ismail Sufian dan PAS meletakkan bekas Menteri Besar, Nizar Jamaluddin. Calon Bebas, Kamarul Ramizu Idris dijangka tidak memberi kesan kepada kedua-dua calon ini.


Blog ini merupakan blog terawal yang menonjolkan nama Ismail yang juga bekas Ketua Penerangan UMNO Bahagian. Pada satu hari selepas kematian ahli parlimen Bukit Gantang, Roslan Shahrum, saya menerima panggilan dari seorang penulis Aziz Zariza Ahmad.


"Zabidi, tolong promote nama Ismail sebagai calon BN Bukit Gantang dalam blog dan WATAN," kata Aziz dalam telefon.

"Okay. Beri nombor handphone Ismail kerana saya mahu biodatanya," kata saya.


WATAN menyiarkan nama Ismail sebagai antara yang disebut-sebut sebagai calon BN dan blog saya menyiarakan gambar Ismail kerana WATAN tidak sempat menyiarkan gambar beliau. Ternyata misi Aziz untuk menonjolkan Ismail sebagai calon Bukit Gantang berjaya.


Jika Ismail yang kalah dalam pertandingan Ketua UMNO Bahagian Bukit Gantang tidak disabotaj oleh UMNO bahagian, Ismail boleh mengalahkan Nizar. Sebagai anak tempatan Ismail ada kelebihan untuk menang. Nizar bukan anak tempatan tetapi beliau akan menarik undi simpati kerana beliau adalah Menteri Besar Perak yang dijatuhkan secara tidak demokratik.


Bukit Gantang diwakili oleh calon Gerakan pada pilihan raya umum 2004. Pada tahun 2008 UMNO Bahagian meneuntut kerusi parlimen itu diserahkan kepada UMNO. Tetapi UMNO meletakkan orang luar, Ketua UMNO Bahagian Bukit Bintang, Abdul Azim Mohd. Zabidi sebagai calon. Akibat meletakkan calon payung terjun, maka BN tewas kepada calon PAS, aruah Roslan Shahrum dengan majoriti 1,566 undi.


Oleh itu pertandingan kali ini agak sengit antara Ismail dengan Nizar. Adakah pengundi Bukit Gantang mahu orang luar atau anak tempatan seperti Ismail? Yang peliknya pengundi Bukit Gantang menolak Abdul Azim tetapi menerima Aruah Roslan yang juga orang luar. Roslan bukan anak tempatan tetapi anak Batu Gajah.


Jika BN menang, maka pengundi Bukit Gantang mahu anak tempatan seperti Ismail sebagai ahli parlimennya. Ia juga mengiktiraf kepimpinan Menteri Besar baru, Dr. Zambry Abdul Kadir dan Presiden UMNO baru, Najib Abdul Razak. Sebaliknya jika BN kalah, rakyat Bukit Gantang tetap mengiktiraf Nizar sebagai Menteri Besar Perak yang sah. Oleh itu PAS dijangka menggunakan sentimen ini untuk meraih undi. Sama-samalah kita tunggu 7 April ini.

Khamis, Februari 05, 2009

SERAH KEPADA RAKYAT PERAK


Tun Dr. Mahathir Mohamad menegaskan, tindakan Barisan Nasional (BN) menerima sokongan bekas dua Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang berhadapan dengan tuduhan rasuah bukan idea yang baik.


Bekas Perdana Menteri itu memberitahu, beliau tidak setuju dengan tindakan BN kerana parti tersebut sepatutnya menerima mereka yang benar-benar berkualiti.


''Menerima ADUN yang berhadapan tuduhan rasuah tidak akan mempertingkatkan kualiti parti ketika BN berhadapan dengan masalah kualiti kepimpinan dalam parti," katanya.


Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mempengerusikan Sesi Strategi Eksklusif Krisis Kewangan Global anjuran Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kebangsaan Malaysia (NCCIM) di sini semalam.
Dr. Mahathir mengulas pengumuman Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa BN berjaya membentuk kerajaan baru di Perak dengan kelebihan majoriti tiga kerusi.


Pembentukan kerajaan baru itu berikutan keputusan tiga wakil rakyat pembangkang iaitu Jamaluddin Mohd. Radzi, Mohd. Osman Jailu, Hee Yit Foong menghantar surat kepada Sultan Perak semalam mengisytiharkan hilang kepercayaan terhadap Menteri Besar Perak dan menyatakan sokongan kepada BN.


Datuk Nasaruddin Hashim yang keluar BN Sabtu lalu turut mengumumkan kembali kepada UMNO hari ini.
Dengan pengumuman itu, BN kini mempunyai sokongan 31 kerusi berbanding pakatan pembangkang sebanyak 28 kerusi.


Menurut Najib, Jamaluddin, Mohd. Osman dan Yit Foong masih kekal sebagai wakil rakyat Bebas tetapi akan memberi sokongan kepada BN dalam sidang DUN termasuk sesiapa sahaja yang bakal dilantik Menteri Besar Perak.


Dr. Mahathir menjelaskan, sekiranya kedua-dua ADUN itu didapati tidak bersalah dalam kes rasuah selepas diterima oleh BN maka orang ramai akan melihatnya sebagai satu manipulasi.


Tegas beliau, bukan satu idea yang baik dengan membawa orang yang kualitinya teruk.

Seperti kata Menteri Besar, Nizar Jamaluddin, Datuk Seri Najib tidak boleh umum BN sudah bentuk kerajaan kerana ia belum mendapat perkenan Sultan Perak. Kita masih ingat sewaktu Pakatan Rakyat nak tubuh kerajaan di Perak pada tahun lepas, betapa susahnya kerana ia melibatkan perlembagaan negeri. Dua tiga kali menghadap tuanku barulah dapat perkenan tuanku.


Untuk tubuh kerajaan, BN sanggup buat apa sahaja, bawa orang yang dituduh rasuah menyokongnya dan orang yang tidak ada prinsip seperti Nasaruddin Hashim mengalahkan Ibrahim Ali yang melompat parti. Ibrahim dipanggil juara katak lompat tetapi tidak pernah dalam masa 10 hari saja seperti Nasaruddin.


Oleh itu sebaik-baiknya Sultan Perak berilah perkenan kepada permintaan Menteri Besar untuk bubarkan Dewan Undangan Negeri. Biarlah rakyat Perak buat keputusan baru siapa yang mereka mahu bentuk kerajaan baru sama ada BN atau PR. Bila diketahui keputusan pilihan raya yang baru, BN dan PR hendaklah menerima keputusan rakyat dengan hati terbuka.


Membentuk kerajaan secara rampas kuasa seperti yang dilakukan oleh BN sekarang nampak sangat tidak bermoral. Biar rakyat buat keputusan siapa yang mereka mahu. Melantik Menteri Besar baru seperti Datuk Ramly Zahari sehingga pilihan raya umum akan datang belum beri jaminan kerajaan BN akan kekal pada pilihan raya umum akan datang. Tak payahlah lantik Dr. Zambry sebagai Menteri Besar kerana beliau adalah orang Anwar Ibrahim, jika itu yang diterima oleh Sultan Perak bahawa BN sudah bentuk kerajaan tanpa mengadakan pilihan raya.


Kesimpulannya, serahlah kepada rakyat Perak untuk membuat penentuan akhir.

Isnin, Januari 12, 2009

TERENGGANU MEMANG CAKNA RAKYAT


Kerajaan yang diterajui Barisan Nasional (BN) menjaga kebajikan semua lapisan rakyat sejak 'lahir hingga ke liang lahad', namun tidak perlu menggunakan label negara kebajikan untuk berbuat demikian, kata Najib Tun Razak.


Timbalan Perdana Menteri menegaskan, adalah menjadi tanggungjawab kerajaan BN untuk menghulurkan bantuan kepada kumpulan sasar seperti golongan miskin, orang kurang upaya (OKU) dan warga tua sepanjang tahun tanpa menunggu waktu pilihan raya.


Malah jelasnya, kerajaan juga tidak menunggu golongan itu tampil untuk diberi bantuan, sebaliknya usaha mencari dilakukan oleh agensi terlibat supaya sebanyak mungkin rakyat dapat diberikan bantuan.


''Melalui usaha ini, bilangan isi rumah yang mendapat bantuan telah meningkat daripada 54,000 orang kepada 110,000 orang di seluruh negara," ujarnya.


Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Program Cakna Rakyat anjuran Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Nilam di Kuala Terengganu semalam.


Pada majlis itu, Najib turut melancarkan Klinik Bergerak Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) yang menyediakan pemeriksaan kesihatan percuma kepada penduduk.


Menurut Najib, walaupun pembangkang cuba memperjuangkan negara kebajikan, namun kerajaan BN telah mendahului usaha tersebut sejak menerajui pentadbiran negara ini.


''Ada pihak kata nak perjuangkan negara kebajikan dalam pilihan raya dulu. Mula-mula dia main isu hudud, lepas itu dia senyap. Dapat kawan baru timbul pula negara kebajikan kononnya nak perjuangkan kebajikan.


"Di Malaysia, sejak kita lahir sampai masuk ke liang lahad boleh dikatakan setiap detik dalam kehidupan kita banyak pertolongan dan bantuan yang diberi kerajaan BN," ujarnya.


Menurut Najib, di Malaysia kerajaan menjaga kebajikan semua rakyat tanpa mengira sama ada penyokong kerajaan atau pembangkang.


''Tak payah buat label kerana hakikatnya kita memang sudah negara kebajikan. Tak payah nak kata nak perjuangkan negara kebajikan kerana Malaysia di bawah pimpinan Abdullah (Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi) amat-amat cakna kepada kepentingan rakyat," ujarnya.


Menurutnya, dalam memastikan usaha membantu golongan sasar berjaya, kerajaan meluaskan Jaringan Keselamatan Sosial yang merupakan lonjakan kepada dasar kerajaan dalam membantu golongan yang memerlukan bantuan.


Katanya, dengan langkah yang diambil kerajaan itu, sasaran kerajaan menghapuskan kemiskinan tegar pada tahun 2010 boleh dicapai.


Beliau menolak cakap-cakap bahawa kerajaan cuba 'memancing undi' setiap kali memberi bantuan kepada golongan yang memerlukan.


"Bila kerajaan umumkan program Jaringan Keselamatan Sosial ini, jauh lebih awal dan kerajaan tak tahu pun akan berlaku pilihan raya kecil di Kuala Terengganu," ujarnya.


Rakyat Terengganu seharusnya bersyukur kerana kerajaan BN sejak zaman Wan Mokhtar Ahmad lagi amat menekankan soal kebajikan rakyat. Dari perut ibu hinggalah ke tua rakyat Terengganu diambil cakna oleh kerajaan negeri.


Dalam kandungan, bayi yang dikandung ibu diberi perhatian oleh Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT). Bila bayi itu tidak ada orang nak jaga kerana ibubapa bekerja, maka mereka boleh hantar bayi itu ke taska YPK. Bila umur 6 tahun, boleh hantar anak itu ke tadika milik Yayasan Islam Terengganu (YIT). Malah lebih 3,000 kanak-kanak khatam quran di bawah YIT. Bila bersekolah, kebajikan mereka dijaga oleh Yayasan Terengganu (YT) pula.


Selangor baru beri RM1,000 seorang kepada pelajarnya masuk universiti. YT dah lama beri wang kepada pelajar yang dapat masuk universiti, kolej dan pusat pendidikan laihn seperti IKBN dan sebagainya.


Visi Wan Mokhtar diteruskan oleh kerajaan PAS sewaktu memerintah Terengganu dari tahun 1999 hingga 2004. Ini bermakna apa yang dibuat oleh BN itu betul. Ia diteruskan pula oleh Idris Jusoh hinggalah ke zaman Ahmad Said sekarang.


Setiap tahun rakyat Terengganu dapat wang dana khas sebanyak RM300 yang dibayar menjelang hari raya. Golongan muda pun turut menerima dana remaja ini. Oleh itu rakyat Terengganu haruslah bersyukur kerana jika mereka bersyukur, Allah akan tambah nikmatnya kepada mereka. Tunjukkanlah kesyukuran itu pada 17 Januari ini, terutama kepada semua pengundi Kuala Terengganu dengan mengekalkan BN pada hari tersebut. Selamat mengundi!