Jumaat, November 14, 2008

MAHATHIR PERLU KEMUKAKAN BUKTI


Bekas Presiden UMNO, Dr Mahathir Mohamad hairan bagaimana tiba-tiba Ali Rustam dan Muhammad Muhd. Taib melepasi kuota untuk bertanding jawatan timbalan presiden UMNO. Dia kata mungkin berlaku politik wang untuk membeli pencalonan.


Tuduhan Dr Mahathir amat serius . Sebab itulah Tun Dr. Mahathir Mohamad diminta mengemukakan bukti jika benar terdapat calon-calon yang bertanding pada pemilihan UMNO Mac depan termasuk jawatan Timbalan Presiden UMNO terbabit dalam politik wang.


Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz berkata, tuduhan tersebut dianggap serius dan tidak adil kepada calon-calon yang bertanding pada pemilihan parti.


"Tuduhan calon Timbalan Presiden UMNO main duit ini satu yang serius dan ia memberi kesan ke atas calon dan parti.


"Kalau tidak ada bukti itu hanya satu spekulasi," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen semalam.


Mohamed Nazri diminta mengulas kenyataan Dr. Mahathir semalam yang berkata terdapat kemungkinan besar pencalonan bagi jawatan Timbalan Presiden UMNO pada pemilihan parti nanti membabitkan politik wang.


Dr. Mahathir turut mendesak UMNO mengambil tindakan drastik menyingkirkan calon yang terbabit dalam politik wang pada pemilihan parti.


Oleh itu Dr Mahathir perlu kemukakan bukti jika benar Ali dan Muhammad terlibat dalam pembelian pencalonan. Jangan hanya menuduh sebarangan sahaja. Mentang-mentanglah beliau menyokong Muhyiddin untuk jawatan Timbalan Presiden UMNO. Kita harap seorang calon Naib Presiden UMNO yang disokong Dr. Mahathir, Dr. Rais Yatim turut menang dalam pemilihan Mac akan datang.