Khamis, November 13, 2008

PENJELASAN ISU KETUA BAHAGIAN LARUT





Seorang ahli jawatankuasa UMNO di bahagian saya, Jumaat lepas mengirim pesanan khidmat ringkas (SMS) dari Kota Bahru mengatakan seluruh Malaysia sedang melihat perkembangan di Larut.

Editor WATAN, Mohd Zabidi Haji Saidi ada meminta saya selaku Ketua UMNO Bahagian Larut agar menerangkan kedudukan sebenar mengenai masalah yang sedang melanda bahagian Larut.

Pada mulanya saya agak keberatan, khuatir nanti ada yang mengatakan saya mengambil kesempatan menjelang mesyuarat agung pemilihan bahagian kerana akan mempertahankan jawatan tersebut.

Namun bagi mengelakkan kekeruhan berpanjangan, saya bersetuju untuk memberitahu kedudukan yang sebenarnya terutama berhubung dengan kehadiran Datuk Hamzah Zainuddin yang juga Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan ke bahagian Larut.

Seperti yang umum sedia maklum, nama Hamzah muncul bertanding di parlimen Larut pada pilihanraya umum ke 12 yang baru lalu, walaupun tanpa pengetahuan saya dan ahli-ahli jawatankuasa bahagian yang lain dan kami amat terkejut dengan pengumuman Menteri Besar Perak ketika itu, kerana langsung tidak diperbincangkan mengenai pencalonan beliau itu bagi bertanding di tempat kami.

Hamzah yang juga ahli Majlis Tertinggi (MT) yang dilantik oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi adalah bekas Ketua UMNO Bahagian Ipoh Barat. Parlimen ini merupakan kubu kuat bukan Melayu, justeru wakilnya adalah dari MCA.

Walaupun pada peringkat awal, ramai yang kecewa dengan kehadiran Hamzah dan di bahu saya memikul tanggung jawab yang besar, tetapi demi maruah parti, seluruh jentera BN di Larut dikerah bekerja keras bagi mempastikan kemenangan hamzah. Akhirnya beliau memperolehi majoriti lebih kurang 1,900 undi. Ketika saya bertanding di tempat yang sama pada pilihanraya umum 2004, saya memperolehi majoriti 7,435 undi.

Kini saya ditukarkan ke Dewan Undangan Negeri (DUN) Kubu Gajah yang juga dalam parlimen Larut. Kawasan ini adalah kawasan baru yang mula diwujudkan pada pilihanraya 2004 dan merupakan kerusi panas.

Begitupun, jawatankuasa bahagian sekali lagi dikejutkan apabila diberitahu juga tanpa pengetahuan bahagian bahawa keahlian Hamzah ke Larut sudah diterima pada 3 April. Lebih mengejutkan lagi beliau dikatakan boleh bertanding dalam pemilihan tahun ini juga, sedangkan surat pekeliling Setiausaha Agung yang menyatakan sebarang penjelasan yuran, pertukaran cawangan dan bahagian hanyalah dilakukan sehingga berakhir 31 disember 2007 bagi melayakkan mereka mengambil bahagian dalam persidangan agung cawangan dan bahagian tahun 2008.

Dan keadaan ini cukup mengelirukan lantas jawatankuasa bahagian mengadakan mesyuarat bagi membincangkan perkara tersebut dan membuat keputusan menangguhkan persidangan agung kesemua 97 cawangan sehingga diberitahu kerana ingin menyelesaikan perkara tersebut terlebih dahulu.

Masalah itu yang mendapat bantahan jawatankuasa bahagian turut juga dibangkitkan ke mesyuarat Perhubungan UMNO Negeri Perak yang dipengerusikan oleh Datuk Seri Mohd Tajol Rosli yang kemudian memutuskan membawa perkara itu ke peringkat atasan.

Pada ketika masalah itu berbangkit, berlaku pilihanraya kecil parlimen Permatang Pauh. Kemudian ia sekali lagi dibangkitkan dalam mesyuarat Perhuhungan UMNO negeri pada hari yang kebetulan Perdana Menteri mengadakan lawatan berbuka puasa di Ipoh.

Ramai yang bertanya kepada saya apa sudah jadi dengan bahagian Larut, Hamzah kata dia tidak mahu bertanding, Cuma sekadar mahukan jawatan Bendahari bahagian semasa beliau menghadiri majlis berbuka puasa bersama Perdana Menteri di Ipoh dan kebetulan turut mengetahui ialah Perdana Menteri, Tajol Rosli, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan ketua-ketua bahagian yang kebetulan berada semasa beliau menyatakan hasratnya itu di hadapan saya dan disambut dengan pujian. Turut hadir dalam rombongan Perdana Menteri itu ialah Menteri Luar Bandar dan Kemajuan Wilayah, Tan Sri Muhammad Muhd Taib dan Tan Sri Anuar Musa, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan.

Saya masih ingat ketika menghadiri jamuan hari raya Hamzah di Selama dengan tidak disangka-sangka beliau telah menarik saya naik ke pentas dalam dewan tempat jamuan tersebut sambil meminta mereka yang hadir supaya menyokong saya mempertahankan jawatan ketua bahagian.

Beliau juga telah telah secara terbuka menyatakan kepada ramai ahli UMNO bahagian termasuk timbalan ketua, Datuk Mohd Daud Mohd Yusof, yang juga ADUN Selama dan Datuk Najmuddin Alias yang juga ADUN Batu Kurau yang beliau tidak akan mencampuri urusan bahagian termasuk bertanding apa-apa jawatan, kecuali jika ditawarkan jawatan Bendahari.

Namun masalah ini sebenarnya timbul bukanlah semata-mata kerana soal pertandingan tetapi menjadi tanggungjawab bahagian mengikut perlembagaan parti ke atas perjalanan semua persidangan cawangan dan wajar mempastikan hanya mereka yang berhak sahaja dibenarkan bertanding.

Justeru atas tanggung jawab itu dan berdasarkan surat pekeliling yang disebutkan tadi, bahagian membuat keputusan untuk menolak pencalonan yang telah diberikan kepada Hamzah bagi mengelakkan sebarang pertikaian dan pembatalan mesyuarat agung bahagian.

Keputusan diambil secara konsensus itu dan keputusan menangguhkan persidangan termasuk beberapa hal lain yang masih lagi belum dapat diselesaikan, maka jawatankuasa bahagian yang bermesyuarat minggu lalu telan bersetuju menangguhkan persidangan pada 9hb nov. dan permohonan penangguhan itu telah dihantar kepada perhubungan umno negeri dan ibu pejabat umno Malaysia, bagi mendapatkan kebenaran.

Lagi pun, Datuk Seri Abdullah telah membuat kenyataan akhbar yang menyarankan mana-mana bahagian yang bermasalah, elok membuat permohonan menangguhkan persidangan daripada terbatal dan terpaksa mengadakan mesyuarat semula.

Berpegang kepada kenyataan tersebut, jawatankuasa bahagian Larut telah memohon kebenaran daripada UMNO Malaysia bagi menggelakkan sebarang kesulitan di kemudian hari.

Namun, keputusan bahagian itu telah dijawab oleh Setiausaha agung UMNO yang mengatakan bahawa Hamzah boleh bertanding dan berhak bercakap, memilih dan dipilih, sekiranya beliau tidak menggunakan haknya bercakap, memilih dan dan dipilih di bahagian asalnya pada tahun yang sama. (SUA UMNO merujuk kepada perkara 6.3.8. perlembagaan UMNO) dalam kenyataan akhbar.

Satu pertanyaana timbul, bagaimana sekiranya, Hamzah telah didapati menggunakan haknya di bahagian asalnya dalam tahun yang sama, sedangkan beliau telah diterima oleh ibu pejabat UMNO menjadi ahli UMNO bahagian Larut?

Atau dalam kata-kata lain, selepas menjadi ahli di bahagian Larut, beliau masih lagi menggunakan haknya di bahagian yang lama iaitu Ipoh Barat.

Justeru bagi meleraikan kemelut tersebut, dalam mesyuarat jawatankuasas bahagian yang diadakan pada hari Jumaat (7hb November lalu) telah mengambil keputusan juga secara consensus untuk menemui pengerusi jawatankuasa pengurusan bagi memberi penjelasan mengenai perkara tersebut.

Malah jawatankuasa bahagian bersedia berhadapan dengan pihak atasan untuk berbuat demikian, sekiranya diberikan peluang dan sememangnya itulah yang diharapkan agar dapat diberikan peluang untuk menjelaskan perkara yang sebenar-benarnya.

Bahagian hanya mahukan keadilan dan berharap pihak jawatankuasa pengurusan sudi menerima penjelasan ini bagi mengembalikan semula kekeruhan yang berlaku demi masa depan UMNO bahagian dan juga parti.

Ramai yang berpendapat adalah mustahil, Hamzah boleh diterima bertanding dalam tempoh beliau diterima ahli pada tahun yang sama dengan begitu cepat, tidak sampai sebulan bertanding dalam pilihanraya pada 8 Mac, sedangkan masih ada mereka yang bertahun lamanya membuat permohonan, tetapi belum lagi mendapat kelulusan.

Perkara ini berlaku di Larut, bagaimana kalau di kemudian hari berjangkit di tempat lain, apakah layanan yang sama akan diberikan?

Agak aneh, kenapa bahagian Larut menjadi sasaran pertandingan merebut jawatan ketua bahagian sedangkan dalam pilihanraya umum lalu, kepimpinan bahagian telah berjaya mempertahankan kemenangan keempat-empat kerusi yang di pertandingkan iaitu parlimen dan tiga DUN, selain Kubu Gajah adalah Selama dan Batu Kurau.

Di bahagian berhampiran, Parit Buntar ketiga-tiga kerusi yang dipertandingkan, kesemuanya tewas, tetapi ketua bahagian, Datuk Abdul Rahman Suliman, tidak pula ditentang, sebaliknya pemimpin-pemimpin di situ berpakat demi perpaduan.

Perlu diingat dalam keghairahan berlakunya perebutan jawatan ini jangan dilupa tanggung jawab sebenar ahli-ahli parti bagi mempastikan matlamat utama untuk merampas semula negeri-negeri yang BN kalah.

Di Perak setakat ini, dua ADU telahpun tewas dalam perebutan jawatan ketua bahagian. Mereka ialah, bekas ketua bahagian Beruas, Datuk Hamdi Abu Bakar yang gagal mempertahankan jawatannnya dan Datuk Nasaruddin Hashim merebut ketua bahagian di Parit.

Satu pertanyaan timbul, apakah BN dan UMNO Perak mampu merampas semula negeri tersebut daripada tangan pembangkang dalam masa terdekat ini atau dalam pilihanraya umum akan datang? Tepuk dada tanya selera.

Penjelasan ini telahpun saya sampaikan semasa berucap merasmikan persidangan pemuda, wanita dan puteri bahagian Larut pada hari Sabtu bagi menggelakkan sebarang tanggapan buruk terhadap kepimpinan bahagian.


(Rencana ini ditulis oleh Datuk Seri Raja Ahmad Zainuddin dalam kolumnya, Salam Kubu Gajah yang tersiar dalam akhbar WATAN, Ahad 16-22 November 2008)