Memaparkan catatan dengan label amanah. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label amanah. Papar semua catatan

Ahad, Mac 31, 2019

KEAHLIAN CALON BEBAS AUTOMATIK GUGUR DARI AHLI AMANAH

KOTA BHARU, 30 Mac (Bernama) -- Keanggotaan Mohd Nor Yassin, 67, dalam Parti Amanah Negara (Amanah) gugur secara automatik susulan tindakannya bertanding sebagai calon bebas pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau.

Naib Presiden Amanah Datuk Husam Musa berkata tindakan Mohd Nor adalah bersifat peribadi dan tidak membabitkan keputusan parti itu.

"Dia dah masuk (bertanding sebagai) calon bebas, dia dah tak jadi ahlilah. Mana-mana anggota parti politik yang ambil tindakan sendiri, keahliannya gugur (secara automatik dan) tidak boleh dikaitkan dengan AMANAH," katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Festival Gegar 2019 di Bandar Baharu Tunjong di sini, hari ini.

Rabu, November 14, 2018

TAHNIAH YB SALAHUDDIN TAPI KENA HATI HATI DENGAN ORANG SEKELILINGNYA

SHAH ALAM, 13 Nov (Bernama) – Parti Amanah Negara (AMANAH) menolak cadangan untuk meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) kerana ia bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

Timbalan presidennya, Datuk Salahuddin Ayub berkata rakyat Malaysia perlu mempertahankan keharmonian, kesaksamaan dan kehidupan semua kaum di negara ini.

“Apa-apa yang bertentangan dengan perlembagaan dan budaya negara kita tidak boleh terima, kita ada sistem kita sendiri dan kita ada sikap kita sendiri. Apa terkandung dalam perlembagaan akan kita pertahankan," katanya.

Ulasan saya, saya ucapkan tahniah kepada Salahuddin Ayub yang berani bersuara mewakili Parti Amanah mengenai ICERD sedangkan DAP beriya benar mahu Malaysia menandatangani ICERD.

Ketegasan Amanah dan Bersatu membuktikan parti Melayu dalam Pakatan Harapan masih mempertahankan hak orang Melayu. Syabas Salahuddin tapi saya mahu nasihati beliau berhati-hati dengan pegawai di sekelilingnya yang boleh menjejaskan nama baik beliau.

Salahuddin terbukti seorang menteri yang mudah ditemui. Seorang kawan saya baru-baru ini mendapat surat sokongan dari setpol Perdana Menteri yang menulis surat kepada Salahuddin untuk membantunya mendapatkan  iklan dari agensi-agensi di bawah kementerian pertanian dan industri asas tani.

Portal news kawan saya memang dahulu sokong kerajaan maka apabila kerajaan sudah bertukar ia menyokong government of the day. Jadi jangan persoal kesetiaan beliau kerana beliau menyokong kerajaan semasa. Salahuddin serah surat itu kepada pegawai kanannya yang kebetulan kenali kawan saya sewaktu mereka sama sama dalam parti pembangkang.

Pegawai itu berkata kepada kawan saya kenapa dahulu lari dari perjuangan dan beliau main peranan supaya Salahuddin tidak menyokong permohonan kawan saya itu. Oleh itu saya ingin nasihati Salahuddin supaya berhati-hati dengan pegawai di sekelilingnya  yang boleh merosakkan nama baik beliau.

Kalau surat dari setpol Perdana Menteri dibuang ke dalam tong sampah oleh pegawai Salahuddin, maka Salahuddin sepatutnya disenaraikan sebagai salah seorang menteri yang patut dibuang dalam rombakan kabinet Dr Mahathir akan datang

Khamis, September 14, 2017

AMANAH SOKONG PESTA ARAK DAP?

KUALA LUMPUR, 13 Sept (Bernama) -- PAS hari ini mencabar parti komponen dalam pakatan pembangkang untuk menyatakan pendirian mereka berhubung penganjuran pesta arak yang dijadual diadakan di ibu negara bulan depan.


Naib Ketua Pemuda PAS Pusat Ahmad Fadhli Shaari berkata suara lantang yang dizahirkan DAP dalam mempertahankan penganjuran berkaitan (pesta arak) dilihat bukan sahaja satu kebiadaban, bahkan modal kepada provokasi tipikal parti tersebut di mana acapkali membayangi aktiviti seperti itu.

"Kami juga mencabar dan menuntut parti-parti komponen Pakatan Harapan menyatakan pendirian dan sikap mereka berhubung isu ini. Berdiam diri bererti bersetuju dan bersekongkol, sekali gus mengesahkan DAP adalah 'ketua' sebenar PH yang tidak berani disanggah sama sekali," katanya dalam satu kenyataan yang disiarkan laman Facebook PAS Pusat, hari ini.

Menurut beliau, penganjuran pesta arak dilihat secara sengaja cuba mencabar sensitiviti agama di negara ini apabila acara tahunan sejak 2012 itu diuar-uarkan sebagai 'The Biggest Celebration of the Craft Beer Revolution in Malaysia'.

"Selaku negara yang meletakkan Islam sebagai agama rasmi dan termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, Malaysia tidak seharusnya menoda kesucian tersebut dengan kebebasan begitu.

Walaupun meminum arak menjadi hak golongan bukan Islam yang menjadi sebahagian rakyat negara ini, namun menjadikan satu penganjuran pesta ke tahap festival tidak seharusnya berlaku di negara ini. Ia tidak mencerminkan realiti budaya Malaysia, bahkan juga rantau ini," katanya.

Ahmad Fadhli berkata kebanyakan negara dan masyarakat pada masa ini semakin sedar pelbagai akibat buruk yang tercetus akibat meminum arak atau aktiviti berkaitannya.

"Ia menyumbang kepada banyak tragedi mutakhir ini hingga mewujudkan pelbagai kempen kesedaran untuk mengehadkan dan menghindarinya daripada menjadi rutin dalam ketamadunan. Mengapa kita pula harus berundur ke belakang menjauhi nilai semakin positif ini," katanya.

-- BERNAMA

Isnin, Disember 19, 2016

PAS TETAP LAWAN AMANAH DAN DAP DALAM PRU 14

KUALA TERENGGANU, 19 Dis (Bernama) -- PAS mengulangi pendiriannya sebelum ini bahawa tiada kerjasama akan terjalin dengan parti pembangkang seperti DAP dan PAN atau pihak yang bersikap keras terhadap Islam.

Hal ini telah dipersetujui oleh Majlis Syura Ulama parti itu sebelum ini.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata PAS juga tidak tertakluk kepada mana-mana pihak yang telah membuat sebarang perjanjian pilihan raya pada masa ini dan juga tidak dipengaruhi oleh tekanan mana-mana pihak dalam membuat keputusan politiknya.

"Pada masa sama PAS sedia berbincang dengan mana-mana pihak yang menghormati dasar perjuangannya," katanya dalam kenyataan kepada media di sini hari ini.

Abdul Hadi berkata, PAS juga menolak sebarang perkiraan dan percaturan politik yang merugikan masa depan Islam dan umatnya.

-- BERNAMA

Sabtu, Disember 10, 2016

AMANAH LETAK CALON ORANG ASLI



SHAH ALAM, 10 Dis (Bernama) -- Parti Amanah Negara (Amanah) bersedia mengetengahkan calon dalam kalangan masyarakat Orang Asli pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Timbalan presiden Amanah Salahuddin Ayub berkata keputusan muktamad akan dibuat berdasarkan kesesuaian dan peluang untuk menang.

"Kita akan ketengahkan di kawasan sesuai di Parlimen ataupun Dewan Undangan Negeri," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Konvensyen Nasional parti Amanah yang dirasmikan Presiden parti, Mohamad Sabu di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) di sini hari ini.

Turut hadir pada konvensyen yang julung kali diadakan adalah Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Tun Dr Mahathir Mohamad, Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat Nurul Izzah Anwar dan pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang.

Konvensyen dua hari itu berakhir esok.

-- BERNAMA

Khamis, Jun 09, 2016

AMANAH SUDAH TAK ADA MODAL





Semakin banyak papan iklan yang menyerang PAS dan BN mula muncul di kawasan penduduk majoriti Cina di Sekinchan pada hari keempat kempen pilihan raya kecil bagi merebut kerusi parlimen Sungai Besar.

Gambar-gambar papan iklan berkenaan turut diedarkan melalui aplikasi pesanan mudah alih WhatsApp sejak pagi.

Antaranya, sebuah papan iklan yang mengabungkan wajah Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Ketua MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai dan Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak sebagai tiga kembar Siam.







Gambar dengan tajuk dalam bahasa Melayu dan Cina itu berbunyi:"BN, PAS Sehati Sejiwa, Rasis Rasuah Sama Sekali".

Di latar belakang adalah gambar Hadi memegang keris gergasi semasa muktamar PAS baru-baru ini dengan tertera logo 1MDB dan perkataan "Skandal RM4.2 bilion".

Papan iklan kedua yang dikesan di Sekinchan pula memaparkan gambar Ketua Umno Sungai Besar Datuk Jamal Md Yunus ketika mengetuai demo baju merah anti-BERSIH. Turut dimuatkan adalah gambarnya memeluk calon BN, Budiman Mohd Zohdi.

Antara perkataan yang dipaparkan adalah "Panggil Cina babi tidak salah" dalam bahasa Melayu dan Cina merujuk kepada kata-kata Jamal bahawa adalah tidak salah berbuat demikian kerana bangsa berkenaan tidak sensitif dengan binatang itu.

Papan iklan ketiga pula memperlekehkan slogan parti pemerintah bahawa "BN Menang Rakyat Senang". Ia digantikan dengan perkataan "BN Rasuah, Rakyat Susah".









Sukar untuk memastikan parti mana yang bertanggungjawab terhadap papan iklan berkenaan meskipun ia mempunyai logo AMANAH dengan warna rasmi parti itu iaitu jingga.

Papan iklan itu juga meminta pengundi supaya menyokong Pakatan Harapan.

Dalam reaksinya, AMANAH menafikan mereka bertanggungjawab terhadap papan iklan tersebut.

“Kami tak cukup duit untuk billboard sendiri. Bendera pun jauh lebih kalah sebab kami parti baru bendera-bendera pun baru...

"Kami tidak mempunyai wang untuk sampah seperti ini, boleh dilaporkan kepada (pegawai) penguatkuasa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR)," kata pengarah strategi parti itu Khalid Samad.

Ulasan saya, nampaknya pembangkang tiada modal dengan menaikkan papan tanda untuk menimbulkan kebencian pengundi kepada BN. Yang lebih melucukan papan tanda menyerang ketua umno Bahagian pun ada, Jamal Mohd Yunus sedangkan Jamal bukannya calon BN.

Ini membuktikan bahawa calon BN, Budiman Mohd Zohdi adalah calon yang bersih yang boleh diterima oleh para pengundi. Adakah pengundi Sungai Besar akan menolak kempen yang tidak beretika ini? Sama samalah kita tunggu 18 Jun ini.

Ahad, September 02, 2012

AMANAH JANGKA AHLINYA BERTAMBAH

Angkatan Amanah Merdeka (Amanah) menjangkakan keahlian anggotanya di negeri ini bakal bertambah dengan kehadiran Presidennya, Tengku Razaleigh Hamzah ke Kemaman tidak lama lagi, bagi menarik lebih ramai ahli untuk menyertai badan bukan kerajaan itu. Pengerusi Amanah Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah berkata, setakat ini Amanah Terengganu sudah memiliki seramai 300 ahli biarpun baru sahaja dilancarkan di negeri ini pada bulan lalu. Menurut Raja Kamarul Bahrin, keahlian Amanah tidak terhad dan terbuka kepada setiap lapisan masyarakat kerana objektif utamanya adalah untuk melihat setiap rakyat terutama generasi muda menghayati konsep amanah yang merupakan suatu nilai universal. “Sebagai NGO yang cintakan negara, misi kita adalah untuk menghidupkan semula legasi, janji dan cita-cita Bapa Malaysia, Tunku Abdul Rahman Putra dan pengasas negara, supaya semua rakyat Malaysia dapat hidup bersama sebagai anggota masyarakat kebangsaan yang benar-benar adil, saksama, maju, bersatu, sejahtera dan gembira. “Misi kita juga untuk memastikan institusi negara menghormati dan menjunjung peraturan undang-undang, prinsip demokrasi, dan hak-hak universal selain bagi membantu kerajaan dan pihak pentadbiran agar telus dan bertanggungjawab, benar-benar layak dan cekap, bebas dari rasuah dan amalan kronisme, bersih dan jujur serta saksama dan boleh dipercayai. “Kita mahu menyemarakkan rasa kebersamaan dan semangat kekeluargaan yang mendalam dalam kalangan rakyat sepertimana ketika sama-sama berjuang untuk mencapai kemerdekaan,” katanya pada Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri dan Sambutan Hari Kemerdekaan Amanah yang dihadiri lebih 3,000 tetamu dan diadakan di T Top Kopitiam, Jalan Jakar, dekat sini, kelmarin. Turut hadir memeriahkan majlis, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek; Ketua Wanita Umno Bahagian Kemaman, Senator Rohani Abdullah; Ketua Puteri Umno Bahagian Kemaman, Asfalinda Anuar dan Pengarah Majlis Tindakan Dun (MTD) Chukai, Hanafiah Mat. Amanah dilancarkan oleh Tengku Razaleigh di Memorial Tunku Abdul Rahman Putra, Kuala Lumpur pada 22 Julai tahun lalu dan dengan pelancaran itu suatu suara baru, suara solidariti dan perpaduan dilahirkan. Mengulas mengenai kehadiran tetamu yang melebihi sasaran, Raja Kamarul Bahrin menyifatkan ia sebagai kejayaan yang membanggakan apatah lagi program berkenaan adalah pertama diadakan di daerah ini seterusnya mengeratkan hubungan ahli Amanah (dipetik dari SINAR HARIAN, 1 September 2012)
dengan segenap lapisan masyarakat.

Ahad, April 08, 2012

AMANAH SEDIA KERJASAMA DENGAN SEMUA NGO

Presiden Angkatan Amanah Merdeka (Amanah), Tengku Razaleigh Hamzah, hari ini berkata, pihaknya sedia mempertimbangkan untuk bekerjasama dengan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) sekiranya kedua-dua pertubuhan badan bukan kerajaan itu berkongsi matlamat yang sama. Beliau
yang lebih dikenali dengan panggilan Ku Li menegaskan, Amanah tidak mempunyai sebarang masalah untuk bergabung dengan Bersih asalkan ada keinginan untuk bekerjasama antara kedua-dua belah pihak. “Atas benda-benda yang boleh difikirkan untuk perjuangan bersama, kita boleh bergabung dengan mereka (Bersih). “Amanah akan bergabung dengan mereka yang ada keinginan untuk bekerjasama,” katanya yang tidak menolak untuk menyertai perhimpunan menuntut pilihan raya yang adil dan bersih anjuran Bersih yang dijadualkan 28 April ini di Dataran Merdeka. “Selagi perkara itu selari dengan objektif kami, Amanah akan sertai,” katanya lagi ketika sidang media selepas perasmian Hari Keluarga Amanah Selangor di sini. Menurut veteran Umno itu, Amanah yang kini mempunyai sekitar 450 ahli di Selangor juga akan bekerjasama dengan NGO lain dan mencari persetujuan bagi mendapat perhatian kerajaan untuk membela nasib rakyat. “Amanah akan bekerjasama dengan mana-mana NGO, termasuk orang ramai, demi mendapatkan perhatian kerajaan serta menyumbang kepada kebaikan masyarakat yang selama ini terbiar dan tidak dipandang,” tegasnya. Jelas Ku Li, ketika ucapannya sebelum itu, NGO adalah penentu dasar kerajaan memerintah bagi menentukan corak kehidupan rakyat, sama seperti diamalkan di negara maju seperti Amerika Syarikat. “Melalui penubuhan NGO, kerajaan akan dapat mendengar segala tuntutan rakyat di peringkat akar umbi. “Dengan itu kerajaan dapat mengemukakan dasar-dasar baru yang memberikan kesan kepada rakyat,” katanya lagi.