Selasa, April 23, 2013

WAKIL RAKYAT BN AKAN BERSUMPAH GUNA AL QURAN BILA MENANG

Semua wakil rakyat Barisan Nasional (BN) Terengganu akan bersumpah menggunakan al-Quran sebaik sahaja BN membentuk kerajaan selepas 5 Mei ini sebagai “aku janji” tidak akan terlibat dengan rasuah dan pecah amanah. Mengumumkan demikian, Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said berkata, malah kesemua penjawat awam di jabatan dan agensi kerajaan terutama yang melibatkan urusan tender juga akan berbuat demikian. Ini bertujuan meningkatkan keyakinan rakyat terhadap ketelusan pentadbiran awam di Terengganu, kata beliau. Ahmad berkata sumpah tersebut (akuan integriti - bagi calon bukan Islam) juga bertujuan menghentikan tohmahan dan fitnah pembangkang yang kerajaan rasuah, malah menjadikannya sebagai modal politik menjelang pilihan raya umum. “Apabila kita buat (akuan bersumpah) ini, secara tidak langsung ia akan mengikat individu tersebut dengan Allah...jika dia buat juga, dengan manusia mungkin dia lepas, tetapi tidak dengan Allah,” katanya. Beliau bercakap kepada pemberita selepas merasmikan majlis menandatangani ikrar integriti korporat Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini hari ini. Ahmad turut mengejutkan tetamu majlis itu apabila beliau turut bersumpah menafikan penglibatannya dalam skandal balak seperti yang dituduh pembangkang. Tegasnya beliau berniat hendak ke ceramah pembangkang pada waktu malam dengan membawa Al-Quran untuk bersumpah menafikan tuduhan itu namun, tiada kesempatan waktu. “Secara kebetulan pula, pada hari ini ada program SPRM, jadi saya bersumpah menafikan tuduhan itu, saya tidak takut kerana tidak buat, ambil duit dan sebagainya (seperti yang dituduh). Itu bukan cara saya (untuk cepat kaya). “Saya pernah disiasat selama tiga tahun setengah oleh SPRM ... tapi tiada kes (bebas), sebab itu kalau mereka nak tuduh, saya tak bimbang, pergilah lapor kepada SPRM dan tunggu SPRM lakukan siasatan ... tak perlu nak berdemonstrasi depan Wisma Iman untuk main politik,” katanya. — Bernama