Isnin, Ogos 31, 2009

160 RIBU RAKYAT TERENGGANU DAPAT DUIT RAYA


Kerajaan Terengganu akan mula mengagih bantuan dari dana khas hari raya kepada lebih 160,000 keluarga yang terdiri daripada kalangan golongan miskin, orang kurang upaya (OKU), ibu tunggal serta warga emas, minggu depan.


Menteri Besar Datuk Ahmad Said berkata jumlah keseluruhan dana khas bantuan raya itu belum diputuskan, namun menurutnya jumlah itu dijangka meningkat tahun ini berbanding tahun lepas.


Bercakap kepada pemberita selepas melawat adik Muhamad Ayub Mansor, 7, yang menghidap penyakit jantung berlubang di Kampung Cabang Tiga di Kuala Terengganu semalam, beliau berkata, tahun lepas kerajaan mengagih bantuan dana khas yang berjumlah kira-kira RM38 juta kepada 160,000 keluarga.


Sementara itu Ahmad berkata kerajaan negeri akan menanggung keseluruhan kos rawatan pembedahan Muhamad Ayob di Institut Jantung Negara (IJN) yang dianggar menelan belanja RM30,000.


Ibu Muhammad Ayob, Haryati Mohd Fauzi, 32, surirumah sepenuh masa berkata anaknya banyak ketinggalan dalam pelajaran kerana kerap tidak ke sekolah berikutan penyakit yang dihidapinya itu.


Beliau berkata anak bungsu daripada dua beradik itu kini mendapat rawatan enam bulan sekali di IJN yang melibatkan perbelanjaan RM500, namun menurutnya oleh kerana tidak mampu memandangkan suaminya yang bekerja sebagai pembantu di kedai alat ganti dengan pendapatan hanya RM700 sebulan, rawatan anaknya itu hanya dapat dibuat setahun sekali.