Ahad, April 17, 2011

KENAPA DENGKI DENGAN DAVID TEO?


Siti Jarum dalam Mingguan Malaysia hari ini seolah-olah menghasut pelakon, pekerja filem supaya jangan bekerja dengan penerbit filem terkenal David Teo. Katanya, kita dapat kuah sedangkan taukehnya dapat daging/

Kenapa Siti Jarum dengki dengan David Teo? Patutnya kita berbangga kerana ada orang Cina yang minat memajukan filem Melayu. Memang betul bukan semua filem David Teo bermutu tetapi sebagai pembuat filem dia sudah kaji selera penonton filem Melayu yang suka filem komidi.

David Teo berjaya hari ini bukannya melalui jalan singkat. Dua filem awalnya bungkus iaitu Syukur 21 dan Mendam Berahi. Tetapi dia bukan jenis putus asa. Dia terus terbitkan filem Melayu dan akhirnya penonton filem Melayu menerima filem-filem terbitannya.

David Teo bukan mahu bina empayar seperti Studio Jalan Ampas dahulu. oleh itu membandingkan Shaw Brothers dengan David Teo bukanlah satu perbandingan yang tepat. Sekurang-kurangnya kita bersyukur David Teo beri bonus kepada pelakon dan pekerja-pekerja filemnya. Kita tak pasti sama ada penerbit filem Melayu seperti Datuk Yusof Haslam membayar bonus yang banyak seperti David Teo.

Siti Jarum tidak mempunyai semangat 1Malaysia. Sepatutnya kita berbangga ada orang Cina yang minat melabur dalam industri filem Melayu. Bukan semua orang melayu minat buat filem. Dahulu kita ada Sabah Filem dengan Deddy M Borhan tetapi zamannya sudah berlalu. Oleh itu kita perlukan lebih ramai orang melayu bikin filem Melayu seperti David Teo yang berani melabur setiap bulan buat filem baru. Kini kos penerbitan filem Melayu meningkay kepada RM1.5 juta. Oleh itu industri ini hanya layak diceburi oleh jutawan sahaja.

Berapa kerat jutawan Melayu yang minat melabur dalam industri ini? Orang Melayu dapat hirup kuah, orang Cina dapat rasa daging bukannya fenomena baru. Kalau kita lihat kontraktor melayu semuanya mengalibabakan tender mereka kepada orang Cina. Oleh itu fenomena ini bukanlah perkara baru.

Oleh itu Siti Jarum tak perlu takut dengan keseriusan David Teo memajukan industri filem Melayu. Lagipun dia sudah lama berada dalam penerbitan filem Melayu sebelum filem Melayu berada di zaman kegemilangan seperti sekarang.Pedulikanlah Siti jarum, David Teo!